Akhirnya tibalah bab dimana saya kongsikan pengalaman saya bercuti di Universal Studio Singapore (USS), destinasi wajib yang anda perlu kunjungi jika ke Singapura. Ini adalah bahagian terakhir rangkuman 3 bahagian percutian saya ke Singapura.
Pada hari ketiga ini, kami akan habiskan masa sehari suntuk di dalam USS. Jadi bersediakan nak dengar cerita saya.
Persediaan ke Universal Studio Singapore
Sejak kami memasang niat nak ke USS lagi, kami mahu pastikan percutian kami ke USS ini adalah percutian yang berbaloi. Kami ingin pastikan semua permainan dapat dinaiki oleh kami. Memandangkan ini trip bujang, jadi itu bukanlah satu masalah untuk buat tetapan masa.
Sehabis baik kami cuba elakkan untuk beratur panjang, jadi strategi kami adalah untuk datang awal sebelum USS dibuka iaitu sebelum pukul 11 pagi. Gerak dari hotel pula adalah dalam 9 pagi. Sarapan pagi kami makan sarapan murtabak singapore yang dibeli di restoran Zam Zam pada malam tadi. Jimat masa, jimat duit. Hehehe
Harga tiket ke USS
Tiket untuk masuk ke USS adalah RM235.78 yang dibeli menerusi platform Klook. Harganya sedikit mahal disebabkan oleh kadar tukaran wang asing diantara SGD dan RM (Ringgit yang melemah), tapi bagi saya itu hal kecil je la. Saya pun beli awal sebulan sebelum tarikhnya. Beli awai tak kalut.
Mulakan trip ke USS
Bagi memulakan hari ke USS, seperti biasa kami menaiki bas ke HarbourFront station untuk ke Vivocity dan ambil Sentosa Express terus ke USS dengan berhenti di Resorts World Station. Kebetulan pula hari ini hari ahad, jadi saya dah buat persediaan mental dah untuk hadap pengunjung yang ramai.
Tip saya paling penting buat anda yang ingin mengunjungi USS, jangan lupa bawa botol air ye. Saya pun tahu hari ini bakal menjadi hari yang memenatkan, jadi sudah semestinya saya memerlukan banyak air. Jangan risau, kat sini banyak water cooler, bila ada botol senang la nak refill. Air free.
Tiba di USS
Sembang punya sembang, kami pun tiba di hadapan USS kira-kira jam 9.40 pagi. Orang tak ramai lagi masa tu. Maklumlah USS pun buka jam 11 pagi. Jadi boleh la ambil kesempatan ini untuk tangkap gambar dahulu di Globe ikonik Universal Studio.
Sambil-sambil tu merayap la kejap di kedai sekitar kawasan tersebut sambil curi-curi merasa dinginnya aircond. Maklumlah matahari sedang mula naik, jadi ada la panas sikit.
Tepat jam 11.00pagi, pengunjung mula beratur dan memenuhi pintu masuk USS. Biasalah, nak bagi kami leka sementara mereka membuat persediaan kemasukan pengunjung, disajikan persembahan pembukaan geng-geng badut di pintu pagar.
Tapi itulah, ralid saya sampai terlupa nak rakam gambar. Maklumlah saya inikan mudah leka (baca dengan nada Jep Sepahtu). Hehe.
Semasa beratur ini, adalah sedikit penyesalan tidak membawa kipas cina yang selalu auntie-auntie pakai tu. Bahang memang sudah mula terasa. Tapi kita chill-chill la dahulu sambil berbincang permainan apa yang ingin dimainkan dahulu.
Tip buat anda yang kali pertama datang ke USS, jika anda tidak mahu beratur panjang, sila pastikan sebelum anda masuk lagi anda sudah memilih permainan pertama apa yang anda ingin cuba.
Serius cakap kalau tidak kena masa, kemungkinan besar untuk anda beratur panjang itu sangat tinggi. Masa terbuang dekat beratur sahaja (inilah benda yang kita nak elak). Mau terencat mood kita bercuti di Universal Studio Singapore.
Akhirnya kami memilik untuk mencuba permainan Transformers: The Ride 3D sebagai destinasi pertama kami. Bila first time naik, memang kagum dengan paparan 3D, macam mana mereka memanipulasi motion dan vision untuk wujudkan illussion.
Selepas ride, saya ternampak pula Optimus Prime tengah sorang-sorang melepak dekat tepi. Ambil la gambar sat sekeping dua. Cuma itulah niat nak jumpa Megatron sebab dengar-dengar mamat tu mulut lancang. Tapi hajat tak kesampaian. Tak apalah.
Kami teruskan dengan permainan-permainan lagi.
Selepas mencuba pelbagai permainan yang disediakan disini, perut pula sudah mula mendendangkan lagu keroncong. Jadi kami ingat mahu berhenti dulu mengisi perut yang kosong.
Buat pengetahuan anda, ketika kunjungan saya ke sini, saya hanya tahu terdapat 3 restoran yang menyediakan makanan halal. Ianya ialah:
- Mel’s Drive-In yang terletak di Hollywood (Makanan Amerika)
- Goldilocks Friend Chicken di Far Far Away (Makanan barat)
- Oasis Spice Cafe di Ancient Egypt (Makanan timur tengah – India)
Ingat nak makanan berat, jadi saya fikir nak makan di Oasis Spice Cafe je untuk makan tengah hari. Bilangan pengunjung juga agak ramai. Dipenuhi orang Malaysia gamaknya. Haha.
Makanannya tak adalah wow sangat, setakat boleh makan je la. Zam Zam semalam lagi sedap rasanya. Harganya pula boleh tahan, beriani kambing dalam SGD16(RM52.75) dan Coke dalam SGD4 (RM13.18). Tapi tempat selesa la.
Oh ya, kalau korang mencari surau, surau berdekatan je dengan kawasan kafe ni. Dia letak bersebelahan dengan Ancient Eygpt dan Battlestar Galactica. Dekat je dengan kawasan locker tu.
Selepas selesai segala urusan, kami sambung lagi permainan. Senang kata terokai semua jenis permainan. Untuk budak-budak pun kitaorang sapu. Asal boleh naik. Hahah.
Korang tak tau, kitaorang ni mencari permainan apa yang paling best dan main puas-puas. Semua jenis permainan (termasuk untuk budak-budak) kitaorang main sekali. Tapi yang paling banyak kitaorang main adalah:
- Ancient Eygpt: Revenge of the mummy x 2 kali
- Transformers The Ride x 2 kali
- Battlestar Galactica: Human x 3 kali
- Battlestar Galactica: Cylon x 3 kali
Yang ini betul-betul lepas geram sebab kebanyakan permainan yang ada tak berapa mencabar sangat. Permainan yang saya paling tak suka pula adalah Jurassic Park Rapids Adventure sebab melibatkan air. Mujur la ada beli baju hujan. Itu pun kena pau SGD5 (RM16.47).
Tapi senang cerita kitaorang main sampai kitaorang rasa it worth of money la. Keputusan itu memang tepat.
Seterusnya kitaorang lepak kejap makan lagi di Goldilocks Friend Chicken sementara menunggu masa persembahan jam 7.00 malam nanti. Kira persembahan penutup sebelum USS pun tutup.
Persembahan penutup sempena Krismas
Saya tidak pasti persembahan ini ada pada setiap minggu atau pada hari perayaan sahaja. Tapi persembahan ini adalah persembahan yang paling ditunggu-tunggu sebagai penutup hari. Kebetulan pula pada waktu saya pergi itu adalah perayaan Krismas, siapa lagi yang mungkin kalau bukan Santa Claus.
Begitulah ceritanya aktiviti kami yang menghabiskan masa sehari suntuk dalam USS. Dari buka USS sampailah tutup USS. Mujur tak kena halau je. Haha.
Keseluruhannya pengalaman yang menyeronokkan dan mesra keluarga. Patutlah orang kata apabila anda datang ke Singapura, USS adalah destinasi wajib yang harus anda kunjungi. Sebab memang best.
Baiklah saya berhenti setakat di sini dahulu. Terima kasih kepada anda kerana sudi membaca siri melancong saya ke Singapura ini. Jika anda terlepas, saya sediakan pautan dibawah untuk rujukan anda.
Siri Singapura
Pengalaman melancong ke Singapura – Bahagian 1
Hadir acara penting di Singapura – Bahagian 2
Bercuti di Universal Studio Singapore (USS) – Bahagian 3
Jika anda ada sebarang persoalan atau perkongsian pengalaman bercuti di Universal Studio Singapore, jangan lupa kongsikan diruangan komen dibawah. Insyaallah saya akan membalasnya.
Soalan Lazim
Universal Studio Singapore (USS) dibuka dari hari Rabu-Isnin dari jam 11 pagi sehingga 6 petang bergantung kepada acara. Ketika saya hadir, USS dibuka sehingga pukul 8 malam. Namun permainan kekal tutup jam 6 petang.
Anda boleh ke Harbour Front station yang berdekatan dengan Vivocity shopping mall. Kemudian ambil Sentosa Express dan berhenti di Resorts World Station.
6 Comments
USS ada show2 menarik utk bdk2? Maksud sy ada waktu2 tertentu tak?
Tak ada show menarik sangat la untuk budak-budak. Kebiasaannya ada pentas2 kecil yang kadang-kadang ada tarian tetapi kebiasaannya hanya sesi mengambil gambar dengan karakter kartun. Perarakan je la yang boleh hiburkan mereka. Itu pun kena double check dengan staff USS ada ke tidak perarakan pada hari kejadian. Kebiasaannya jam 7 malam.
bang nak tanya, kalau guna bigpay atau wise card .. boleh guna dekat semua food stall dan shopping mall ke ? atau kene ready cash jugak ?..
dah itu sahaja soalan saya .. terima kasih.
Kalau dari pengalaman saya, kebanyakannya dah menyokong pembayaran tanpa tunai dah. Cuma ada satu kedai di Lau Pa Sat je haritu yang nak cash. Lain semua cashless.
abg nak tanya..kalau pakai debit kad untuk transaksi bas , mrt, shoping..ada caj extra ke?
Yang ini kena tengok bank sebab dia ada harga yang berlainan untuk kadar tukaran wang asing. Sebab itu la saya cadangkan guna Bigpay atau Wise untuk transaksi luar negara sebab mereka antara penyedia perkhidmatan yang menyediakan kadar tukaran wang asing yang termurah.