Semenjak pendemik melanda negara, ekonomi gig terus menjadi perhatian rakyat Malaysia sebagai salah satu segmen pekerjaan baru yang memberi sinar harapan kepada permasalahan pengangguran. Katanya ia mampu menaikkan ekonomi rakyat. Namun sedarkah mereka segmen ekonomi baru ini juga mempunyai kelemahannya. Apa keburukan ekonomi gig terutama kepada gigger?

Baca tentang apa itu ekonomi gig: Klik sini

Siapa itu gigger dalam ekonomi gig?

Jurugambar bebas juga antara pekerja dalam segmen ekonomi gig

Gigger atau pekerja gig adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada individu yang melakukan kerja-kerja freelance dalam ekonomi gig. Mereka ini kebiasaannya menjalankan kerja berdasarkan kontrak dan harga yang dipersetujui bersama client/pelanggan dalam tempoh masa tertentu. Terdapat juga gigger yang berkerja mengikut jam bergantung kepada segmen pasaran dan bidang.

Contoh yang cukup popular ketika ini adalah rider atau pemandu Grab Car yang bekerja mengikut kontrak bagi segmen gigger non-profesional dan pereka grafik, videografer atau SAP consultant bagi segmen gigger professional.

Ekonomi Gig mula mendapat perhatian kerajaan?

Sektor ekonomi gig mula mendapat perhatian kerajaan

Ya betul, ekonomi gig sudah mula mendapat perhatian kerajaan apabila rakyat Malaysia sendiri sudah mula menjadikan segmen ekonomi freelancing sebagai salah satu daripada inisiatif ikhtiar hidup.

Namun sayangnya hanya 7% atau 28,425 orang sahaja yang berdaftar dengan Perkeso berbanding dengan 400,000 orang pekerja gig di Malaysia pada Januari 2020 yang dianggarkan oleh MDEC.

Kerajaan sedar tentang keadaan itu dan cuba untuk memperbaiki sistem yang sedia ada kearah lebih baik. Antaranya dengan mewujudkan PenjanaGig, satu program bantuan kerajaan yang berbentuk sumbangan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang memperuntukan RM50 juta geran padanan.

Selain daripada itu, kerajaan juga memberi pemfokusan ekonomi gig dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan mengiktiraf ia sebagai sumber ekonomi baru yang akan difokuskan dalam rancangan strategi yang mampan dan inklusif.

Adakah rakyat Malaysia menyambut baik ekonomi gig?

Bekerja dari rumah kini mula menjadi norma baru

Sejujurnya ya. Lebih-lebih lagi budaya bekerja daripada rumah (work from home) mula diimplementasikan semenjak PKP yang lalu menjadikan sebahagian daripada kita mula sedar tentang selesanya bekerja dari rumah.

Dimasa yang sama, kemuncaknya kian terasa apabila sebahagian daripada rakyat Malaysia kurang bernasib baik diberhentikan kerja diatas faktor ekonomi menjadikan mereka memerlukan alternatif sumber pendapatan yang baru bagi menampung perbelanjaan sedia ada.

Mereka mula menawarkan perkhidmatan kepada pasaran sebagai sumber pendapatan. Sebagai contohnya perkhidmatan perunding jenama, pengaturcaraan, perakaunan dan sebagainya. Bagi individu non-profesional, perkhidmatan e-hailing menjadi pilihan kebanyakan daripada mereka.

Jika anda ingin menjadi seorang Gigger, adakah anda sudah bersedia?

Sudahkah anda bersedia?

Saya faham ada diantara anda yang cukup teruja diberikan kelapangan masa mampu bekerja mengikut masa sendiri, tanpa bos, wang yang diterima juga besar. Maka menjadi seorang gigger terus menjadi pilihan utama.

Saya juga seorang Gigger. Pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini cukup mengajar saya tentang bagaimana cara untuk hidup dizaman yang penuh mencabar.

Tanpa disedari, ekonomi gig turut menyediakan sisi-sisi gelap yang bakal menghantui diri anda nanti. Cepat atau lambat, ini adalah cabaran yang terpaksa dihadapi anda untuk terus hidup sebagai seorang freelancer yang berjaya.

Keburukan ekonomi gig

Sisi gelap yang saya maksudkan adalah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh gigger dalam mengharungi zaman kegemilangan ekonomi gig. Zaman dimana tiada keselamatan sosial, zaman yang perlu berusaha keras bagi mencapai piawaian pasaran dan zaman yang memenatkan. Apakah cabaran yang dimaksudkan?

1. Persaingan sengit diantara gigger

Persaingan diantara pekerja gig

Ekonomi gig benar-benar membawa dimensi baru kepada dunia tentang bagaimana skill yang dimiliki mampu ditawarkan keseluruh dunia. Bayangkan jika anda seorang penyedia kandungan (content creator), anda boleh mendapat client daripada seluruh pelusuk dunia.

Walaupun disatu sisi nampak kebaikan yang ditawarkan, anda juga perlu melihat daripada sudut yang berbeza. Sebagaimana anda boleh menjual bakat anda ke dunia luar, orang luar juga boleh menjual bakat di Malaysia. Kesannya persaingan terlampau sengit mewujudkan perasaan terdesak yang bakal merugikan anda. Itu bidang profesional.

Bagaimana pun dengan non-profesional seperti rider Food Panda? Sekarang ini pun kita hadapi masalah dengan lambakan rider yang mewujudkan persaingan diantara mereka. Ini tidak termasuk dengan persaingan sesama penyedia perkhidmatan. Tawaran yang melebihi permintaan benar-benar menganggu gugat periuk nasi para pekerja ekonomi gig dan pihak yang kalah dalam persaingan benar-benar akan terbeban dengan model ekonomi baru ini.

2. Nilai pasaran terganggu dek aktiviti pembuangan harga

Hanya kerana duit, ramai yang menawarkan kerja dengan harga yang murah

Ini saya bercerita tentang profesional yang memerlukan aktiviti pembukaan harga ataupun pembidaan perkhidmatan bagi mendapatkan kerja yang ditawarkan. Sebagai contohnya mereka yang memohon pekerjaan kontrak jangka pendek di laman web ekonomi gig seperti Workana dan Freelancer.

Apabila persaingan terlampau sengit, maka anda diantara kita yang akan terdesak untuk terus hidup. Maklumlah mereka menjadi seorang gigger sepenuh masa. Kesannya akan ada pihak mula membuang harga dengan menawarkan perkhidmatan dengan harga yang cukup murah.

Tidak kisahlah pembuangan harga ini mungkin menyebabkan anda menerima banyak tawaran kerja sehingga tidak menang tangan. Tetapi kesannya adalah anda tergesa-gesa untuk menyiapkan tugasan sehingga mengganggu kualiti perkhidmatan dan produk dengan harga yang tidak berbaloi. Secara tidak langsung anda memburukkan nama gigger yang lain.

Jangan terkejut jika hal ini berlaku kerana ia sememang sedang berlaku dan kebiasaannya ia dilakukan oleh para pemula (newbie) yang mula berjinak-jinak dalam dunia freelancing. Tidak mengukur baju dibadan sendiri, kesannya bakal dirasai oleh semua pihak kerana industri ini berjalan berdasarkan kepada nilai “kepercayaan” dan “janji yang ditepati”, bukannya “janji yang dicapati”.

3. Pendapatan tidak konsisten

Setiap hujung bulan akan pening kepala jika pendapatan berkurangan

Jika anda menjadi seorang gigger dan mengharapkan pendapatan yang konsisten, maka anda mungkin ambil ketum atau hisap gam. Dunia tidak seindah yang disangka, anda memerlukan extra effort untuk memastikan anda memasarkan diri anda dengan baik.

Pendapatan anda bergantung kepada gig yang diterima dan bayarannya adalah berdasarkan jumlah usaha yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Jika bulan ini anda dapat RM7,000, belum tentu bulan hadapan anda akan mendapat jumlah yang sama.

Sebab itu apabila menjadi seorang gigger, disiplin dan perancangan sangat penting. Anda perlu merancang dalam mempromosikan perkhidmatan dan dimasa yang sama tidak menerima pekerjaan yang berada diluar kemampuan. Ini sedikit sebanyak bakal menyusahkan diri sendiri.

4. Perangkap kemahiran kepada gigger

Pekerja gig tiada peluang kenaikan pangkat

Apabila saya berceritakan tentang perangkap kemahiran kepada gigger, saya bahagikan kepada 2 senario yang bakal mencabar diri seorang freelancer yang mungkin memerangkap diri anda sendiri.

Pertama adalah bagaimana anda sebagai seorang freelancer yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Anda mempunyai kelulusan seperti Ijazah, diploma mahupun sijil profesional lain, tetapi anda perlu memilih pekerjaan kemahiran rendah seperti pemandu Grab Car atau penghantar makanan Grab Food. Mungkin diatas faktor fleksibiliti atau pendapatan yang lumayan.

Walaupun anda memiliki pendapatan yang lumayan, perkembangan kareer akan terbantut kerana pekerjaan yang dilakukan tidak membuka peluang kenaikan pangkat dan mungkin juga gaji. Anda juga tidak memiliki sebab untuk mempertingkatkan kemahiran diri diatas faktor pekerjaan yang dilakukan.

Ini sedikit sebanyak memberi perkembangan kareer yang mendatar kepada diri anda sekaligus memberi kesan jangka panjang jika terdapat masalah yang menimpa platform penyedia perkhidmatan yang anda gunakan. Itu senario pertama.

Senario kedua pula adalah bagaimana anda sebagai seorang freelancer yang berkemahiran tetap MASIH PERLU meningkatkan kemahiran sebelum terjerumus ke lembah perangkap kemahiran. Sebagai contohnya pemain industri kreatif seperti pembangun laman web yang terikat dengan perkembangan teknologi dan persaingan sesama sendiri bagi menunjukkan anda bagus.

Kesannya, anda sendiri perlu mengeluarkan modal sendiri untuk meningkatkan kemahiran (upskilling) menerusi khusus atau pembelajaran atas talian bagi menjadikan diri anda kekal releven di mata client. Kebiasaannya gigger seperti ini sentiasa memperuntukan sejumlah wang yang digunakan untuk meningkatkan kemahiran mereka. Paling penting anda perlu sentiasa belajar dan mencuri masa untuk belajar TANPA alasan.

Jadi nampak atau tidak permasalahan ekonomi gig? Jika anda mempunyai perkembangan kareer yang mendatar memberi kerugian daripada segi jangka panjang, jika anda menjadi tidak releven kepada industri juga bakal memberi masalah dimasa akan datang. Seolah anda kena pilih sama ada untuk ke lembah perangkap kemahiran sendiri atau dihumban ke perangkap kemahiran. Kejam.

5. Longgarnya polisi dan dasar yang melindungi gigger

Ketidaktentuan politik Malaysia melambatkan pembentukan polisi yang lebih baik

Saya dapat lihat bagaimana kerajaan Malaysia cuba membantu gigger dengan menawarkan bantuan dan galakan pendaftaran skim perlindungan sosial dan KWSP ketika bekerja. Namun disebabkan industri ini agak baru, maka saya nampak tindakan kerajaan akan lebih kepada “wait and see” sahaja. Bila ada isu baru bertindak.

Seharusnya perlindungan harus diteliti daripada definisi pekerja gig itu sendiri. Setiap daripada penyedia perkhidmatan/platform memberi definisi yang berbeza kepada pekerja gig dibawah mereka. Diantaranya ialah “kontraktor”, “rakan kongsi”, “usahawan mikro”. Walaupun nampak kecil, tapi pendefinisian itu memberi kesan yang besar kepada pekerja gig daripada segi skop pekerjaan dan perlindungan.

Lebih-lebih lagi dengan keadaan politik Malaysia yang tidak stabil menjadikan peluang untuk pembentukan dasar yang lebih konkrit sedikit memakan masa untuk diimplementasikan. Maka siapa yang perlu berhadapan dengan situasi seperti ini? Sudah tentulah gigger.

6. Tekanan hidup disebabkan kerana bebanan kerja

Gigger akan lebih tertekan dalam hidup

Sebagai seorang gigger, personal brand sangat penting kepada penawaran perkhidmatan anda. Client tidak mahu menawarkan pekerjaan kepada mereka yang tidak tahu membuat kerja. Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada on-par dengan jumlah bayaran yang diberikan. Maklumbalas pelanggan terdahulu sangat penting.

Selain daripada itu, anda perlu mencari sendiri Client yang berminat dengan perkhidmatan yang anda tawarkan. Ini menjadikan anda perlu meluangkan sedikit masa melakukan kerja-kerja pemasaran, pembangunan brand, khidmat pelanggan dan sebagainya. Ini tidak termasuk lagi penawaran servis dan pembuatan produk.

Kesannya anda akan menghadapi kesulitan untuk menguruskan masa dengan baik sehingga memberikan tekanan kepada diri. Kerja perlu dihantar dan dimasa yang sama anda perlu mencari projek yang selanjutnya selepas habis projek yang dikerjakan. Belum lagi termasuk 2-3 bulan tidak menerima apa-apa tawaran kerja.

Pada ketika ini bekerja fleksibel akan jadi mitos semata. Anda akan bergelut untuk mengejar dateline dan membuat sales. Silap-silap boleh “burnout”.

7. Jika sakit tiada gaji

Terpaksa belajar menguruskan diri daripada sakit

Kelemahan yang ketara kepada seorang gigger adalah adalah bagaimana jika anda sakit, anda mungkin berisiko tidak mendapat gaji. Jika demam biasa mungkin tidak terjejas, akan tetapi jika anda sakit yang memerlukan anda berehat lebih daripada seminggu, itu sedikit sebanyak mungkin menjejaskan sumber pendapatan anda.

Itu kita bercerita tentang sakit, bagaimana pula dengan perempuan? Bayangkan anda seorang ibu yang baru bersalin dan memerlukan cuti sebanyak 2-3 bulan untuk tempoh berpantang, maka itu pasti memberi kesan bukan sahaja kewangan, mungkin juga emosi kepada diri anda.

Kesimpulannya

Inilah risiko yang terpaksa dihadapi oleh seorang gigger untuk berjaya. Walaupun nampak mudah, kejayaan sememangnya tidak datang bergolek. Komitmen dan kesungguhan perlu diiringi kebijaksanaan untuk memastikan tahap kalis cabaran itu ada dalam diri seorang gigger.

Baca juga: Samsung Pay membenarkan pembayaran menggunakan jam tangan
Baca juga: Ballet Crypto membenarkan anda menyimpan Bitcoin secara offline

Sejujurnya saya tiada niat pun nak menakutkan anda jika anda berniat untuk menjadi seorang gigger. Banyak sebenarnya kebaikan menjadi seorang gigger atau dikenali sebagai freelancer dikalangan masyarakat.

Malahan ketika saya menulis tentang keburukan ekonomi gig ini kepada gigger, saya masih lagi seorang gigger. Saya masih lagi perlu berurusan dengan client dan mendapat pendapatan yang alhamdulillah mencukupi buat diri saya.

Cumanya saya nak semua orang berpijak di bumi yang nyata. Dikala orang bercerita tentang fleksibiliti dan pendapatan yang lumayan, sebenarnya terdapat juga sisi-sisi gelap ekonomi gig yang terpaksa dihadapi oleh orang macam saya ini untuk meneruskan kehidupan. Sisi yang kalau orang tau, baik jual barang la daripada jadi freelancer. Jual insuran pun lagi berbaloi. Haha.

Tapi seperti biasalah, “high risk high return”. Tuan puan pun boleh bayangkan saya jual kemahiran (skill) yang saya timba daripada pengalaman hidup saya, agak-agak berapa margin yang saya boleh dapat? Faham-faham je la. Nak dapat susah, bila jual kena dengan harga, insyaallah berbaloi.

Jadi keburukan ini untuk apa?

Keburukan ini hanya sekadar untuk berkongsikan kepada anda yang berminat untuk menjadi gigger tentang cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kita semua. Boleh handle cabaran ini? Rasa kacang? Kalau kacang bolehlah cuba. Jadi gigger best tau. Nanti saya tulis tentang kelebihannya ekonomi gig pula dimasa akan datang.

Share.

Seorang programmer yang mempunyai pengalaman yang tidak seberapa. Memiliki kelulusan daripada universiti terkemuka di Malaysia dan secara jujurnya beliau meminati Elon Mask lebih daripada Bill Gate.Seorang yang bercita-cita tinggi, kini bekerja sebagai Front-End developer di salah sebuah syarikat di Shah Alam.

Leave A Reply

Exit mobile version