Logo memainkan peranan dalam satu jenama produk untuk mengembangkan pengaruhnya, begitu juga dengan logo Proton. Selepas hampir 36 tahun berada dalam pasaran sejak kali pertama dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1983, Proton sekali lagi menukarkan simbol keramat mereka itu pada 24 September 2019, penukaran kali keenam selepas kali terakhir mengemaskini logo mereka pada tahun 2016.
Simbolik penukaran logo Proton
Ini adalah salah satu langkah simbolik buat Proton untuk menyerlah lagi diri mereka sebagai salah satu jenama automotif moden global. Lebih-lebih lagi apabila mereka berada dalam perancangan untuk memasuki pasaran Pakistan dan Brunei menjadikan mereka bersemangat untuk menjadi 3 jenama automotif pilihan di ASEAN disamping mahu mengeluarkan kira-kira 400.000 unit kenderaan pelbagai model menjelang 2027.
Menurut Laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi 6 bulan pertama 2019, Proton menunjukkan peningkatan jualan kenderaan sehingga 60.55% daripada 27,106 unit kepada 43,518 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Ini sedikit sebanyak membaiki kedudukan Proton dikedudukan ketiga selepas Perodua dan Honda selaku peneraju jualan di Malaysia. Sekurangnya mereka memperbaiki kedudukan tempat keempat memintas Toyota yang berada dikedudukan ketiga tahun lepas.
Evolusi Logo Proton dari awal kemunculannya
Sebelum saya memberi komen dengan lebih lanjut tentang logo terbaru mereka, saya kira eloklah terlebih dahulu kita mengimbau kembali perkembangan logo mereka dari awal kemunculannya sehingga sekarang (dulu dan baru). Kita akan dapat lihat bagaimana setiap kemaskini logo dan tagline itu mempunyai ciri simbolik namun dimasa yang sama mendapat reaksi yang berbeza daripada orang ramai. Berikut merupakan sejarah dan elovolusi logo Proton.
1. Tahun 1983 – 1992: Pride of the nation
Ini merupakan logo lagenda yang dihasilkan bermula daripada kemunculan abang long Proton Saga sehingga ke pengeluaran 1992. Ini juga antara logo terlama yang digunakan Proton sepanjang pengoperasian mereka iaitu selama 9 tahun sebelum diperkemaskan dengan logo yang lebih terkini.
Menerusi rekaan yang gagah, logo ini mempamerkan perisai biru gelap yang merangkumi bulan sabit kuning yang diletakkan di bawah bintang empat belas kuning, merujuk kepada bendera dan lambang Malaysia. Walau bagaimanapun, lambang ini hanya digunakan untuk kereta Proton yang dijual di dalam negara sahaja. Kereta Proton yang dieksport ke pasaran lain menerima reka bentuk lencana yang berbeza. Tagline “Pride of the nation” digunakan bagi melambangkan kebanggaan rakyat Malaysia memiliki kereta nasional pertama negara mereka.
2. Tahun 1993 – 1999: Pride of the nation
Pada tahun 1993, satu versi kemaskini logo dibuat dimana logo bulan dan bintang dikekalkan manakala perisai tirus dikeluarkan daripada rekaan logo. Digunakan hampir 6 tahun sehingga tahun 1999, tagline lama “Pride of the nation” dikekalkan bagi menyunting semangat patriotism pada produk dan pelanggan mereka.
Sentimen patriotism menjadi salah satu strategi penting buat Proton sebagai bayi kecil dalam industri automotif. Buktinya hampir kesemua teksi di Malaysia pada tahun 1900-an menjadikan Proton sebagai pilihan utama mereka diatas faktor semangat menyokong produk buatan Malaysia.
Berbalik kepada logo, antara model Proton yang menggunakan logo ini ialah Proton Wira dan Proton Iswara. Tidak dilupa juga model yang pernah menjadi pujaan ramai satu ketika dahulu iaitu model Proton Satria GTI, model yang mendapat suntikan teknologi daripada Lotus (Proton memiliki Lotus pada 30 Oktober 1996).
3. Tahun 2000 – 2007: Spirit of achievement
Pada tahun 2000, logo ini digunakan pada Proton Waja yang dilancarkan pada tahun yang sama. Ia mempamerkan kepala harimau kuning yang bergaya pada bulat hijau yang timbul pada perisai biru gelap, disamping garisan warna kuning pada strok elemen dan font. Font perkataan “Proton” juga ditukar kepada huruf besar. Semua kereta Proton yang dikeluarkan selepas tahun 2000 menggunakan logo ini termasuklah untuk pasaran luar negara. “Spirit of achievement” menjadi tagline yang menjadi pembakar semangat untuk menjadi lebih maju.
4. Tahun 2008-2015: Committed to be better
Seharusnya pengeluaran Proton Waja pada Ogos 2000 menjadi zaman kebangkitan Proton kerana mereka menunjukkan kemajuan daripada segi pengurusan produk dan kurang bergantung mereka kepada pengeluaran alat ganti dan platform kenderaan jenama lain. Namun lain pula jadinya. Produk Proton Waja itu menjadi penanda aras kejatuhan Proton dek kerana rungutan pelanggan terhadap masalah produknya.
Disebabkan reputasi yang diperbaiki dengan reka bentuk yang lebih menarik pada produk seterusnya iaitu Proton Gen-2 dan Proton Persona, komitmen Proton untuk memperbaiki kualiti produk dan perkhidmatan diterjemahkan menerusi tagline “Commited to be better”. Logo sedia ada pula menggunakan rekaan yang sama iaitu kepala harimau, namun warna yang ada diminimumkan kepada 2 warna sahaja iaitu warna hitam dan warna perak.
5. Tahun 2016-2019: Its in the drive!
kemaskini terus dilakukan pada logo mereka dengan elemen sedia ada. Jika sebelum ini warna, kali ini perkataan “PROTON” menjadi korbannya dimana perkataan tersebut dikeluarkan daripada logo untuk kelihatan lebih moden dan baik. Di era ini, Proton terus menghasilkan kereta-kereta yang berkualiti untuk pelanggannya dengan model-model seperti Proton Iriz, Proton Persona, Proton Ertiga.
Semasa penukaran logo dan tagline “It’s in the drive” pada tahun 2016, Proton telah memuat naik status di facebook mereka yang menyampaikan tentang semangat dan komitmen mereka untuk melakukan yang terbaik untuk pelanggan mereka.
“A new era, a new face. This new logo signals the beginning of a new era for all of us at Proton. It’s more than just a new face. It’s a new promise. A new attitude. A new commitment. Many do not know and have not driven our latest cars. It’s time they did. It’s time they knew who we are, what we stand for and how good our cars really are. “
6. Logo terbaru Proton
Selepas pengeluaran model terbaru yang laku keras di pasaran iaitu Proton X70, kini Proton Holdings Berhad memulakan langkah penjenamaan semula dengan memberi nafas baru kepada logo kepala harimau kepada bentuk warna perak yang menampakkan inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa dengan jati diri Malaysia. Ini secara tidak langsung menjadi logo 2016 merupakan logo tersingkat yang pernah digunakan Proton iaitu selama 3 tahun sahaja.
Selain daripada itu, penambahbaikan telah dilakukan pada elemen logo dimana perisai hitam telah disingkirkan daripada logo, harimau juga turut diberikan leher. Perkataan “Proton” pula telah dimasukkan semula pada logo dan logo ini akan digunakan pada Proton X70 dan model selepasnya.
Menerusi tagline “Inspiring connections”, Proton akan cuba memastikan produk mereka selepas ini dilengkapi teknologi terbaik seperti “Hi Proton” supaya mereka akan terus dipercayai pelanggan sama ada melibatkan kenderaan atau perkhidmatan selepas jualan.
Berikut merupakan kompilasi logo kereta nasional kebanggaan Malaysia dari awal kemunculannya sehingga sekarang. Sedar atau tidak saya merasakan Proton antara jenama yang paling kerap menukarkan logonya iaitu sebanyak 6 kali sejak 1983 menunjukkan sikap tidak konsisten dalam jenama atau kita panggil sebagai branding. Saya pasti mereka mempunyai rasionalnya yang tersendiri bagi setiap penjenamaan semula.
Komen tentang logo
Logo terbaru Proton ini mendapat reaksi yang berbeza dikalangan mereka yang mengikuti perkembangan terkini pelancaran logo identiti penting negara itu. Selain daripada pertikaian daripada elemen yang diringkaskan, terdapat juga isu lain yang dibangkitkan.
Antara isu yang dibangkitkan di media sosial ini adalah bagaiman logo terbaru Proton ini menyamai logo siri animasi terkenal Thundercat. Sejujurnya ciri-ciri itu ada. Lebih-lebih lagi apabila kepala logo harimau Proton ini berleher menjadikan ia lebih menyerupai dengan logo siri animasi terbabit.
Komen ringkas saya? Saya suka dengan logo terbaru ini kerana ia nampak ringkas.
Namun bila saya diberi pilihan logo terbaik Proton daripada nombor 1-6, saya akan pilih 3 kerana ia kelihatan lebih gagah, beridentiti, dan mempunyai roh. Anda pula bagaimana?
Baca juga: Ferrari F80 – Kereta Konsep Terbaik Daripada Adriano Raeli
1 Comment
wak x sabor nk tungu movie thundercats., hehehe