Sebagai rakyat Malaysia, melancong ke Singapura adalah aktiviti percutian yang anda perlu lakukan sekurangnya sekali seumur hidup. Manakan tidaknya, negara ini cuma terletak bersebelahan sahaja dengan Malaysia.
Walaupun kita berkongsi demografi dan suasana yang hampir sama memandangkan Singapura pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia, namun kelainannya masih lagi ada. Jadi tidaklah rugi untuk bercuti ke sana.
Kongsi pengalaman bercuti di Singapura
Asalnya tujuan mengapa saya ke Singapura adalah demi menghadiri majlis perkahwinan sahabat baik saya. Sambil berpakat dengan sahabat yang lain, saya berfikir apa kata kita jadikan kunjungan kita ini sebagai satu percutian.
Disebabkan masing-masing nak lepaskan geram disebabkan stress kesibukan bekerja, maka tanpa sebarang bantahan semuanya setuju. Maka bermulalah episod percutian ke Singapura.
Objektif percutian kali ini adalah kami tak mau percutian bajet. Nak percutian yang selesa namun dimasa yang sama tidaklah membuang masa untuk benda yang tidak perlu. Kita mulakan dengan tiket penerbangan.
Persediaan nak ke Singapura
Perkara pertama yang kami buat adalah dengan membeli tiket penerbangan terlebih dahulu. Memandangkan sewaktu saya membuat tempahan ini, Air Asia sangat terkenal sebagai penerbangan yang sangat tidak tepati masa dan asyik delay, maka itulah juga syarikat pertama yang kami cuba elakkan untuk percutian kali ini.
Pada percutian kali ini, saya memilih Singapore Airlines sebagai syarikat penerbangan pilihan. Harga yang ditawarkan juga agak berpatutan berbanding pesaingnya yang lain (pada ketika tempahan dibuat).
Harga tiket pada ketika ini ialah RM459. Tidaklah begitu murah. Tapi memandangkan kami pergi ke sana pada bulan December, saya kira berpatutanlah dengan harga. Tempat duduk juga boleh dipilih dengan tawaran 25kg baggage, boleh la. Tempat duduk pun punyai ruangan kaki yang selesa. Asalkan bukan Air Asia.
Dokumen yang perlu disediakan
Tiada apa yang menyulitkan pun, anda hanya perlu mengisi SG Arrival Card secara online atau biasa orang gelar kad putih tu. Kalau boleh isilah seawal yang mungkin. Pastikan anda mengisi selewatnya 3 hari sebelum tarikh melancong. Jangan lupa simpan fail tersebut dalam bentuk pdf atau screenshot dan tunjukkannya jika diminta.
Bermulalah pengalaman pelancongan
Pengalaman menaiki laluan udara ke Singapura, ia mengambil masa 1 jam sahaja untuk ke sana. Jadi kami sampai di sana sekitar jam 10 pagi. Proses semuanya terlampau lancar, dalam pukul 10.15pagi kami dah selesai ambil baggage.
Jewel Changi Airport
Memandangkan ketibaan kami terlalu awal untuk check-in hotel, jadi kami memilih untuk jalan-jalan sebentar ke Jewel Changi Airport. Nak tengok juga suasana air terjun buatan yang digembar-gemburkan berada di taman dalam bangunan yang terbesar di Singapura.
Sambil-sambil itu nikmatilah juga pemandangan buatan sambil melihat gelagat para pelancong yang sakan mengambil gambar di sana. Lebih kurang satu jam, kami rasa elok kami bergerak ke tentatif yang selanjutnya. Malas nak fikir panjang, naik Grab je dulu.
Kami memilih Hotel Grand Pacific sebagai penginapan pilihan memandangkan ia juga berdekatan dengan pengangkutan awam dan lokasi majlis perkahwinan sahabat saya. Disebabkan jam masih lagi belum menunjukkan waktu check-in, maka kami singgah ke hotel untuk letak beg kami dahulu. Hotel ini agak lama, tetapi masih lagi selesa.
Hari pertama ini, kami fikir nak habiskan masa dengan aktiviti outdoor di Skyline Luge Singapore. Tapi memandangkan tempahan dibuat pada jam 3 petang, jadi elok kiranya kami singgah makan dahulu.
Restoran Hjh Maimunah
Bagi restoran pilihan makanan tengah hari kami, kami memilih restoran Hajah Maimunah yang terletak Arab Street. Walking distance je daripada hotel kami iaitu kira-kira 15-20 minit berjalan kaki.
Ketika tibanya kami di lokasi, orang agak ramai tetapi tidaklah terlalu sesak. Jadi masa beratur untuk mengambil makanan agak singkat.
Biasalah, makan tengah hari. Jadi hidangan yang disediakan adalah nasi campur. Pilihan lauk yang tersedia juga agak banyak. Saya memilih nasi putih, asam pedas ikan pari, sayur taugeh bersama teh ais. Harga makanan saya ini adalah SGD8.80 bersamaan RM29. Bagi saya murahlah (dengan nilai SGD).
Bersama dengan hidangan itu, kami kongsi 3 orang tauhu telur yang dihidangkan bersama sambal kicap. Sedap dan menyelerakan. Cuma yang ni mahal sikit dalam SGD7.50 (RM24.72). Tapi kalau dah sedap, apa ada hal.
Perut dah kenyang, hati pun dah senang, tanpa membuang masa kami terus bergegas ke destinasi selanjutnya iaitu Skyline Luge Sentosa untuk aktiviti outdoor. Kali ini kami malas nak naik Grab sebab membazir, kami naik bas terus menuju ke HarbourFront/EvoCity.
Perlukah kad ez-link untuk menaiki pengangkutan awam?
Kami faham ada diantara anda yang berfikir mana nak dapat kad pelancong ez-link yang digunakan untuk memudahkan anda menggunakan pengangkutan awam di Singapura. Bagi saya, pakai kad debit atau kredit sahaja la.
Ini kerana di Singapura, mereka menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai di semua jenis pengangkutan awam. Jadi anda tidak perlu risaulah kerana hal pembayaran ini tidak sesulit di Malaysia. Nak Touch n go bagai.
Bagi saya pula, saya lebih gemar menggunakan Bigpay kerana ia memudahkan saya untuk track balik perbelanjaan saya ketika berada di sini. Malahan saya menggunakan Bigpay untuk kesemua jenis pembayaran. Cash saya tidak luwak pun.
Bagi sistem pengangkutan, caj akan dikenakan secara lamsum. Jadi korang gunalah dulu segala jenis pengangkutan awam (bas atau MRT), anda akan dicaj secara total pada penghujung hari. Secara purata saya dicaj serendah SGD3-SGD6 sahaja sehari (bergantung juga kepada perjalanan anda).
Baiklah, sambung cerita balik tentang perjalanan saya nak ke Skyline Luge Sentosa.
Skyline Luge Sentosa
Berbalik kepada The Luge itu tadi, saya menaiki bas berhenti di HarbourFront station untuk ke Vivocity. Daripada Vivocity ini saya menaiki Sentosa Express terus ke Imbiah Station. Kat sini kena jalan kaki sikit la sebab nak kena naik bukit. Sebab ini aktiviti outdoor, kena ready la, pakai pakaian yang selesa.
Sebelum anda sampai ke Skyline Luge, anda akan melalui Madame Tussauds, iaitu muzium lilin yang memaparkan patung selebriti terkenal dari serata pelusuk dunia. Difahamkan patung ikon sukan terkenal tanah air Datuk Lee Chong Wei juga turut dipaparkan disini.
Tiket masuk pula dalam SGD24.65 (RM81.22). Memandangkan saya tak ada niat nak masuk, saya teruskan perjalanan ke Skyline Luge. Jauh lagi ni.
Akhirnya selepas tambahan beberapa minit berjalan, akhirnya kami sampai juga tempat permainan ini. Kami kira sebenarnya selain daripada menghadiri majlis perkahwinan, ini adalah aktiviti utama yang kami perlu buat ketika berkunjung ke Singapura.
Lagipun geng saya ni memang dah pesan awal-awal nak cuba permainan Luge ini. Jadi tanpa berfikir panjang saya buat tempahan awal menggunakan aplikasi Klook. Memang mudah sangatlah. Saya ambil pakej yang 3 kali pusingan tu. Maksudnya 3 kali la kena naik bukit. Hahaha.
Harga yang dikenakan adalah RM96 seorang untuk 3 kali pusingan. Mungkin nampak macam sikit, tapi sebenarnya agak memenatkan juga. Dengan keadaan panasnya lagi. Lagipun Singapura bukan ada musim sejuk pun. Jadi ketika bermain permainan ini, terasalah juga macam bersokan.
Sebelum anda memulakan aktiviti, keselamatan adalah amat dititikberatkan. Kita akan diminta untuk memakai topi keledar terlebih dahulu. Setiap topi keledar pula disertakan dengan cip yang akan tag anda ketika penganjur mengambil gambar secara automatik di beberapa spot penting dalam track.
Jika anda seorang yang tinggi macam saya, anda tidak perlu risau dengan kesukaran untuk mengawal luge anda ini. Minta je kepada urusetia untuk memberikan luge yang mempunyai brek pendek. Pandai la diaorang nak adjust. Brek pendek itu membantu anda untuk mengawal luge dengan lebih mudah.
Dimasa yang sama, korang mesti terfikir kan, bila dah menuruni bukit ni, tak kan kena naik tangga lagi nak ke atas semula?
Jangan risau, kalau anda dah masuk kawasan Skyline Luge, mereka ada menyediakan kemudahan kerusi lif (chairlift) untuk memudahkan anda menaiki bukit. Jadi sambil-sambil tu bolehlah berehat di atas kerusi lif sambil menikmati pemandangan di atas Pulau Sentosa.
Sebenarnya seronok bermain luge dan dimasa yang sama menaiki kerusi lif ini. Lagi seronok korang tersangkut kira-kira 15 meter daripada aras tanah untuk hampir 10 minit disebabkan oleh masalah teknikal. Hahaha.
Mujur tak ada yang gayat. Jadi kami ambil kesempatan ini untuk berborak sahaja sambil menikmati angin yang sepoi-sepoi bahasa. Pemandangan pun cantik.
Selepas menghabiskan 3 pusingan permainan, kami pun saje-saje la scan topi keledar kami untuk check ada ke gambar lawa yang mereka ambil di track. Ternyata ada. Bayaran yang dikenakan adalah SGD7 (RM23.06) sahaja untuk sekeping gambar.
Mahal, tapi sebab cantik kami relakan juga beli untuk dibuat kenangan. Nak tengok gambar mana? Sudah tentulah gambar di bawah ini.
Selesai bermain, kami jalan-jalan sebenar ke Siloso Beach, pantai yang berdekatan dengan trek Skyline Luge bahagian bawah. Disini sekadar menikmati pemandangan sahaja memandangkan pandai pun bersih dan terjaga.
Ada je yang buat family day, lepak-lepak dan ada beberapa tempat aktiviti lasak Bungee Jumping yang berdekatan dengan tempat ni. Tak tau kenapa tak terfikir pula nak tangkap gambar atau rakam, mungkin sebab penat sangat kot.
Dah jom balik.
Kitaorang plan macam nak bergegas balik ke hotel pada hari ini sebab terasa barai sangat dah ni. Malam nanti nak cari makan pula.
—
Balik ke hotel naik MRT je. Lega bila dapat check-in dan dapat baring di tilam yang empuk dan selesa. Rasa macam tak nak bangun je. Tapi apakan daya, kitaorang ada itenary yang perlu diikuti. Jadi rehat sebenar, bersihkan diri sebelum cari makan.
Kalau hendak diikutkan, terdapat beberapa pilihan tempat yang bakal menjadi tempat untuk kami makan malam. Antaranya ialah Lau Pa Sat, Rasa Rasa Singapore atau 89.7 Super Club. Setelah buat beberapa pertimbangan, akhirnya kami memilih untuk ke Lau Pa Sat dengan menaiki bas.
Lau Pa Sat
Sampai sahaja kami di sini, kami dapati tempat ini meriah dengan pengunjung yang cuba untuk menikmati hidangan tempatan. Tak sangka pula disini hidangan satey sangat terkenal dan menjadi pilihan utama pengunjung.
Tapi itulah, saya tak adalah kemaruk sangat nak rasa satey Singapore sebab saya ni orang Muar kot. Orang Muar ni sate tu buat breakfast je.
Jangan risau, banyak je pilihan makanan halal di sini. Cuma ketika kunjungan kami ke sini, ada banyak pula makanan halal yang tutup. Jadi macam kurang sikit la pilihan makanan. Harga makanan pun agak mahal sedikit.
Saya rasa mungkin disebabkan oleh Lau Pa Sat ini merupakan destinasi pelancongan dan kawasan tumpuan, jadi tak pelik la ada kenaikan harga. Agaknya apa menu pilihan saya disini ya?
Saya memang suka ikan pari sebenarnya. Hehehe. Jadi menu saya malam ini adalah ikan pari bakar sambal. Kos hangus adalah SGD17(RM56.01) dan air dalam SGD4.7(RM15.48).
Tapi itulah, rasa tak lengkap pula tak ada sayur. Tapi bila tengok sayur bodoh-bodoh dah SGD10(RM32.95), buang duit je la.
Bila semua dah dapat hidangan, kami pun makan dan lepak-lepak la disini sambil menikmati sisa-sisa hari pertama sesi melancong ke Singapura ini. Barai juga rasanya hari ini. Esok pula merupakan acara penting majlis perkahwinan sahabat saya.
Jadi dalam satu jam lebih kami disitu, kami pun bergegas pulang ke hotel. Recharge balik dan dapatkan rehat yang secukupnya. Jadi saya sambung aktiviti esok pula. Nanti kita sambung bahagian 2 pula.
Siri Singapura
Pengalaman melancong ke Singapura – Bahagian 1
Hadir acara penting di Singapura – Bahagian 2
Bercuti di Universal Studio Singapore (USS) – Bahagian 3
—
Saya sekarang dalam mood menulis, jadi pun menulis agak sedikit terperinci tentang perjalanan trip saya melancong ke Singapura ini. Nak tak nak terpaksa pecahkan kepada beberapa bahagian. Harap anda semua enjoy.
4 Comments
Hi , sentosa express tu awak guna bigpay jugak ke ?
Sentosa Express tu free je. Kalau awak tak de kad ez-link, nanti ada staff dekat situ tolong bagi masuk.
Hi azmir
Artikel ni sangat membantu untuk saya yg baru 1st time nak ke SG. Sangat detail & informative. Thank you so much.
Hi Syikin.
Terima kasih kerana sudi membaca juga. Enjoy ur day in Singapore.