Dr. Onn Akhbar Ali, seorang Pakar Perunding Kardiologi di KPJ Kajang menerusi akaun Youtube dan Tiktoknya telah berkongsi kepada para penonton tentang tabiat sarapan pagi tidak sihat dikalangan rakyat Malaysia.
Sarapan boleh diambil jika perut dalam keadaan kosong (lapar). Namun disebabkan oleh gaya hidup masyarakat yang kian sibuk disamping perlu memenuhi pelbagai tanggungjawab, ia menjadikan kita tiada masa untuk mengambil sarapan pagi.
Walaupun ramai dikalangan doktor dan pakar pemakanan percaya sarapan pagi adalah hidangan paling penting untuk memulakan hari, namun ia bukan sesuatu yang wajib untuk diambil terutama jika anda mengambil makanan yang tidak berkhasiat sebagai sarapan.
Malahan ada beberapa jenis makanan dimomokkan sebagai makanan yang berkhasiat sedangkan realiti yang sebenarnya tidak. Sesetengah daripadanya juga boleh memberi kesan kepada orang dewasa terutama yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, kolestrol ataupun sakit jantung.
Beliau juga sedar tentang tahap kesibukan masyarakat kini tidak dapat dibendung lagi. Sebab itu kebanyakan daripada kita memilih pemakanan yang senang, sedap, dan mengambil masa yang singkat. Tetapi sarapan tidak sihat ini mungkin boleh membawa kemudaratan kepada si pemakannya kerana mempunyai kandungan gula yang tinggi yang menyumbang kepada penyakit.
Atas keperihatinan tersebut, beliau kongsikan kepada anda semua tentang 5 senarai sarapan tidak sihat yang mengandungi gula yang tinggi yang perlu dielakkan. Antaranya adalah seperti berikut:
5. Air Jus
Menurut Dr Onn, kita kena melihat kembali bagaimana proses pembuatan air jus dilakukan. Setiap kali kita membuat air jus, kita mengakstrek gula dan air daripada buah yang diproses dan buang semua khasiat lain untuk diminum.
Segelas jus epal juga memerlukan kira-kira 3-5 biji epal untuk diproses. Walau air jus itu sedap, kita hanya mampu rasa kenyang selama setengah jam ke satu jam sahaja. Kalau orang yang menghidapi penyakit kencing manis mengamalkan tabiat minum jus, pasti kadar gula dalam badan mereka juga akan naik mendadak. Kemudian bila lapar, makan balik.
4. Bijiran
Kita selalu terpengaruh dengan gambaran filem tentang bagaimana sarapan pagi itu mesti dengan bijiran. Warna yang menyerlah menyebabkan kita pun teringin nak makan sama sampai terkeluar air liur.
Tapi kalau diteliti dengan lebih lanjut tentang kandungan bijiran, kita pasti akan sedar yang bijiran ini mempunyai karbohidrat ringkas dan kandungan gula yang tinggi.
Contohnya tentang bagaimana salah satu jenama bijiran yang berada di pasaran menawarkan saiz hidangan sebanyak 45g, tetapi apabila melihat bahan-bahannya pula menunjukkan kandungan karbohidrat sahaja 34.6g, kandungan gula pula 12.6g.
Malahan ada sesetengah bungkusan bijiran cuba untuk mengaburi mata pembeli mereka dengan memberikan nama yang lebih berteknologi seperti High Fructose syrup sedangkan realiti yang sebenar ia tetap gula.
3. Roti Putih
Seterusnya ialah roti putih kecil yang berharga RM1++ yang biasa dijadikan sarapan oleh rakyat Malaysia. Jangan kata kunyah, hisap-hisap pun boleh telan terus sampai boleh disamakan seperti gula kapas. Orang tiada gigi pun boleh makannya.
Enak kita bersarapan dengannya, roti jenis ini juga antara sarapan yang mengandungi banyak gula, banyak karbohidrat tetapi tidak punyai protein, tiada lemak dan fiber yang berkhasiat.
2. Milo
Seterusnya ialah Milo. Ini adalah minuman kegemaran rakyat Malaysia yang sejak dahulu lagi dimomokkan sebagai pemakanan yang sihat. Kalau dibaca kandungan milik yang terdapat pada tin Milo yang berada di pasaran, 40% daripadanya adalah kandungan gula. Contohnya dalam sepeket Milo, kalau anda bersarapan dan punyai hidangan sebanyak 30g, kandungan gulanya sahaja ialah 12.2g.
1. Minuman 3 dalam 1
Minuman 3 dalam 1 adalah satu bentuk kemalasan yang ketara. Tuang air panas sahaja, kopi atau nescafe terus siap terhidang sedangkan tanpa disangka 50% daripada adalah kandungan gula.
Kalau anda tidak percaya, anda boleh periksa sendiri kandungan minum segera tersebut dan lihat dengan teliti bahan-bahannya. Sudah tulisannya kecil, kalau orang tua tengok pun kena pakai cermin mata.
Contohnya daripada segi saiz hidangan Nescafe Late Hazelnut, bagi hidangan 24g, jumlah gula sahaja adalah 12g. Maknanya separuh hidangan itu adalah gula. Susu sikit sahaja.
Akhir kata dari Dr. Onn Akhbar Ali
Akhir kalam, ada nasihat yang cuba disampaikan oleh Dr. Onn Akhbar Ali. Katanya jika anda semua bangun pagi dan tidak sempat untuk bersarapan pagi, anda tidak perlu bersarapan pagi. Ini lebih baik daripada anda makan makanan yang tidak berkhasiat.
Baca juga: Asal usul Bintang Michelin yang menjadi idaman restoran
Baca juga: 11 Tip Mengendalikan Makanan Yang Anda Perlu Tahu
Sarapan juga bukan makanan paling penting dalam memulakan hari. Anda boleh buat puasa berkala (intermittent fasting) dengan cara makan tengah hari lewat atau makan malam awal, makan sehari sekali atau makan sehari dua kali sahaja. Terpulang kepada diri anda.
Lagipun ia pilihan yang lebih baik berbanding makan makanan yang tidak berkhasiat. Makanlah makanan yang fresh dan nikmatinya bersama keluarga.