Siapalah yang tidak mempunyai impian untuk memiliki harta berjuta-juta seperti mana yang dimiliki oleh Tan Sri – Tan Sri mahupun Dato – Dato di dalam cerita melayu. Rumah besar, kereta besar, serba serbi mencukupi.

Walaupun cerita-cerita seperti ini sering memaparkan kisah kehidupan mereka yang serba berantakan disebabkan oleh bergaduhkan harta, perhubungan yang bermasalah dan keburukan perangai anak-anak, namun percayalah ramai sahaja individu diluar sana yang mempunyai kehidupan yang lebih baik walaupun berharta.

Contoh orang kaya

Contoh yang terdekat adalah Bill Gates sendiri yang banyak membelanjakan wang yang ada untuk tujuan kebajikan. Mark Zuckerberg yang bahagia bersama isteri tercinta dengan kehidupan yang bersederhana walaupun punyai banyak harta.

Tidak kurang juga dengan tokoh tempatan seperti Syed Mokhtar Al Bukhari yang membantu golongan miskin menerusi Yayasan Albukhary. Pucuk pangkalnya adalah kita sendiri yang mencorakkan kehidupan duniawi ini.

Apabila kita berceritakan tentang kelas bawahan yang miskin pula, tidak dapat dinafikan mereka ini adalah golongan yang perlu dibantu kerana terjejas teruk dihimpit oleh kehidupan yang semakin mencabar.

Sayangnya pada entri kali ini, bukan golongan ini yang kami ingin sentuh, sebaliknya kami lebih berminat untuk membincangkan mengenai golongan kelas M40 atau kita gelarkan golongan sederhana. Golongan yang tidak kaya, tidak juga miskin. Sedang-sedang sahaja.

Golongan ini sebenarnya berada didalam kedudukan bahaya. Mereka ini fikir mereka selamat sedangkan mereka ini antara golongan yang terancam. Salah langkah boleh jatuh miskin, baik langkahnya insyallah jadi kaya.

Kenapa saya berkata begitu?

Golongan M40 makin susah

Tahukah anda bebanan yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat Malaysia semakin lama semakin tinggi disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kehidupan yang membebankan, kesusahan yang tidak diduga dan sebagainya.

Di pihak kerajaan pula, mereka sering membantu golongan “miskin” menerusi badan-badan amal, dan dimasa yang sama mereka terlepas pandang dengan golongan menengah yang berpendapatan sederhana ini.

Ini kerana ramai yang beranggapan mereka ini golongan yang kurang penting untuk dibantu. Pakaian dan makanan insyallah mencukupi, serba serbi ada walaupun tidak kaya.

Dipihak M40 ini pula, ada diantara mereka yang mengamalkan kehidupan yang agak mewah walaupun mereka kurang mampu. Ayat lebih sesuai digunakan adalah berbelanja melebihi kemampuan.

Sedar tak sedar apabila keadaan ekonomi berubah, status mereka turut berubah. (Nak harapkan kerajaan berubah memang tidak la). Jadi pada bila-bila masa status mereka boleh berubah daripada M40 atau pertengahan ini kepada B40. Jadi macam mana nak kaya ni?

Nak jadi orang kaya buat la macam orang kaya, fikir macam orang kaya, ada betul-betul duit macam orang kaya. Caranya ialah kita perlu berubah. Ubah kunci utamanya dahulu iaitu mentaliti.

Jadi dibawah ini merupakan 7 perbezaan golongan M40 dan T20 yang boleh dijadikan rujukan oleh pihak anda yang berangan-angan untuk jadi kaya.

Bagaimana cara berfikiran mereka dan bagaimana cara mereka buat diri mereka tidak layak untuk menerima Br1M.

1. M40 hidup selesa, T20 pantang rasa selesa.

Golongan M40 selesa dengan pekerjaan yang menjamin diri mereka untuk memperolehi pendapatan untuk hari ini dan di masa akan datang. Mereka selesa berkerja untuk orang lain.

Golongan M40 berpendapat asal mempunyai perkerjaan yang baik, rumah yang boleh diduduki, kereta yang boleh bergerak dan ada sedikit simpanan, itu sudah cukup mengembirakan.

Berbanding dengan T20, mereka cuba melakukan perkara yang mencabar hampir setiap hari kerana mereka sendiri menyedari bahawa perkara yang luar biasa berlaku apabila mereka tidak meletakkan diri didalam keadaan yang selesa.

Sebab itulah mereka mengambil risiko untuk membuka perniagaan, mengambil risiko untuk membuat keputusan perniagaan dan  mencuba perkara baru dan jana keuntungan daripadanya.

2. M40 mendaki tangga korporat, T20 memiliki tangga.

M40 cenderung untuk bekerja untuk orang lain. Mereka mempunyai perkerjaan atau kita panggilkan ia sebagai kerjaya. Lebih rasa beruntung, mereka akan berkerja sendiri. T20 pula berbeza, mereka memilih untuk memiliki perniagaan.

Mereka lebih cenderung untuk memiliki tangga korporat berbanding golongan M40 yang cenderung untuk mendaki tangga terbabit.

T20 lebih memahami yang mereka memerlukan lebih ramai orang untuk bekerja untuk mereka bagi mendapatkan wang dan mereka menggelarkan ia sebagai pendapatan pasif.

3. M40 bekerja untuk mendapatkan wang, T20 bekerja untuk belajar.

M40 sangat mudah dipujuk untuk menukarkan pekerjaan apabila seseorang menawarkan lebih banyak wang berbanding majikan sebelumnya.

Berbanding sikap T20, mereka berpendapat bekerja bukan mengenai wang semata-mata sebaliknya kesempatan ini digunakan untuk membangunkan kemahiran diri dan mempelajari nilai-nilai berguna yang bakal digunakan untuk membangunkan diri sebelum bertukar menjadi orang kaya.

Sebagai contoh berkerja sebagai penjual untuk memahami dengan lebih mendalam dengan dunia jualan ataupun berkerja di bank hanya untuk memahami mengenai perakaunan.

Jika anda mahu untuk menjadi kaya, anda perlu berkerja untuk belajar mengenai skill yang anda mahukan untuk menjadi kaya kerana kebanyakan mereka yang kaya tidak melakukan perkerjaan tersebut semata-mata demi memperolehi gaji yang tinggi.

4. Tumpuan M40 adalah simpanan, tumpuan T20 adalah pada pendapatan.

Simpanan itu penting. Pelaburan juga penting. Tetapi pendapatan adalah asas kepada kedua-duanya.

Anda memahami bahawa anda perlu menyimpan dan melabur, tetapi untuk benar-benar mencapai matlamat kewangan anda, anda perlu untuk mendapatkan lebih daripada sepatutnya.

T20 memahami perkara ini dan berkerja untuk mewujudkan saluran pendapatan yang pelbagai. Jika anda benar-benar mahu menjadi kaya, berusaha untuk meningkatkan pendapatan anda, bukan kemampuan menabung anda sahaja.

5. M40 emosi dengan wang, T20 pula logik.

Steve Siebold, seorang yang pakar didalam bidang pemikiran kritikal dan latihan kekuatan mental telah menjalankan temuramah dengan lebih 1,200 orang kaya daripada seluruh dunia sejak 30 tahun yang lalu.

Didalam bukunya “How Rich People Think”, beliau menyatakan tentang kira-kira 100 jenis perbezaan pandangan orang kaya terhadap wang berbanding dengan kelas pertengaha (M40).

Salah satu perbezaan utama dia dapati adalah bahawa M40 melihat wang melalui mata emosi, tetapi T20 melihat wang melalui mata logik. Logik disini bermaksud orang kaya memandang wang itu sebagai alat sahaja.

Membuat keputusan kewangan melalui  emosi sedikit sebanyak akan merosakkan kewangan anda. Warren Buffett menjelaskan bahawa pelaburan merupakan satu bidang yang memerlukan pemainnya untuk mengawal emosi dengan wang. Emosi inilah penyebab mengapa orang menjual dengan harga yang tinggi dan rendah.

Emosi sememangnya membuatkan urusan perniagaan itu dalam keadaan merbahaya. Oleh itu, tinggalkan emosi anda untuk menjalankan urusan yang melibatkan wang dan berfikirlah menggunakan logik.

6. M40 memandang rendah potensi diri mereka, T20 pula kekal bersama matlamat yang besar.

Golongan M40 kebiasaannya menetapkan matlamat dan begitu juga dengan T20. Bezanya matlamat antara dua golongan ini adalah kapasiti matlamat itu sendiri.

M40 kebiasaannya menetapkan matlamat yang selamat dan mudah diperolehi. Matlamat yang ditetapkan oleh T20 pula kelihatan mustahil, sukar atau gila. Tetapi mereka tahu matlamat dan impian mereka itu boleh dicapai. Semuanya datang kembali untuk mempunyai minda yang betul.

Apabila anda menetapkan matlamat anda sendiri, cuba tanya pada diri anda sendiri sama ada matlamat itu boleh jadi lebih besar. Matlamat yang anda yakin mampu melakukannya. Saya rasa anda boleh jika mempunyai minda yang betul. Anda?

7. M40 berkerja keras, T20 pula berkerja secara bijak.

Kerja keras itu perlu dan kami pasti kedua-dua golongan ini melakukan perkara yang sama. Yang bermasalahnya ialah apabila kerja keras itu dilakukan secara berseorangan, itu kebiasaannya menjadi tabiat M40.

Anda tidak boleh menjadi kaya jika melakukan kesemuanya dengan sendiri terutama anda mula berniaga secara kecil-kecilan. Anda perlu berkerja dengan lebih bijak untuk memastikan segala usaha yang dilakukan oleh anda itu berbaloi.

Antaranya melakukan usahasama dengan orang lain untuk menjalankan perniagaan, menambah lebih banyak pekerja untuk membantu anda dan sebagainya. Yang penting adalah bijak.

– – – –

Baca juga: Tips pengurusan kewangan  di Simposium Pengurusan Ringgit (SUPER)

Diharapkan entri ini dapat membantu anda untuk mencapai angan-angan untuk menjadi senang. Berangan tidak salah. Semua orang bermula dengan memasang impian. Yang tidak ada impian itu yang bermasalah sebenarnya. Jadi jangan lupa untuk sedar diri, dan marilah kita sama-sama berubah.

Share.

Seorang programmer yang mempunyai pengalaman yang tidak seberapa. Memiliki kelulusan daripada universiti terkemuka di Malaysia dan secara jujurnya beliau meminati Elon Mask lebih daripada Bill Gate.Seorang yang bercita-cita tinggi, kini bekerja sebagai Front-End developer di salah sebuah syarikat di Shah Alam.

Leave A Reply

Exit mobile version