Lama tidak berkunjung ke Kuantan. Rasanya kali terakhir sekitar tahun 2014. Alang-alang tersinggah, saya rasa eloknya saya ambil kesempatan untuk bercuti di kuantan sambil ronda-ronda mencari makan.

Kenangan di zaman belajar

Dahulu ketika masih menuntut di Politeknik Muadzam Shah, ada juga sekali sekala turun menghabiskan hujung minggu disini. Kadang-kala terlibat juga dengan aktiviti sukarelawan terutama ketika Kuantan dilanda banjir sekitar tahun 2013 begitu.

Namun sejak menuntut ilmu nun jauh di utara, kemudiannya mula mencari rezeki di Kuala Lumpur, adalah sesuatu yang mustahil untuk saya semena-mena berkunjung ke bahagian timur semenanjung ini dengan alasan makan angin.

Memandangkan kesibukan bekerja benar-benar memenatkan, saya ambil kesempatan ini untuk heeling sebentar dan menjauhkan diri daripada kesibukan bandar Kuala Lumpur. Merantau bersama mak tersayang meninjau makanan menarik di Kuantan.

Lagipun tujuan utama saya ke sini pun adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang sahabat saya yang saya kenali sejak dari zaman belajar di Politeknik lagi. Sambil-sambil itu, tak salah makan angin bukan?

Mulakan perjalanan ke Kuantan

Saya mulakan percutian saya dengan perjalanan dari selatan menuju ke pantai timur. Memandangkan ketika ini saya berada di Muar, jadi perjalanan saya menuju ke destinasi mengambil masa kira-kira 5 jam.

Mujurlah lori tidak terlalu banyak, jadi trafik agak sedikit lancar. Saya juga sempat singgah di Muadzam Shah untuk rehat sebentar minum petang sebelum menyambung perjalanan saya ke Kuantan.

Menginap di Swiss-Belhotel Kuantan

Sebaik sahaja tiba di Kuantan, perkara pertama yang saya buat adalah check-in di hotel dahulu. Trip kali ini, saya memilih Swiss-Belhotel yang terletak di Tanjung Lumpur sebagai tempat penginapan saya.

Hotel 4 bintang ini baru sahaja dibuka sekitar awal tahun 2020. Walaupun ianya terletak di pinggiran kota, lokasinya berdekatan dengan kawasan yang saya ingin kunjungi. Inilah menjadi penyebab utama mengapa saya ingin tinggal di sini.

Tempahan pula dilakukan di laman web Agoda dengan harga yang ditawarkan adalah sekitar RM236 satu malam untuk bilik Studio yang menghadap kawasan bandar. Bagi saya harga ini berpatutanlah kerana ia disertakan sekali dengan 2 sarapan pagi.

Namun elok kiranya anda buat perbandingan harga dengan laman web rasmi Swiss-Belhotel ini. Adakalanya mereka buat promosi dan menawarkan harga lagi murah berbandingan laman web lain.

Kondisi Bilik

Bilik yang disediakan Swiss-Belhotel agak luas dan selesa. Rekaan moden disamping kemudahan yang disediakan juga memadai. Ada meja untuk bekerja dan juga kitchen Island untuk makan. Ruang tamu juga agak luas.

Terdapat 2 jenis bilik standard yang mempunyai pemandangan yang berbeza. Satu mengadap bandar kuantan, satu lagi menghadap laut. Saya memilih bilik yang menghadap bandar Kuantan kerana itu sahaja bilik yang menyediakan kemudahan dua katil single.

Berikut adalah kondisi bilik saya:

Dua katil single yang selesa
Ruangan dapur
Ruangan bilik air
Pemandangan bilik menghadap bandar Kuantan
Pemandangan tanjung
Kawasan meletakkan kenderaan

Terdapat 3 tingkat parking disediakan oleh pihak hotel kepada para tetamunya. Parking yang disediakan ini juga bercampur dengan resident kondominium yang tinggal dalam bangunan yang sama. Masalah kecil rasanya. Sepanjang saya tinggal di sini, parking bukan satu masalah.

Kami rehat sebentar di bilik sebelum memulakan edisi food hunt kami untuk destinasi yang pertama.

Ana Ikan Bakar Petai

Lokasi berdekatan dengan hotel kami

Destinasi pertama yang saya kunjungi sudah tentulah Restoran Ana Ikan Bakar Petai yang lokasinya sekangkang kera sahaja daripada hotel yang saya diami ini. Jaraknya sekitar 400 meter dari Swiss-Belhotel. Senang cerita jalan kaki pun boleh.

Saya seperti biasalah agak sedikit teruja untuk mencuba ikan bakar ini yang cukup terkenal dan menjadi destinasi wajib kunjung jika anda datang ke Kuantan. Kata orang ikan bakarnya sedap dan menjadi kesukaan ramai.

Cuma keterujaan saya itu agak sedikit terencat dengan meja yang tidak bersih dan kesukaran untuk membuat pesanan (panggil orang buat dek je sebab ada orang khas yang ambil order). Tapi mungkin sebab orang ramai, jadi saya saya abaikan sahaja la perasaan ini.

Saya buat pesanan untuk 2 orang. Antaranya sayur campur, telur dadar, udang goreng kunyit dan hidangan istimewa mereka iaitu ikan jenahak bakar petai. Masa menunggu sekitar 35 minit. Bagi saya agak munasabah.

Namun sebaik sahaja makanan sampai, ikan jenahak yang dibaluti oleh daun pisang itu dalam keadaan mentah, hahhhhhh yang ini tidak munasabah. Saya terpaksa minta mereka untuk bakar kembali ikan tersebut.

Muka suka sebelum perasan ikan yang dibakar itu mentah

Selepas menunggu untuk kali kedua, masalah ketiga pula muncul. Ikan mentah yang saya hantar tadi tak dapat-dapat sampai ke sudah. Saya tidak pasti adakah mereka lupa atau apa, saya pula kena minta mereka periksa sama ada ikan dah masak atau belum.

Lauk saya yang lain dah mula sejuk. Benda-benda macam ni betul-betul menaikkan darah saya terutama bila tengah lapar. Saya cukup tak berkenan dengan kedai yang punyai service macam ni.

Harga hidangan saya malam ini adalah sekitar RM105. Bagi saya harga ini ok, rasa pun sedap dan memuaskan. Tapi service memang kena diperbaiki. Buat la sistem pengurusan baru yang lebih efisyen.

Teluk Cempedak

Selepas makan, kami pun nak menghabiskan masa melawat destinasi wajib di Kuantan iaitu Teluk Cempedak. Sayangnya ketika sampai di sana, hujan sudah mula turun menyebabkan niat kami terbatal. Jadi kami fikir eloklah kiranya kami balik sahaja ke hotel untuk berehat.

Hari Kedua

Orang mula kurang sekitar jam 9 pagi

Saya mulakan hari kedua saya dengan menikmati hidangan sarapan pagi di Swiss-Belhotel ini. Hidangan yang disediakan di kafe ini pelbagai daripada makanan ringan ke makanan berat. Antaranya nasi lemak, mee sup, sandwish, english breakfast dan banyak lagi.

Saya makan sedikit sahaja memandangkan tengah hari nanti nak berkunjung ke kenduri kahwin sahabat saya pula. Kecil hati tuan rumah kalau tak makan.

Kunjungan ke Walimatul Urus

Aktiviti tengah hari saya dipenuhi dengan kunjungan ke majlis perkahwinan sahabat saya yang berlangsung di Bandar Indera Mahkota. Destinasinya tidak la terlalu jauh daripada tempat saya. Sekitar 15-20 minit sahaja.

Selesaikan majlis, saya meneruskan aktiviti cari makan kami.

Warong Paksu dan Maksu

Lokasinya terletak di bahu jalan sahaja

Aktiviti diteruskan dengan menikmati minum petang di Warong paksu dan Maksu 1 yang terletak bersebelahan dengan pondok polis Peramu. Buat pengetahuan anda mereka dah ada 3 cawangan dah sekarang di sekitar Kuantan. Jangan terkeliru pula.

Letak letak kenderaan di belakang warong

Di tempat yang saya pergi ini, terdapat parking yang disediakan oleh Paksu dan Maksu di belakang warong. Jadi tak adalah susah sangat nak cari parking. Kebetulan pula hari yang saya pergi ini tidaklah terlampau sibuk.

Hidangan minum petang

Hidangan yang saya cuba disini adalah sotong goreng tepung, udang goreng tepung dan sata. Ingat nak cuba beberapa makanan berat seperti mee calung dan nasi dagang, tapi memang tak larat nak mencuba sebab baru balik kenduri. Jadi cuba yang ringan-ringan je dahulu.

Tak dapat dinafikan juga sata itu sangat sedap dan berbaloi untuk dicuba. Harga sekitar RM30++ sahaja termasuk dengan minuman.

Dah siap makan, rehat dulu di hotel.

Restoran Jaman Tory Semambu

Restoran Jaman Tory Semambu

Di sebelah malam pula, saya berkunjung pula ke restoran Jaman Tory. Saya dimaklumkan yang restoran ini punyai 2 cawangan iaitu di Indera Mahkota dan Semambu. Jadi saya pilih Semambu kerana dikhabarkan disini tidak ramai orang.

Betul orang kata, pelanggan memang tidak ramai dan persekitaran lebih tenang. Lebih penting, kedatangan kami disambut dengan senyuman dan staff yang ramah, berbeza dengan pengalaman kami di malam sebelumnya.

Suasana restoran yang lebih tenang
Menu yang disediakan
Hidangan yang kami cuba

Saya order Ikan patin bakar tempoyak, ayam kampung sambal dengan kailan ikan masin. Alhamdulillah sedap. Ingatkan nak pesan juga ikan kerai goreng, tapi memandangkan paling kecil hanya ada ikan bersaiz 850gram (terlalu besar untuk 2 orang), saya fikir cukuplah dengan hidangan sedia ada.

Lagipun yang ada ini pun cukup lazat dan mengenyangkan. Ikan patin pun cukup besar. Harga keseluruhan adalah RM85. Saya berpuas hati dengan kesedapan makanan yang disediakan.

Hari Ketiga

Hari ketiga pula saya tidak punyai banyak aktiviti. Sekadar kejar masa nak balik ke Muar. Tapi sempatlah singgah beberapa tempat. Saya mulakan hari saya dengan bersarapan sahaja di hotel.

Orang mula tidak ramai
Nikmati hidangan sarapan pagi

Berbezanya hari ini, saya gunakan kesempatan ini untuk berjumpa kawan universiti saya yang sememangnya orang asal Kuantan. Melepak waktu pagi apa salahnya. Lebih kepada menghabiskan masa lapang sebelum check-out.

Selepas check-out, ibu saya minta saya untuk beli buah tangan dahulu. Teringin nak cari keropok hasil tangan masyarakat Kuantan. Memandangkan kami sekarang ini berada di Tanjung Lumpur, jadi singgahlah di kedai berdekatan.

Keropok Lekor Ghani Black

Datang ke tempat memproses keropok lekor terus

Kami singgah sebentar ke kedai keropok lekor Ghani Black. Kedai ini terletak betul-betul berdekatan dengan hotel kami tinggal. Perjalanan nak ke sana hanya sekitar 10 minit sahaja daripada Swiss-Belhotel. Kedudukan kedai ini bersebelahan dengan pasar.

Disini, anda dapat lihat sendiri bagaimana penghasilan keropok lekor secara langsung sambil-sambil membeli keropok yang telah diproses. Cuma disini tidak punyai banyak pilihan. Ada keropok sahajalah, tiada produk lain.

Selesai ke kedai ini, kami mencari pula restoran yang menarik untuk dikunjungi. Destinasi untuk makan tengah hari.

Nasi Ulam D’Pondok

Restoran ini terletak di Sri Dagangan

Terdapat beberapa pilihan tempat yang kami ingin pilih untuk makan tengah hari di Kuantan ini. Pelan asalnya juga nak singgah ke Akob Patin House. Tapi memandangkan semalam kami dah makan ikan patin, tak kanlah hari ini nak makan lagi. Jadi kami pilih Nasi Ulam D’Pondok.

Tau tak apa komen kami tentang kedai ini? Masyaallah sangat sedap dan sangat berpuas hati dengan rasa hidangan. Pilihan lauk juga sangat banyak sehingga rambang mata saya nak memilih makanan yang mana.

Kata orang restoran ini bukan sahaja menjadi pilihan orang luar, tetapi juga menjadi kunjungan warga Kuantan. Bila saya baca statement begitu, lagi saya suka nak datang.

Hidangan yang pelbagai
Makanan yang kami ambil
Santapan saya pada hari ini

Saya ambil siakap goreng, sedikit ulam, sambal belacan dengan tempoyak. Kos hidangan untuk 2 orang makan adalah sekitar RM34 sahaja.

Malahan tokey kedai juga sangat ramah melayan pelanggan sampai tahu dia bekas cikgu, anaknya belajar di mana, dan banyak lagilah. Sejujurnya sepanjang trip saya di Kuantan ini, ini antara kedai yang tidak sesal untuk dikunjungi. Murah dan punyai pilihan makanan yang pelbagai.

Kedai keropok lekor depan kem TUDM

Selesai makan tengah hari di restoran Nasi Ulam D’Pondok, mak saya masih tidak puas hati dengan lawatan ke Ghani Black. Katanya sebelum ini jika dia ke Kuantan, dia ada singgah membeli keropok di deretan kedai keropok lekor berhadapan dengan kem TUDM.

Nak puaskan hati emak saya, saya turuti sahajalah kemahuannya dan singgah sebentar di deretan kedai di Jalan Jaya Gading.

Suasana kedai di depan Kem TUDM
Deretan kedai yang menjual pelbagai jenis produk

Disini mak saya betul-betul berbelanja sakan. Dapat pula mak saya mak cik kedai yang pandai melayan sampai bagi barangan free berserta dengan diskaun, lagilah mak saya suka. adalah juga 3 plastik beg besar penuh dengan keropok kering dan keropok lekor sahaja mak saya beli.

Berpuas hati dengan hasil berbelanja hari ini, kami pun tamatkan percutian kali ini dan pulang ke Muar.

Kesimpulan

Banyak sahaja restoran atau kedai makan menarik yang boleh anda kunjungi ketika bercuti di Kuantan. Cuma pada kali ini, kami tidak punyai kesempatan untuk berkunjung ke banyak tempat. Lagipun saya pergi dengan emak saya, orang tua mana la suka sangat pergi tempat fancy-fancy.

Lepas dah habis perjalanan, baru la saya perasan yang saya tak ambil satu pun gambar saya di Kuantan. Hahaha. Bila baca pengalaman saya ni, macam mak saya pula yang menulis dan menjadi guest writer di blog ini.

Tapi tidak mengapalah, yang penting pengalaman ini dikongsikan bersama para pembaca yang mencari-cari lokasi menarik yang boleh dikunjungi di Kuantan.

Baca juga: Pengalaman melancong ke Singapura
Baca juga: Trip bajet ke Hatyai

Ini serba sedikit pengalaman saya ketika berada di sana. Diharapkan artikel ini membantu anda untuk menikmati makanan menarik ketika berada di Kuantan. Kongsikan pengalaman anda diruangan komen atau cadangkan tempat menarik yang boleh dikunjungi oleh pembaca lain.

Share.

Seorang programmer yang mempunyai pengalaman yang tidak seberapa. Memiliki kelulusan daripada universiti terkemuka di Malaysia dan secara jujurnya beliau meminati Elon Mask lebih daripada Bill Gate.Seorang yang bercita-cita tinggi, kini bekerja sebagai Front-End developer di salah sebuah syarikat di Shah Alam.

Leave A Reply

Exit mobile version