Pernahkah anda merasakan yang anda sebenarnya bagus didalam melakukan sesuatu, tetapi apabila mendapatkan tugasan, anda tidak dapat menyelesaikan tugasan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, anda kata anda produktif, tetapi realitinya anda gagal untuk menjadi seperti mana yang anda kata. Cara kerja yang tidak efisyen, pembuangan masa yang berlebihan mungkin menjadi salah satu faktor permasalahan tersebut. Persoalannya disini, adakah anda berminat untuk mengubahnya?
Pengubahan yang digelar sebagai memperbaiki diri atau “self-improvement” ini merupakan salah satu cabang yang terdiri daripada tabiat yang positif. Tabiat positif seperti ini seharusnya dijadikan amalan oleh semua orang.
Demi menyahut cabaran untuk menjadikan diri kita ini lebih produktiviti ketika bekerja dan menjadi penyumbang kepada pembangunan negara tidak kira anda berada didalam sektor perkhidmatan mahupun ekonomi, maka dengan ini azmirshah.com akan membawakan kepada anda 7 tabiat yang mampu meningkatkan produktiviti ketika anda berkerja. Bukan itu sahaja, tabiat ini juga mampu untuk membantu anda menjalani kehidupan seharian dengan pengurusan kerja yang lebih tersusun dan sistematik.
Berikut adalah 7 perkara yang perlu anda ubah untuk berubah.
1. Buat senarai”To Do List”
Pada permulaannya, tabiat ini mungkin kelihatan membuang masa. Manakan tidaknya, kenapa kita perlu untuk membuat senarai kerja dahulu sedangkan kita boleh terus melakukan perkerjaan dengan segera. Adalah lebih elok untuk memulakan hari anda dengan sesuatu yang teratur dan kita mulakan dengan melakukan senarai kerja. Ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengingati senarai kerja yang ingin dilakukan disamping pemberi semangat menerusi check list yang disediakan. Masa itu mungkin anda berfikir, ” wah sikit lagi ni kerja yang tinggal”. Percayalah, anda dapat menjimatkan masa jika menggunakan cara ini. Ianya juga lebih efisyen.
2. Utamakan kerja yang penting
Anda pasti mempunyai pelbagai tugasan yang perlu dilakukan pada setiap hari. Selain daripada melakukan senarai semak, anda juga boleh menjadi lebih efisyen dengan cara menyelesaikan tugasan yang menjadi keutamaan dahulu. Selesaikan tugasan yang lebih penting dan tinggalkan tugasan yang kurang penting di bahagian terakhir. Sebagai contohnya anda mempunyai tugasan yang perlu diselesaikan pada hujung minggu ini, letakkan tugasan tersebut didalam senarai teratas tugasan yang perlu disiapkan dahulu. Kami percaya agar sukar untuk memulakan tabiat seperti ini, akan tetapi sebaik sahaja anda bermula, anda pasti terkejut dengan kemampuan anda menyelesaikan tugasan dengan efisyen. Kepala pun tidak pening.
3. Jangan mulakan hari anda dengan telefon bimbit
Didalam dunia yang serba canggih ini, kami pasti penggunaan jam loceng itu semakin kurang pengaruhnya kerana masyarakat di luar sana mula menggunakan telefon bimbit sebagai jam penggera. Walau apapun alasan yang anda gunakan, seeloknya jangan mulakan hari anda dengan telefon bimbit kerana anda pasti akan melalut untuk memeriksa whatsapp, melihat twitter, facebook instagram dan sebagainya. Kata orang pantang ada notification.
Anda akan menjadi lebih produktif pada 1 jam pertama anda bekerja. Jika pada ketika itu anda memulakan hari anda dengan telefon bimbit, agaknya apa yang akan berlaku pada jam yang berikutnya.
4. Pecahkan tugasan besar menjadi kecil
Kami mengandaikan seperti ini. Anda mempunyai tugasan untuk membina kapal terbang. Sekali pandang tugasan ini kelihatan sukar dan menyusahkan sekali. Dengan keadaan ini maka akan timbulkan pemikiran negatif yang mengundang perasaan malas dan produktiviti yang kurang. Apa kata jika tugasan besar ini dipecahkan didalam bahagian yang lebih kecil. Kita bina kepalanya dahulu, badan dan seterusnya sayap. Ini hanya sebagai contoh.
Kita tidak mahu ianya kelihatan seperti satu bebanan kepada diri anda. Bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti kerja supaya menjadi lebih efisyen, seeloknya tukar tugasan besar kepada pecahan kecil supaya anda dapat menjimatkan masa.
5. Kerja pada waktu anda paling produktif
Setiap orang mempunyai waktu kerja mereka yang paling produktif. Ada diantara kita yang banyak menyelesaikan tugasan di pejabat, ada pula yang banyak menyelesaikan tugasan di rumah. Bergantung kepada jenis orang dan jenis perkerjaan. Ada jenis orang itu gemar untuk menyiapkan tugasan dengan segera manakala ada juga yang gemar untuk menjadi “burung hantu” untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
Bagi meningkatkan produktiviti kerja anda disamping melakukannya dengan lebih efisyen, anda boleh juga menjadikan tabiat dimana kerja-kerja anda itu dilakukan diwaktu anda paling produktif. Simpan dahulu masa anda untuk membaca blog gosip atau politik, jika anda didalam zon itu, anda siapkan dahulu tugasan yang anda, yang lain boleh tengok kemudian.
Jika anda kerja mengikut waktu pejabat pula, maka anda perlu latih diri anda untuk fokus pada ketika tersebut. Maklumlah, masing-masing ada komitmen selepas pulang bekerja.
6. Mengambil cuti apabila produktiviti anda berkurang
Cubaan memaksa diri untuk melakukan perkerjaan ketika anda memang tak ada mood nak melakukan sememang satu perkara yang tidak produktif. Bayangkan pekerjaan anda memerlukan anda membuka email dan membalas dengan segera, hanya disebabkan anda tidak mood berkerja, anda mengambil masa hampir 20 minit untuk mengarang ayat yang sesuai untuknya.
Mungkin anda boleh melakukan sedikit aktiviti seperti pergi ke pantry untuk membuat air minuman atau pergi ke meja sebelah dan kacau rakan sekerja anda untuk cuba mendapatkan mood semula. Jika anda sudah lama tidak bercuti, boleh dapat rehat dengan secukupnya dengan memilih tempat percutian yang menarik untuk dikunjungi. Biar hilang segala tekanan yang membelenggu diri.
Anda pasti akan bersemangat semula.
7. Jalankan satu kerja dalam satu masa
Ramai yang berpendapat menjalankan banyak tugasan dalam satu masa itu menunjukkan mereka bagus. Jadi mereka bolehlah mencanangkan kepada dunia yang mereka merupakan pekerja terbaik kerana melakukan banyak kerja walaupun realiti yang sebenarnya, menumpukan 1 tugasan didalam satu masa adalah lebih baik.
Kebiasaannya diri akan cepat terganggu jika terdapat banyak tugasan yang memerlukan perhatian anda pada satu masa. Malahan kajian yang dilakukan mendapati individu yang fokus untuk menyiapkan satu kerja mempunyai produktiviti yang lebih baik menerusi hasil kerja dan prestasi. Bukan itu sahaja, mereka juga dapat menguruskan masa dengan lebih efisyen dan berkesan. Sentiasa mencari mana yang lebih utama. Walaupun kena selesaikan semua.
– – – –
Baca juga : 7 Perkara yang menghalang diri anda daripada mencapai matlamat hidup
Baca juga: 7 Cabaran yang perlu dihadapi untuk tinggal di Marikh
Itu sahaja tips yang diberikan untuk meningkat produktiviti kerja anda. Terus bersemangat menjalani kehidupan seharian anda. Jadi pekerja yang berkualiti menerusi cara kerja yang sistematik dan efisyen.