Negara Malaysia amat terkenal dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini telah lama terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Di Malaysia, pelbagai perayaan disambut dalam setahun. Salah satu perayaan yang dirayakan oleh masyarakat India di Malaysia ialah perayaan Deepavali atau dikenali sebagai Pesta Cahaya. Perayaan Deepavali juga dikenali sebagai Diwali, Depawali, Dewali, Dipodsavi dan Dipapratipad. Perayaan Deepavali merupakan sebuah perayaan berwarna-warni yang dirayakan oleh masyakat India yang beragama Hindu di seluruh pelusuk dunia dan kebiasaannya disambut pada penghujung bulan Oktober dan awal bulan November.
Oleh kerana Malaysia ini sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk, tidak salah rasanya kita yang terdiri daripada bangsa yang lain untuk mengetahui serba sedikit mengenai budaya dan sambutan perayaan masyarakat yang lain. Jadi pada kali ini, kami di azmirshah.com akan membawakan kepada anda 7 perkara menarik yang anda patut tahu mengenai sambutan Hari Deepavali.
1. Deepavali lambang kejayaan kebaikan melawan kejahatan.
Sungguh asing jika kita melihat Deepavali tanpa pelita kerana perayaan itu sendiri mempunyai maksud Pesta Cahaya. Antara sebab mengapa perayaan ini dirai dengan pelita yang dipasang adalah sebagai simbolik penganut Hindu yang melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan berdasarkan lagenda yang diturunkan kepada mereka mengenai Raja Narakasura dan Dewa Krishnan.
Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan. Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.
Oleh kerana itu, pelita dipasang dan dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali. Pelita yang dipasang sedikit sebanyak turut memeriahkan lagi perayaan terbabit.
2. Kolam menjadi penyeri rumah.
Kebanyakan penganut Hindu akan menghiasi rumah mereka dengan “kolam ” atau “rangoli” atau “muggu” iaitu hiasan lantai yang diperbuat daripada beras yang diwarnakan sebelum tertib matahari. Biasanya “kolam ” ini dibuat di depan pintu rumah sebagai tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.
Kemahiran membuat “kolam” ini biasanya diwarisi secara turun-temurun. Walaupun nampak susah, tetapi penganut Hindu boleh membuatnya dengan cantik, unik dan menarik yang kebanyakannya bermotifkan tumbuhan. Upacara ini membawa maksud yang amat bererti kerana perayaan ini tidak hanya dirayakan oleh penganut Hindu tetapi juga makhluk lain di dunia.
Hiasan “kolam” ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan “kolam” di pintu masuk rumah mereka.
3. Makanan sedap di Hari Deepavali.
Manisan merupakan identiti masyarakat India. Manisan ini bukan sahaja diminati oleh kaum India tetapi juga masyarakat lain di negara ini . Dalam masyarakat India, manisan sering menjadi acara pembuka sebelum memulakan sesuatu majlis, acara atau hari perayaan. Mereka percaya ia mampu membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan. Itulah juga sebabnya manisan yang lebih manis dan sedap dianggap lebih baik dan dialu-alukan.
Mereka akan dihidangkan dengan juadah tradisional kaum india yang terkenal seperti halwa dan laddu. Malah sembilan jenis hidangan sayur-sayuran turut disediakan pada pagi Deepavali. Antaranya ialah “aloogobi” iaitu campuran ubi kentang dan kobis bunga, “paneer” campuran masala bersama yourgart dan kari dal. Tidak ketinggalan kuih-muih tradisional lain seperti maruku dan adivasam dan payasam. Muruku, Neiurundai dan Atherasam adalah merupakan kuih-muih tradisional orang India.
Tetapi pada masa kini, biskut dan kek juga merupakan juadah hari Deepavali selain daripada kuih-muih tradisional masyarakat India. Ini berlaku seiring dengan kemajuan yang dikecapi pada hari ini. Bagi golongan wanita yang bekerja, mereka boleh membeli pelbagai jenis kuih tradisional, kek dan biskut yang dijual kedai-kedai sempena sambutan perayaan Hari Deepavali.
4. Tempoh sambutan Deepavali berbeza mengikut tempat.
Perayaan Hari Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November). Masyarakat di selatan India meraikannya selama tiga hari berturut-turut berbanding lima hari di sebelah utara negara itu. Di Malaysia, perayaan Deepavali disambut sehari sahaja namun ia terpulang kepada individu untuk mengadakan rumah terbuka sebanyak mana hari yang mereka mahukan. Namun begitu, masyarakat India yang tinggal di kawasan ladang dan estet menyambut perayaan Deepavali ini lebih lama dalam suasana kampung.
5. Penganut Hindu mandi minyak bijan untuk menyucikan diri.
Pada pagi perayaan Hari Deepavali, seluruh ahli keluarga akan bangun lebih awal iaitu sebelum matahari terbit. Seawal pukul 3 pagi, penganut agama Hindu akan memasang pelita atau lampu di sekitar kawasan rumah. Seluruh keluarga juga akan mandi dan membersihkan diri sebelum bersalam dan memohon maaf dengan kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
Selain itu, upacara mandi minyak bijan turut dilakukan pada awal pagi sebelum matahari terbit. Penganut Hindu menjalankan upacara mandi minyak bijan bertujuan untuk menyucikan badan dan semangat. Ia adalah tanda simbolik sebagai penyucian diri. Minyak bijan ini akan disapukan ke atas kepala setiap ahli keluarga oleh mereka. Kebaikan mandi minyak bijan bagaikan mandi di Sungai Ganges yang suci bertujuan membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki. Selepas mandi dimestikan memakai pakaian dan perhiasan serba baru pada pagi Deepavali bertujuan untuk menghilangkan segala sifat buruk dan kejahatan dalam diri seseorang.
6. Penganut Hindu juga punyai pantang larang yang tersendiri.
Pantang larang adalah sesuatu perkara yang menyekat kita dari melakukan sesuatu kerana ada keburukan disebaliknya. Ia selalunya diamalkan oleh orang-orang tua dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan tidak terkecuali masyarakat India juga. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun kemurun.
Ramai yang berpendapat pantang larang yang dikenakan oleh orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam kehidupan. Sebahagian pantang larang sudah menjadi amalan atau prinsip dalam kehidupan hari ini.
Pengganut agama Hindu juga tidak terkecuali dari pantang larang yang diamalkan semasa menyambut Deepavali.Salah satu pantang larang yang masih diamalkan sehingga hari ini ialah :
6.1 Amalan berkabung bagi saudara yang telah meninggal dunia.
Antara pantang larang yang diturunkan daripada generasi terdahulu adalah amalan berkabung yang dilakukan bagi menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Semua ahli keluarga terdekat bagi individu yang telah meninggal dunia dilarang menyambut perayaan Deepavali selama setahun. Namun begitu mereka masih dibenarkan untuk melawat ke rumah rakan-rakan seagama. Selain memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah tiada, tindakan ini juga bertujuan untuk mendapatkan kesejahteraan bagi diri dan keluarga.
6.2 Tidak boleh memakan manisan jika tidak mendapat restu.
Mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, manisan yang dibuat itu tidak boleh dimakan selagi manisan itu belum mendapat restu daripada Tuhan. Pada pagi sambutan Deepavali, masakan dan beberapa jenis manisan dipersembahkan semasa bersembahyang di rumah dengan tujuan untuk mendapat restu daripada Tuhan. Selepas bersembahyang, barulah hidangan manisan dan juga makanan istimewa lain yang disediakan boleh dinikmati.
6.3 Pemilihan warna pakaian yang bersesuaian.
Pantang larang yang seterusnya adalah berkaitan dengan warna pakaian yang dipakai semasa menyambut Deepavali. Pakaian yang dipakai mestilah warna yang garang seperti merah, biru dan oren. Mereka dilarang memakai pakaian yang berwarna hitam atau putih kerana ia bermaksud kesedihan.
7. Amalan berkunjung mengunjung turut diamalkan masyarakat Hindu.
Amalan berkunjung ke rumah saudara mara terdekat masih lagi diteruskan selama beberapa hari selepas Hari Deepavali untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim di kalangan mereka.Sesetengah penganut agama Hindu akan mengadakan sambutan perayaan secara besar-besaran dengan menganjurkan rumah terbuka untuk menjamu sanak-saudara dan rakan-rakan mereka yang bukan beragama Hindu. Rumah terbuka tersebut amat meriah dengan pelbagai makanan tradisional dan moden yang sungguh lazat seperti nasi beriani, kari ayam, kurma, tosai, muruku, achi muruku, omapodi dan manisan seperti laddu dan neiurundai disediakan untuk para tetamu yang hadir yang hadir.
Amalan memberi wang iaitu angpau kepada kanak-kanak juga semakin popular pada Hari Deepavali. Duit ini selalunya diberi oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit pelbagai rupa bentuk dan warna. Amalan ini akan memeriahkan lagi suasana perayaan Hari Deepavali.
– – –
Mungkin ada diantara anda yang kurang memahami tentang sambutan Hari Deepavali. Disebabkan itulah entri ini dikeluarkan bagi memberi lebih kefahaman kepada masyarakat tentang budaya masyarakat India di Malaysia yang kebanyakannya beragama Hindu dan menyambut Hari Deepavali. Kata orang ” Perbezaan dirai, kemeriahan dikongsi”, biar pengetahuan ini memupuk sikap saling hormat menghormati.
Share kepada rakan-rakan jika anda rasa entri ini bermanfaat. =)
3 Comments
penjelasan yang sangat tepat dan unik. boleh terang tentang perayaan christmas juga untuk pengetahuan masyarakat
Hi Sri Ramya,
Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Cadangan yang baik, saya akan tulis pula tentang perayaan krismas di masa akan datang.
Pingback: Perayaan Deepavali Untuk Masyarakat India - Kisahsidairy.com