Pernahkah anda melihat satu keajaiban didalam bidang kejuruteraan dimana sungai dibina diatas sungai? Jika anda mengatakan “tidak”, maka didalam entri ini akan ditunjukkan kepada anda binaan yang dibuat hasil kejuruteraan jerman iaitu Jambatan Air Magdeburg atau lebih dikenali sebagai “Magdeburg Water Bridge”.
Buat pengetahuan anda, Jambatan Air Magdeburg merupakan sebuah jambatan air di Jerman yang dibuka pada bulan Oktober 2003. Jambatan ini menghubungkan Terusan Elbe-Havel dan Terusan Mittelland yang merentasi Sungai Elbe. Jambatan ini terkenal kerana ia merupakan jambatan air terpanjang di dunia dengan jarak sepanjang 918 meter (3012 kaki). Jambatan ini bukan sahaja boleh menampung bot-bot kecil menerusi laluan yang disediakan, sebaliknya ia juga boleh dilalui oleh kapal-kapal kargo yang mempunyai saiz yang lebih besar.
Tujuan Jambatan Air Magdeburg ini dibina pada asalnya adalah sebagai salah satu alternatif yang memendekkan perjalanan pengangkutan barang-barang komersial diantara timur dan barat Jerman menerusi terusan Elbe – Havel ke terusan Mittelland tanpa perlu menggunakan laluan sungai Elbe yang lebih panjang dimana mereka perlu melalui lencongan sepanjang 12 kilometer.
Selain daripada itu, jambatan ini dibina bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka selama ini iaitu sungai Elbe sendiri mempunyai paras air yang rendah sehingga memakan masa yang lama untuk melakukan kegiatan kargo kerana mereka perlu menggunakan tongkang-tongkang yang lebih kecil untuk melalui jalan tersebut.
Dengan pembinaan jambatan air Magdeburg ini sedikit-sebanyak menyumbang kepada perkembangan aktiviti kargo. Selain daripada itu, kedua-dua sisi jambatan ini juga boleh digunakan oleh pejalan kaki dan mereka yang berbasikal.
Tahukah anda pembinaan jambatan air Magdeburg ini pada asalnya bermula pada awal 1930 tetapi terhenti seketika semasa Perang Dunia II dan Perang Dingin. Hanya selepas penyatuan semula Jerman Barat dan jerman Timur, barulah pembinaan jambatan ini dikaji semula. Hasilnya kerja pembinaan itu dimulakan semula pada tahun 1997, dan Jambatan Air Magdeburg akhirnya siap pada tahun 2003.
Berikut disediakan paparan gambar jambatan terbabit.
Kalau jambatan seperti ini mampu dibina di Malaysia, pasti ia menjadi salah satu destinasi pelancongan yang unik.