7 Fakta Mengenai Google Yang Anda Mungkin Tidak Tahu

Google adalah sebuah syarikat yang sedang berevolusi dan sentiasa berevolusi. Mereka berevolusi untuk menjadi lebih baik dan ianya merujuk kepada lebih besar dan berkuasa. Kami percaya satu hari nanti Google bakal kuasai dunia. Selagi masih ada lagi manusia yang tidak menggunakan mereka, selagi mereka tidak berada di seluruh dunia, selagi itu mereka tidak akan pernah berhenti untuk berkembang. Berkembang dengan produk yang lebih baik bersama kedudukan yang semakin kukuh.

Bercerita pula tentang syarikat multinational yang mempunyai perkhidmatan berkaitan internet yang terbesar di dunia ini, pasti ada diantara anda yang sering membaca mengenai fakta-fakta menarik syarikat terbabit. Persoalannya, masih ada lagikah fakta yang tidak diketahui oleh anda?

Didalam entri ini, kami akan membawakan kepada 7 fakta mengenai Google yang anda mungkin tidak tahu. Fakta yang menarik untuk dibaca dan diketahui.

 

1. Google dan kambing berkerjasama untuk membersihkan halaman mereka.

kambing di google

Tahukah anda Google telah mengupah hampir 200 ekor kambing untuk makan rumput di ibu pejabat mereka di Mountain View. Mereka berpendapat adalah lebih baik untuk menggunakan kambing bagi membersihkan halaman berbanding menggunakan mesin pemotong rumput kerana penggunaan mesin pemotong rumput menghasilkan bunyi yang bising dan penggunaan petrol untuk menggerakkan mesin tersebut mencemarkan udara. Kos yang dikeluarkan untuk memotong dengan cara ini lebih kurang sama dengan kos memotong menggunakan mesin pemotong rumput, jadi adalah lebih baik bagi mereka untuk menggunakan cara yang lebih mesra alam, disamping meragut rumput, kambing ini juga membaja.

 

2. Google Maps membuat perkiraan trafik menerusi peranti anda.

google maps

Tahukah anda bagaimana Google Maps berfungsi? Data setiap pengguna android digunakan bagi membantu Google membuat perkiraan tentang keadaan trafik jalan berdasarkan kepada berapa laju peranti android bergerak. Pasti anda semua tidak menyangka tentang perjalanan trafik yang ditunjukkan didalam Google Map adalah paparan masa sebenar (real time) yang menunjukkan data bagaimana pengguna android menuju ke arah jalan yang sama.

 

3. Google digunakan sebagai tempat memeriksa ejaan.

google spell checking

Tahukah anda menurut kajian yang dilakukan didapati 1 daripada 20 aktiviti yang dilakukan di Google adalah untuk memeriksa apa yang mereka tulis atau dalam erti kata lain memeriksa kesalahan ejaan. Itulah gunanya salah satu fungsi yang disediakan Google iaitu ” did you mean …. ” yang terletak dibawah kotak carian.

Adakah anda melakukan perkara yang sama?

 

4. Yahoo! pernah ditawarkan untuk memiliki Google.

google vs yahoo

Tahukah anda pada tahun 1997, Yahoo! pernah ditawarkan untuk mengambil alih Google dengan nilai pembelian sebanyak 1 juta Dollar. Pada masa itu, Yahoo! menolak tawaran tersebut. Kemungkinan selepas itu mereka melihat Google mempunyai masa depan yang cerah, jadi pada tahun 2002 Yahoo! menawarkan diri untuk membeli Google dengan nilai 3 billion Dolar. Namun pada masa itu sudah terlambat. Kini syarikat Google adalah syarikat berjaya yang bernilai hampir 65 billion Dollar.

Andai kata Yahoo! bersetuju untuk mengambil alih Google pada ketika itu, agaknya bagaimanalah Google beroperasi pada hari ini. Hehe.

 

5. Google berasal daripada garaj.

google garage

Ya, enjin carian yang paling terkenal di dunia sebenarnya bermula di garaj. Larry Page dan Sergey Brin, graduan Universiti Stanford, menyewa sebuah garaj daripada rakan, Susan Wojcicki, pada bulan September tahun 1998. Mereka bekerja siang dan malam untuk beberapa bulan dan membangunkan apa yang akan dikenali sebagai Google.

Matlamat utama mereka di samping mewujudkan laman web ini adalah untuk mengatur dan mengekalkan semua jenis maklumat di satu platform sahaja bagi memudahkan ia diakses dari seluruh pelusuk dunia. Hari ini, Google adalah enjin carian yang paling biasa digunakan di dunia dan juga telah melancarkan laman web dan aplikasi lain yang berguna seperti Gmail, Google, dan Google Drive.

 

6. Google failkan paten untuk kanta lekap dengan kamera terbina.

google contact lens

Google telah mencipta kanta lekap pintar yang diintegrasikan dengan kamera yang sangat kecil dan diletakkan dibahagian pinggir kanta lekap supaya ianya tidak mengaburi penglihatan pengguna. Oleh kerana ia menjadi sebahagian daripada kanta lekap, maka kamera tersebut secara automatiknya akan mengikut pandangan pengguna.

Teknologi ini sedikit sebanyak bakal menjadi alat yang penting didalam dunia perubatan dimana asas sistem bionik ini dapat digunakan oleh orang-orang buta yang cacat penglihatan.

Mengambil gambar dengan mata? Wow sangat bergaya.

 

7. Google memiliki domain yang mempunyai ejaan salah.

google domain

Tahukah anda Google juga memiliki beberapa buah domain yang didapati hasil daripada salah ejaan ketika mencari laman carian google.com. Antara domain yang dimiliki Google adalah seperti Gooogle.com, Gogle.com, Googlr.com, dan banyak lagi. Tahukah anda Google juga memiliki domain 466453.com yang dialihkan kepada laman web carian Google.com secara automatik.

– – –

Itulah tadi 7 fakta menarik mengenai Google yang anda mungkin tidak tahu. Jika anda ingin kongsikan beberapa fakta lain mengenai Google yang kami tidak tahu, anda boleh kongsikannya di ruangan komen. Kalau ada pautan blog pun tidak ada masalah. Kata orang, kongsi ilmu, kongsi pengetahuan. Barulah anda akan lebih kacak dengan pengetahuan.

 

Pengisian Kuliah Ustaz Azhar Idrus Di Surau Al-Iman

Ilmu yang disampaikan di rumah Allah itu adalahnya tidak terus tersimpan didalam diri seseorang individu. Jika dijadikan nota, mungkin boleh disampaikan kepada mereka yang lain. Oleh itu kami di AzmirShah.Com ingin berkongsi dengan anda nota ringkas yang dicatat berdasarkan kepada kuliah maghrib di Surau Al-Iman Lorong Siakap, Losong Panglima Perang yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus pada hari Isnin, 2 November 2015 yang lepas.

Kuliah ini disampaikan berdasarkan kitab Ayyuhal Walad. Loghat Terengganu ini dikekalkan bagi menjaga keaslian penyampaian.

– – –

Kitab Ayyuhal Walad

1. Orang yang tidak mengambil tahu tentang  akhirat ini Allah kata mereka ini seperti binatang ternak bahkan lebih teruk daripada itu lagi. Haa ini ayat Al Quran jgn main wak lebih kurang gitu.Kite ni akal ade tp duduk kejor akademik dunia semata mata spm nk A Degree nok Diploma nk berjaya abih tea ah usaha tapi bab islam tak mau ikut siap lawan Al Quran lawan hudud pulok.

2. Hudud ni milik Allah.”Tilka hududullah”. Milik Allah. Kalu hina hudud jd kafir kalu kate hudud ni mundur boleh jd kafir.Buke kitab fatwa or Syeikh kata hina hudud boleh jd murtad doh leni rama mana duk hina hudud rama mana jd kafir leni?

3. Bumi ni kan milik Allah mung ingat bumi ni milik tokk mung ke guane.Kalu dia kata ” kalu laksana hudud rama ah kudung” ayat gni boleh jd kafir.Kene ade ilmu ah jgn main cakap ikutdang gtu.

4. Maka Allah kata mereka ini mcm binatang.Bahase teganu NATANG ah.3 sifat nk jadi gni mata dia tgk kebenaran tp xmbuh ikut telinga dia dgr kebenaran xmbuh terima dia ade dgn kebenaran dia xikut maka ini layak digelar binatang.Kalu Tengku,tengku natang kalu megat,megat natang,kalu wan,wan natang dok kire sape sape bile ade sifat gni dialah yg Allah kata seperti binatang dlm Al Quran.Doh dok rajin dgr la pasa mu dok mari dengor.

5. Leni ustaz2 ngajor slow ngat.Konar sokmo koknung kokning nk kate benor dok brani nok nok dalam telebiseng dekat hok kate ke kerajaan skit dia senyap bile tanye bakpe dok ckp betul dia kata kekgi dokleh masuk tb doh 10 ribu sebulan boh.Abih jadi dok pakkka gawa.

6. Doh sape sape dok hera ke agama tu NATANG ah tu.Dok kasor doh bahasa teganu kan tu.Dalam Al Quran kata binatang.Kalu bahasa KL pun pggil binatang doh kite taganu Natang ah.Dok kasor mmg bahasa gtu.Bahkan Allah tamboh plok belakang ‘bahkan mereka lebih sesat dari binatang’.Oh parok doh lah terik nim.Dalam Al Quran belaka cerita ni.

– – –

Berikut pula adalah pengisian yang didapati ketika sesi soal jawab selepas kuliah.

– – –

Soal Jawab

1. Isu bubuh gmbr makan di FB ade kata haram?Kalu jiran bau makanan wajib beri ke jiran pahtu Kawan ni jual kek jual mee rebus buh dlm fb salah ke? guana kata haram tu?Mcmana hukum?

Tidak ada lagi kite pernah dgr seorg ulama kata haram letak gmbr makanan atau hidangan utk org tengok.Pasal ape dia kata haram kite kene tanye dia krn asalnya hukum harus.Asal tiap sesuatu bkn perkara ibadah itu harus kecuali ade nas pengharamannya.Ustaz2 ni pun mslh jgk byk buat pandangan sendiri xlihat fatwa ulamak.Kalu dok faham tafsir kene rujuk ulamak muktabar.Betul ade hadis kata kalu jiran bau masakan kita kene bagi ke dia.Dlm tafsir bukan berdosa dok beri makanan yg jiran terbau tu.Bukan berdosa pun jgn lebih drpd ulamak.Cume nk comelnye sunat ulamak sebut beri makanan yg jiran kite terbau tu bukan wajib.Kalu wajib beri berat ah gtu rohok ah.Jd koho masalah lah.Sbb tu jgn lebih drpd ulamak.Biar cerdik skit gok.

2. Apa hukum sy tolong simpan berhala yg tokey sy suruh selepas dia nyembah?

Dok bulih tolong.Haram tolong tolong atas perkara mungkar walaupun gaji sejuta sebulan.Leni rama ah kerana pitih rela gadai nilai agama,paka ketat ketat bdk puang leni jd hamba org kafir di kg sendiri kerja supermarket tokey suruh paka.Paka jugok la kawang tu sapa puing punggung2 Nauzubillah.

3. Orang kedekut ni mcmana?

– Orang kedekut ni Nabi saw kata jauh drpd Allah jauh drpd syurga dan dekat dengan neraka.Org kedekut ni anak didik syaitan.Patutnye jumpe org tua ke org ngaji pondok ke bui ah pitih ke dia sedekoh baru muroh rezeki.Ni dok makang keda bayor suku menatang sgguh.Bayor suku haji baru balik mekoh apa salohnye belanja kawan2 semeja.Doh bile nk senang main gtu?Xdok masa doh kite ni nk masuk kubur doh.

4. Dakpe dok g tengok lumba moto Gp?Sebab org kata dokleh ade org puang seksi?

Kalu mung nk g tgk lumbe muto sgguh bulih ah.Kalu nk g tgk org puang seksi dokleh ah pasal ianya perkara maksiat.Tengok tujuan asal.

5. Bulih ke bdk bdk azan?

Syarat nk azan ni bukan mesti baligh cume ia perlu kepada mumayyiz tahu beza doh.Budok 5 tahun pun mumayyiz doh leni.Jd nk azan kene tahu selok belok azan dan mumayyiz baru boleh azan.

6. Ade org kata dokleh kata “salam” dalam wasap sbb dia kata bermaksud celaka betul ke?

Orang yg kata salam ni bermaksud celaka tu mung tu sebenarnye celaka.Yg mereka reka hukum syarok.Salam bukan celaka.Salam bermakna selamat.Assam barulah maksud celaka.Leni rama org bodo etek main share ikut dang je leni.Memandai mandai je.Org masuk syurga pun malaikat kata salamun bermakna selamat.Maka nk guna dlm teks ke wasap ke harus xdok mslh.Jangan memandai mandai.

7. Ade org dok berahi dgr kuliah agama jd guane gok dia?

Jadi bodo lah dia seperti dicerita dalam Al Quran dan hadis.

8. Jarak perjalanan yg boleh buat solat jamak qasar ni mcmana?

Ulamak buat kajian perjalanan 2 marhalah ni lebih kurang 55 56 batu.Paling skit pandangan mengatakan 50 batu kire kire 80.3 km gtu lah.

9. Mazhab syafei niat smyg ni dlm takbiratulihram tp ade ustaz kata niat sebelum takbir guane ni?

Soal niat ni tidak berlaku ijmak dikalangan ulamak.Ianya lebih kpd kajian ulamak.Niat didalam takbir disisi mazhab 4 ade 2 tempat iaitu wajib niat didalam takbir dan 2 tempat lagi boleh niat diluar takbir disisi mazhab 4 dan mazhab syafei kata kene niat dalam takbir tp kalu ade masyaqqah seperti payah masuk ke dok mari ke diharuskan dia niat sebelum takbir xdok mslh boleh pakai belaka.Khilaf yg rahmat utk semua.

Diharapkan perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Jika anda mahu mengikuti koleksi nota yang lebih banyak, anda boleh mengikuti laman fanpage Koleksi shortnote Kuliah Ustaz Azhar Idrus yang penuh dengan ilmu bermanfaat disana.

Koleksi Kata Inspirasi Daripada Tokoh Dunia Bahagian 3

Pemikiran yang positif itu adalah satu perkara yang penting kerana ia menjadi sumber kekuatan kepada diri untuk menjadi manusia yang lebih baik. Dengan minda yang positif, kita pasti dapat mengubah pandangan kita mengenai “masalah” kepada “cabaran”, “kesusahan” sebagai “ujian” dan “impian” sebagai “matlamat”.

Sebab itu di azmirshah.com, kami sangat menekankan tentang kata-kata inspirasi kerana diri yang bermotivasi mampu melahirkan pemikiran yang positif. Lebih-lebih lagi mereka yang berminda positif diluar sana berkongsi kata-kata semangat yang mampu memberi inspirasi kepada mereka yang lain. Mengapa kita tidak mengambilnya sebagai pembakar semangat kepada diri bukan?

Jika sebelum ini kami telah pun menyiarkan Koleksi Kata Inspirasi Daripada Tokoh Dunia bahagian 1 dan bahagian 2 yang terdiri daripada tokoh luar negara, disini kami ingin menghimpunkan pula kata-kata inspirasi daripada tokoh tempatan yang menceritakan tentang cabaran, impian dan pendidikan. Semoga ia memberi manfaat kepada anda semua untuk terus berjaya.

 

1. Dr. Azizan Osman

azizan osman, dr azizan osman, dr azizan osman quotes,

Terdapat banyak cabaran di dalam hidup tetapi kebanyakan orang memilih untuk lari daripadanya. Mereka gagal untuk melihat yang cabaran itu mampu membuatkan anda lebih bertanggungjawab dan lebih kuat.

Azizan Osman merupakan Pengasas & Pengerusi Eksekutif Syarikat Kumpulan Richworks International yang mempunyai perniagaan dan pelaburan  lebih 27 buah syarikat antaranya agensi pengiklanan berakreditasi AAAA, syarikat pengurusan acara, syarikat perunding latihan dan pembangunan modal insan dan penerbitan buku serta syarikat pelaburan hartanah. Beliau juga merupakan Pengasas Koperasi Permodalan Usahawan Selangor Berhad.

 

2. Tony Fernandes

tony fernandes quotes

percaya kepada sesuatu yang sukar untuk dipercayai, impikan sesuatu yang mustahil, dan jangan pernah katakan “tidak” sebagai jawapan.

Tan Sri Anthony Francis Fernandes atau turut dikenali sebagai Tony Fernandes ialah seorang usahawan dari Malaysia yang memperkenalkan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia dengan slogannya “now everyone can fly”. Beliau juga merupakan Ketua pegawai eksekutif dan Pengarah AirAsia Berhad, pengasas Tune Group Sdn Bhd , Pengerusi QPR Holdings Ltd dan juga Pengasas dan bekas Ketua Pasukan Caterham F1.

 

3. Dato’ Sri Nazir Razak

dato seri nazir razak, nazir razak,

Bagaimana anda bersaing apabila anda sangat kecil? Pilih niche.

Dato’ Seri Mohd Nazir bin Tun Abdul Razak merupakan seorang pegawai eksekutif bank Malaysia. Beliau merupakan pengarah urusan serta ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB, salah satu penyedia perkhidmatan perbankan terbesar di Malaysia. Nazir merupakan anak bongsu kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak dan Tun Rahah Mohammad Noah , serta adik kepada Perdana Menteri keenam (sekarang) iaitu Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak.

Maksud Niche : Pasaran tertumpu atau segmen pasaran

 

4. Tan Sri Dato’ Sri Paduka Dr. Lim Kok Wing

lim kok wing, lim kok wing quotes

Pendidikan mesti tentang memperkasakan diri dan motivasi, keupayaan dan pembentukan peribadi. Ia tidak hanya sekadar membaca dan menulis.

Tan Sri Dato’ Sri Paduka Dr. Lim Kok Wing adalah Presiden dan pengasas kepada Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing yang terletak di Cyberjaya, Malaysia. Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (bahasa Inggeris: Limkokwing University Of Creative Technology) merupakan salah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta di Malaysia yang bertaraf dunia dan menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia.

 

5. Tun Dr Mahathir Mohamad

tun dr mahathir, mahathir mohamad, tun dr mahathir quotes,

Kita berada di dunia yang mencabar. Yang malas akan ketinggalan. Cuma yang berusaha akan berjaya.

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang juga digelar sebagai “Dr. M” dan nama penanya Che Det merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke 4. Beliau digelar sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana menjadi seorang negarawan yang banyak berjasa kepada Malaysia sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga.

– – –

Itu antara kata inspirasi yang telah diberikan oleh lima orang tokoh terkemuka dunia. Jika anda berminat untuk mendapatkan kata inspirasi daripada pelbagai tokoh, anda boleh mengikuti akaun instagram azmirshah.com kerana kami sentiasa memuat naik kata inspirasi  tokoh seluruh dunia.

Instagram : @azmirshahdotcom

Nota: Segmen ” Koleksi Kata Inspirasi Daripada Tokoh Dunia” ini akan dimuat naik di blog azmirshah.com setiap hari khamis jam 9 malam. Jangan lupa untuk mengikutinya. =)

Cara Memasak Burger Yang Sedap

Assalamualaikum. Hari ni saya nak kongsi cerita bagaimana membuat sebiji burger yang sedap. Kalau ada sesiapa yang nak buat berniaga, itu lagi bagus. Supaya pelanggan berpuas hati dan perniagaan kamu pun bertambah maju. Mengikut tinjauan pendapat yang telah saya lakukan, rasa burger yang sedap mestilah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • sedikit pedas
  • sedikit manis
  • sedikit berkrim
  • sedikit berempah
  • kaya dengan sos
  • aroma yang sedap dan menyelerakan
  • penampilan yang menggiurkan
  • harganya mestilah murah dan berpatutan

– – –

Ok, jom kita start!

– – –

Kuali
Sebaiknya dari jenis besi yang tebal. Memang harganya mahal sikit, sebab ia lebih bagus kerana haba dari api akan lebih stabil dan menyeluruh. Sebelum masak cuci kuali dulu. Gunakan axion/sunlight atau yang sama waktu dengannya. Kebiasaannya peniaga burger tak basuh kuali dengan betul. Mereka simbah-simbah jer dengan air kemudian gosok dengan scraper. Tak menjaga kebersihan langsung!

Api
Gunakan api kecil. Sebabnya ialah, jangan sesekali masak burger pakai api besar. Nanti daging burger cepat hangus, jadi garing macam keropok dan rasanya tak best. Hanya memasak burger menggunakan api kecil atau sederhana saja.

Marjerin
Sapukan marjerin ke serata kuali. Sapu thin layer saja. Jangan bubuh banyak – membazir. Ini supaya nanti time nak masak kuali tak melekat. Saya syorkan 2 jenis iaitu Planta atau Pelangi. Pelangi (keluaran Felda) lebih murah harganya.

Daging
Sebaikya daging sudah di-defrost-kan (nyahbeku) terlebih dulu agar cepat masak. Tapi jika daging tu masih beku – tak apa. Letak saja di kuali, cuma jangan sesekali gatal tangan besarkan api – inilah penyebab daging burger keras, garing dan hangus. Biar jer daging tu jadi lembut dan masak perlahan-lahan. Tak payah sibuk-sibuk letak marjerin, nanti daging tu akan keluar minyak sendiri.

Teknik Menggoreng
Balik-balikkan daging burger time memasak. Tak payah sibuk-sibuk tekan daging tu. Siapa yang ajar? Kalau korang rajin tekan-tekan daging tu, nanti semua jus daging dia hilang. Daging jadi hilang rasa dan keras! Rasa dah jadi tak sedap.

Teknik Ketuk Lubang
Teknik ini sangat bagus, sebabnya ialah selain dari membantu agar daging semuanya masak, ia juga jadi tempat untuk perencah meresap dan terperangkap. Selain itu juga, agar daging tetap tebal dan lembut – terasa apabila digigit dan dikunyah.

Teknik Merempah
Setelah diketuk-ketuk sampai berlubang, sila pastikan daging telah masak kemudian tekan sikit daging tu untuk membuang minyak yang berlebihan. Tekan 2-3 kali jer – jangan over pulak. Lepas tu bubuhlah perencah ikut step
iaitu:

  1. Worchestershire Sauce – Lea & Perrins.
    Jangan letak banyak, ala kadar sahaja.
  2. Kicap Perasa
    Saya lebih suka brand Maggi.
  3. Serbuk Lada Sulah (Optional)
    Apa-apa brand pun boleh.
  4. Serbuk Lada Hitam (Optional)
    Apa-apa brand pun boleh.
  5. Serbuk Kari Daging (Optional)
    Apa-apa brand pun boleh.
  6. Air Bawang Putih
    Buat sendiri.

Saya lebih suka guna serbuk lada hitam menggantikan serbuk lada sulah sepenuhnya sebab rasanya lebih best dan mantap serta nampak eksklusif.

Lepas selesai semua perencah, anda balikkan daging sekali, lepas tu tekan sekali jer dan angkat. Letak kat roti yang telah disediakan. Sekali lagi ditekankan, pastikan memasak daging jangan over cook, nanti rasa dia hilang dan keras.

Air Bawang Putih
Ia bertujuan untuk mengelakkan daging jadi over dry. Air bawang putih akan menggantikan jus daging yang sebahagiannya telah hilang waktu proses memasak tadi. Cara buatnya senang jer. Korang kupas bawang putih lepas tu ketuk bagi hancur. Masukkan dalam botol, bubuh air dan goncang! Tak payah bubuh garam tau.

Roti Burger
Lepas belah dua, korang sapu marjerin.
Sapu thin layer saja tapi menyeluruh. Bakar roti di kuali di bahagian isi tengah saja. Bahagian kulit atas dan bawah jangan bakar. Karang berminyak dan lembik pulak. Jangan gatal-
gatal tangan tekan roti tu time membakarnya. Lepas bahagian yang dibakar tu dah jadi perang sikit, korang angkatlah. Sebaiknya letak atas alas berjaring bukan di tempat yangg rata seperti pinggan. Letak kat alas berjaring akan membuatkan hot air circulation pada roti lancar. Roti jadi gebu, garing dan mantap. Jika korang letak kat tempat flat, roti nanti jadi lembik.

Sayur
Lepas roti dah dibakar. Korang bubuhlah sayur. Ni ada beberapa pilihan sayur.
Salad, lettuce, kobis, tomato, bawang kuning / Holland, timun.
Salad, lettuce dan kobis – sebaiknya korang hiris ler. Kobis tu paling bagus kalau dihiris
halus2, baru ler mantap. Tomato juga perlu dihiris. Bawang korang boleh pilih sama ada nak hiris atau potong dadu. Timun lebih baik kalau timun jepun – lebih rangup dan tiada risiko liat dan pahit seperti timun biasa. Saya suka combine lettuce/kobis + bawang potong dadu + timun jepun.

Sos Cili
Sebaiknya gunakan sos cili yang ada brand la seperti Maggi, Kimball etc. Saya lebih suka sos cili jenis ala Thai agar rasanya tidak masam. Jangan pakai sos cili murah, nanti rasa burger tak sedap.

Sos Tomato
Kalau nak gunakan sos tomato, carilah yang rasanya kurang masam. Gunakan sedikit sahaja. Saya tak suka sos tomato.

Sos Lada Hitam
Kalau letak ni pun sedap… tambah sodap. Syaratnya pastikan sos lada hitam tu pedas-pedas manis sikit. Korang boleh adjust sendiri dengan kicap manis cap Kipas Udang + sedikit gula atau madu. Insya’allah sedap.

Mayonis
Mayonis yang paling sesuai ialah brand Ladys Choice. Tapi harganya mahal. Brand murah rasanya agak masam sedikit – masam tak bagus untuk burger citarasa Malaysia ini. Kalau korang nak jimat, korang beli jer mayonis pakai paket jenama murah sikit. Lepas tu korang adjust dengan menambah gula castor atau gula icing barang sesudu dua lepas tu gaul rata.

Keju
Kalau nak letak keju pun boleh, cuma mahal ler sikit.

Telur
Guna telur ayam yer, bukan telur itik atau penyu. Telur ni untuk Benjo sahaja mulanya. Tapi sekarang dah jadi trend burger tambah telur jadi burger special. Ada macam-macam fesyen dan teknik. Ada yang masak pakai acuan (old style), ada yang buat dadar lepas tu lipat dan ada yang buat dadar lepas tu bungkus daging burger.
Bagi saya, jika nak rasa telur tu benar-benar terasa ialah dengan mengunakan teknik acuan. Telur akan utuh dalam bentuk alaminya dan ketebalannya itulah yang menyebabkan rasa telur itu muncul. Kalau dah jadi pembungkus daging, rasa telur tu dah kalah habis oleh rasa daging. So what for letak telur? Ia lebih kepada untuk membuat mata para pelanggan
tertarik aja. Tapi ingat… makan burger pakai mulut, gigi, lidah dan tekak… bukan pakai mata! Tapi selera orang lain-lain. Lantak dia ler.

Madu
Korang juga boleh cuba letak madu pada daging burger. Guna madu murah sahaja seperi brand Tesco etc. Saya dah test, ramai orang suka.

Habis dah pun cerita pasal resepi memasak burger. Ingat, burger yang sedap harus berasa sedikit manis, sedikit pedas dan agak “soggy”/”basah”. Rasa masam akan merosakkan rasa burger.

Cara Masak Burger Yang Sedap

AzmirShah.Comさんの投稿 2015年11月6日金曜日

Ini adalah cara memasak burger yang pasti sedap. Boleh la cuba ye.

Alat Navigasi Untuk Penunggang Basikal Yang Anti Sesat

Baru-baru ini sebuah syarikat daripada UK telah melancarkan satu alat yang mampu membantu penunggang basikal untuk berbasikal di kawasan bandar yang diberi nama Beeline, sebuah alat navigasi yang direka khas untuk penunggang basikal. Alat yang perlu dipasang pada basikal ini berperanan sebagai kompas yang membimbing penunggang untuk sampai ke destinasi dengan selamat. Selain daripada menunjukkan arah, alat ini juga mampu untuk memberitahu jarak perjalanan yang telah disetkan daripada destinasi permulaan sehingga ke destinasi akhir .

Ianya dapat digunakan dengan mudah. Apa yang perlu dilakukan hanyalah sekadar setkan destinasi yang diinginkan menerusi aplikasi mudah alih yang perlu dimuat turun didalam telefon bimbit pengguna. Selepas itu aplikasi terbabit akan berinteraksi dengan peranti yang tersedia di basikal penunggang untuk menunjukkan arah. Kemudian ia sudah boleh digunakan. Ringkas bukan?

Menariknya lagi, alat ini telah direka khas untuk melindungi skrin daripada kesan calar dan sebagainya. Lebih-lebih lagi apabila pengguna tergolong didalam golongan yang suka meletakkan barangan di mana-mana sahaja termasuk poket mahupun di bag. Selain daripada itu, ianya juga dilengkapi dengan strap aluminium yang membolehkan alat ini diletakkan bersama dengan kunci jika ia tidak digunakan.

beeline 6
Integrasi antara aplikasi dan peranti
beeline navigation system
Alat peranti diletakkan dibahagian hadapan basikal
beeline 2
Mudah untuk dipasang
beeline 3
Rekaan yang ringkas
beeline 4
Ditawarkan dengan pelbagai warna yang menarik.
beeline 5
Mudah diletakkan bersama kunci jika tidak digunakan

Beeline turut menjalinkan kerjasama bersama London’s map project office untuk membuat butiran mengenai bahagian elektronik dan perisian. Malahan demi memenuhi selera pengguna, alat ini ditawarkan dengan pelbagai warna dan boleh dilakukan pengubahsuaian mengikut pengguna yang diinginkan. Lebih-lebih lagi dengan ciri-ciri kalis cuaca serta penggunaan skrin ultra berkuasa rendah disamping menggunakan komponen dan perisian yang dioptimumkan untuk kecekapan, alat ini sememangnya memenuhi citarasa penunggang basikal di Londan.

Syarikat yang mendapat suntikan dana daripada laman kickstarter ini menjangkakan yang batch pertama beeline akan dikeluarkan pada ogos 2016. Tonton video promo ini untuk maklumat lanjut.

Nota: Berbasikal bukanlah budaya di Malaysia disamping susunan bandar yang pelbagai. Jika tidak, mungkin boleh bawakan alat navigasi untuk penunggang basikal ini ke Malaysia.

7 Perkara Menarik Mengenai Hari Deepavali

Negara Malaysia amat terkenal dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini telah lama terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Di Malaysia, pelbagai perayaan disambut dalam setahun. Salah satu perayaan yang dirayakan oleh masyarakat India di Malaysia ialah perayaan Deepavali atau dikenali sebagai Pesta Cahaya. Perayaan Deepavali juga dikenali sebagai Diwali, Depawali, Dewali, Dipodsavi dan Dipapratipad. Perayaan Deepavali merupakan sebuah perayaan berwarna-warni yang dirayakan oleh masyakat India yang beragama Hindu di seluruh pelusuk dunia dan kebiasaannya disambut pada penghujung bulan Oktober dan awal bulan November.

Oleh kerana Malaysia ini sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk, tidak salah rasanya kita yang terdiri daripada bangsa yang lain untuk mengetahui serba sedikit mengenai budaya dan sambutan perayaan masyarakat yang lain. Jadi pada kali ini, kami di azmirshah.com akan membawakan kepada anda 7 perkara menarik yang anda patut tahu mengenai sambutan Hari Deepavali.

1. Deepavali lambang kejayaan kebaikan melawan kejahatan.

hari deepavali, happy deepavali, happy deepavali malaysia

Sungguh asing jika kita melihat Deepavali tanpa pelita kerana perayaan itu sendiri mempunyai maksud Pesta Cahaya. Antara sebab mengapa perayaan ini dirai dengan pelita yang dipasang adalah sebagai simbolik penganut Hindu yang melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan berdasarkan lagenda yang diturunkan kepada mereka mengenai Raja Narakasura dan Dewa Krishnan.

Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan. Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

Oleh kerana itu, pelita dipasang dan dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali. Pelita yang dipasang sedikit sebanyak turut memeriahkan lagi perayaan terbabit.

2. Kolam menjadi penyeri rumah.

kolam, kolam deepavali, hari deepavali

Kebanyakan penganut Hindu akan menghiasi rumah mereka dengan “kolam ” atau “rangoli” atau “muggu” iaitu hiasan lantai yang diperbuat daripada beras yang diwarnakan sebelum tertib matahari. Biasanya “kolam ” ini dibuat di depan pintu rumah sebagai tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.

Kemahiran membuat “kolam” ini biasanya diwarisi secara turun-temurun. Walaupun nampak susah, tetapi penganut Hindu boleh membuatnya dengan cantik, unik dan menarik yang kebanyakannya bermotifkan tumbuhan. Upacara ini membawa maksud yang amat bererti kerana perayaan ini tidak hanya dirayakan oleh penganut Hindu tetapi juga makhluk lain di dunia.

Hiasan “kolam” ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan “kolam” di pintu masuk rumah mereka.

3. Makanan sedap di Hari Deepavali.

manisan, manisan deepavali, hari deepavali, happy deepavali

Manisan merupakan identiti masyarakat India. Manisan ini bukan sahaja diminati oleh kaum India tetapi juga masyarakat lain di negara ini . Dalam masyarakat India, manisan sering menjadi acara pembuka sebelum memulakan sesuatu majlis, acara atau hari perayaan. Mereka percaya ia mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan. Itulah juga sebabnya manisan yang lebih manis dan sedap dianggap lebih baik dan dialu-alukan.

Mereka akan dihidangkan dengan juadah tradisional kaum india yang terkenal seperti halwa dan laddu. Malah sembilan jenis hidangan sayur-sayuran turut disediakan pada pagi Deepavali. Antaranya ialah “aloogobi” iaitu campuran ubi kentang dan kobis bunga, “paneer” campuran masala bersama yourgart dan kari dal. Tidak ketinggalan kuih-muih tradisional lain seperti maruku dan adivasam dan payasam. Muruku, Neiurundai dan Atherasam adalah merupakan kuih-muih tradisional orang India.

Tetapi pada masa kini, biskut dan kek juga merupakan juadah hari Deepavali selain daripada kuih-muih tradisional masyarakat India. Ini berlaku seiring dengan kemajuan yang dikecapi pada hari ini. Bagi golongan wanita yang bekerja, mereka boleh membeli pelbagai jenis kuih tradisional, kek dan biskut yang dijual kedai-kedai sempena sambutan perayaan Hari Deepavali.

4. Tempoh sambutan Deepavali berbeza mengikut tempat.

hari deepavali, happy dewali

Perayaan Hari Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November). Masyarakat di selatan India meraikannya selama tiga hari berturut-turut berbanding lima hari di sebelah utara negara itu. Di Malaysia, perayaan Deepavali disambut sehari sahaja namun ia terpulang kepada individu untuk mengadakan rumah terbuka sebanyak mana hari yang mereka mahukan. Namun begitu, masyarakat India yang tinggal di kawasan ladang dan estet menyambut perayaan Deepavali ini lebih lama dalam suasana kampung.

5. Penganut Hindu mandi minyak bijan untuk menyucikan diri.

mandi minyak bijan, hari deepavali

Pada pagi perayaan Hari Deepavali, seluruh ahli keluarga akan bangun lebih awal iaitu sebelum matahari terbit. Seawal pukul 3 pagi, penganut agama Hindu akan memasang pelita atau lampu di sekitar kawasan rumah. Seluruh keluarga juga akan mandi dan membersihkan diri sebelum bersalam dan memohon maaf dengan kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Selain itu, upacara mandi minyak bijan turut dilakukan pada awal pagi sebelum matahari terbit. Penganut Hindu menjalankan upacara mandi minyak bijan bertujuan untuk menyucikan badan dan semangat. Ia adalah tanda simbolik sebagai penyucian diri. Minyak bijan ini akan disapukan ke atas kepala setiap ahli keluarga oleh mereka. Kebaikan mandi minyak bijan bagaikan mandi di Sungai Ganges yang suci bertujuan membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki. Selepas mandi dimestikan memakai pakaian dan perhiasan serba baru pada pagi Deepavali bertujuan untuk menghilangkan segala sifat buruk dan kejahatan dalam diri seseorang.

6. Penganut Hindu juga punyai pantang larang yang tersendiri.

kunjungan hari deepavali

Pantang larang adalah sesuatu perkara yang menyekat kita dari melakukan sesuatu kerana ada keburukan disebaliknya. Ia selalunya diamalkan oleh orang-orang tua dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan tidak terkecuali masyarakat India juga. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun kemurun.

Ramai yang berpendapat pantang larang yang dikenakan oleh orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam kehidupan. Sebahagian pantang larang sudah menjadi amalan atau prinsip dalam kehidupan hari ini.

Pengganut agama Hindu juga tidak terkecuali dari pantang larang yang diamalkan semasa menyambut Deepavali.Salah satu pantang larang yang masih diamalkan sehingga hari ini ialah :

6.1 Amalan berkabung bagi saudara yang telah meninggal dunia.

Antara pantang larang yang diturunkan daripada generasi terdahulu adalah amalan berkabung yang dilakukan bagi menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Semua ahli keluarga terdekat bagi individu yang telah meninggal dunia dilarang menyambut perayaan Deepavali selama setahun. Namun begitu mereka masih dibenarkan untuk melawat ke rumah rakan-rakan seagama. Selain memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah tiada, tindakan ini juga bertujuan untuk mendapatkan kesejahteraan bagi diri dan keluarga.

6.2 Tidak boleh memakan manisan jika tidak mendapat restu.

Mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, manisan yang dibuat itu tidak boleh dimakan selagi manisan itu belum mendapat restu daripada Tuhan. Pada pagi sambutan Deepavali, masakan dan beberapa jenis manisan dipersembahkan semasa bersembahyang di rumah dengan tujuan untuk mendapat restu daripada Tuhan. Selepas bersembahyang, barulah hidangan manisan dan juga makanan istimewa lain yang disediakan boleh dinikmati.

6.3 Pemilihan warna pakaian yang bersesuaian.

Pantang larang yang seterusnya adalah berkaitan dengan warna pakaian yang dipakai semasa menyambut Deepavali. Pakaian yang dipakai mestilah warna yang garang seperti merah, biru dan oren. Mereka dilarang memakai pakaian yang berwarna hitam atau putih kerana ia bermaksud kesedihan.

7. Amalan berkunjung mengunjung turut diamalkan masyarakat Hindu.

pantang larang deepavali, deeapvali taboos

Amalan berkunjung ke rumah saudara mara terdekat masih lagi diteruskan selama beberapa hari selepas Hari Deepavali untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka.Sesetengah penganut agama Hindu akan mengadakan sambutan perayaan secara besar-besaran dengan menganjurkan rumah terbuka untuk menjamu sanak-saudara dan rakan-rakan mereka yang bukan beragama Hindu. Rumah terbuka tersebut amat meriah dengan pelbagai makanan tradisional dan moden yang sungguh lazat seperti nasi beriani, kari ayam, kurma, tosai, muruku, achi muruku, omapodi dan manisan seperti laddu dan neiurundai disediakan untuk para tetamu yang hadir yang hadir.

Amalan memberi wang iaitu angpau kepada kanak-kanak juga semakin popular pada Hari Deepavali. Duit ini selalunya diberi oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit pelbagai rupa bentuk dan warna. Amalan ini akan memeriahkan lagi suasana perayaan Hari Deepavali.

– – –

Mungkin ada diantara anda yang kurang memahami tentang sambutan Hari Deepavali. Disebabkan itulah entri ini dikeluarkan bagi memberi lebih kefahaman kepada masyarakat tentang budaya masyarakat India di Malaysia yang kebanyakannya beragama Hindu dan menyambut Hari Deepavali. Kata orang ” Perbezaan dirai, kemeriahan dikongsi”, biar pengetahuan ini memupuk sikap saling hormat menghormati.

Share kepada rakan-rakan jika anda rasa entri ini bermanfaat. =)