Diketika ini kita masyarakat Malaysia sedang bergerak kearah masyarat tanpa tunai. Disaat kita diberikan kesedaran tentang penggunaan ewallet dikalangan masyarat, tanpa disedari telah lama wujud pembayaran yang bukan sahaja lebih mudah berbanding ewallet, sebaliknya lebih mudah berbanding kad kredit/debit fizikal. Ianya adalah pembayaran elektronik menggunakan Samsung Pay.
Apa itu Samsung Pay
Samsung Pay adalah aplikasi pembayaran elektronik mudah alih yang dibina untuk kegunaan peranti keluaran Samsung. Menghubungkan kad debit/kredit pilihan dengan peranti anda, aplikasi ini membenarkan anda untuk membuat pembayaran pantas dan selamat dengan hanya menggunakan telefon bimbit atau jam tangan sahaja.
Samsung Pay ini disokong oleh teknologi NFC (Near Field Communication) dan MST (Magnetic Secure Transmission) yang membolehkan anda membuat pembayaran di mana-mana sahaja kedai yang menyediakan perkhidmatan terminal pembayaran menggunakan kad debit atau kredit.
Dalam erti kata lain, anda tidak perlu membawa dompet lagi.
“Samsung Pay adalah platform pembayaran mudah alih yang mantap yang tidak hanya menyokong peralihan ke arah dompet digital hari ini, tetapi menyediakan jalan yang kondusif dan kalis masa depan untuk e-pembayaran yang selamat di Malaysia”, kata En Lee Jui Siang, Naib Presiden Unit Perniagaan Mudah Alih dan IT, Samsung Malaysia Electronics.
Kata ini dikeluarkan ketika pelancaran produk pembayaran di Malaysia ini sekitar tahun 2017. Menjalinkan kerjasama strategi dengan bank tempatan, Samsung mahu bergerak seiring dengan misi Malaysia untuk sama-sama bergerak ke arah masyarakat tanpa tunai.
Bagaimana Samsung Pay berfungsi?
Pertama sekali anda perlu ada peranti Samsung dan bukan semuanya menyokong Samsung Pay. Apa yang perlu anda buat adalah dengan menyemak adakah telefon bimbit anda tersenarai dalam senarai peranti yang disokong.
Lihat senarai peranti yang menyokong Samsung Pay: Klik sini
Jika anda ingin menggunakan jam tangan Samsung Gear bersama dengan peranti bukan keluaran Samsung, pasti telefon bimbit anda menggunakan android 6.0 dan ke atas.
Bagi pengguna IOS pula, sebenarnya Samsung Pay sememangnya menyokong buat pengguna Iphone dengan IOS 9.0 ke atas, tapi sebab Apple mahu anda kekal noob, jadi mereka telah menyekat sebahagian daripada fungsi aplikasi ini yang memustahilkan anda membuat pembayaran menggunakan Samsung Gear anda.
Dalam erti kata lain, tak boleh. Haha.
Pastikan anda memuat turun aplikasi Samsung Pay di telefon bimbit dan tambahan aplikasi Galaxy Wearable jika menggunakan jam tangan pintar Galaxy gear. Di aplikasi tersebut, anda masukkan sahaja maklumat kad debit atau kad kredit anda anda untuk tujuan penggunaan.
Selesai.
Kini peranti anda boleh digunakan terus.
Pengalaman menggunakan Samsung Pay
Ketika saya menulis artikel ini, saya telah menggunakan Samsung Pay hampir setahun dan sejujurnya saya berpuas hati dengan perkhidmatan pembayaran yang telah disediakan oleh pihak Samsung ini. Pembayaran yang saya ingin lakukan cukup pantas. Apa yang saya perlukan buat adalah sentuh jam tangan saya di terminal yang disediakan. Zassssss, transaksi diterima.
Rakan saya Adlan Shah menggunakan Samsung Pay ketika membuat pembayaran di McDonald Bukit Bintang
Jika anda mengikuti laman web saya ini, anda pasti tahu bagaimana terujanya saya apabila bercerita sesuatu tentang teknologi tanpa tunai. Saya kerap berkongsi dengan anda semua tentang ewallet seperti Kiplepay, Boost dan Bigpay. Semuanya kerana saya mahu keselesaan dan kepantasan.
Namun saya agak sedikit kecewa dengan prestasi ewallet yang berada di pasaran. Setiap kali saya melakukan transaksi, saya mengambil masa hampir 5-7 saat untuk membuka aplikasi yang saya mahukan dan bagi saya tempoh masa itu terlalu lama. Sangat lama.
Kemudian saya terpaksa juga memilih kedai yang menyokong ewallet. Bila dah menyokong ewallet pula, ewallet yang disokong berlainan jenis pula. Bayangkah la jika anda pakai Boost, kedai tersebut hanya menyokong ewallet Touch n go. Bukankah urusan menjadi lebih lambat. Yang penyokong pelbagai jenis ewallet setakat ini hanyalah Tesco.
Berbeza dengan Samsung Pay yang menyediakan butang shortcut, saya hanya memerlukan kurang 2 saat sahaja menggunakan jam saya untuk melakukan pembayaran. Sudahlah begitu, pembayaran juga lebih mudah dimana Samsung Pay ini boleh digunakan di semua kedai yang menyokong penggunaan kad Visa dan Mastercard. Tidak perlulah saya tercari-cari QR Code yang boleh diimbas.
Lebih menarik, jam tangan saya dihubungkan terus dengan kad daripada Maybank dan transaksi boleh dilakukan secara online atau offline. Jika offline, limit yang diberikan adalah 10 kali transaksi sebelum ia perlu dihubungkan dengan telefon bimbit anda. Jika online terpulanglah.
Bank yang menyokong Samsung Pay
Walaupun Samsung Pay boleh digunakan di kebanyakan terminal kad kredit/debit, namun hanya beberapa Bank tempatan sahaja yang menjalinkan kerjasama dengan Samsung. Berikut disediakan senarai Bank yang terlibat.
Terdapat 8 Bank tempatan yang menjalankan kerjasama dengan Samsung untuk integrasi perkhidmatan Samsung Pay. Antaranya adalah Maybank, Citi Bank, HongLeong Bank, HSBC, CIMB, Public Bank, RHB dan Standard Chartered. Bagi kemudahan e-pembayaran ini pula, Samsung Pay menggunakan rangkaian Visa dan Master.
Adakah ia selamat?
Dari ciri keselamatan jika anda memakai telefon bimbit Samsung, Samsung Pay melindungi maklumat yang ada dalam telefon bimbit dengan Samsung Knox. Ciri keselamatan Knox juga membantu daripada segi pengawasan penggodaman dan pencegahan rooting masa nyata.
Selain daripada itu, mereka juga menggunakan teknologi yang lebih selamat berbanding kad fizikal. Setiap nombor kad disimpan dalam bentuk penyulitan (encrypted) berbanding nombornya yang sebenar. Nombor sebenar juga tidak disimpan di mana-mana aplikasi atau peranti.
Ciri tambahan lain pula, anda boleh setkan nombor pin, cap jari ataupun pengimpas retina sebelum anda dibenarkan menggunakan kad anda.
Kesimpulannya
Ini kerana jarang sekali negara seperti kita ini diberikan keistimewaan untuk merasai teknologi kedepan. Anda bayangkan tahun 2020 kita masih struggle untuk mendidik rakyat kita menggunakan ewallet, walhal China sudah menggunakan secara aktif sejak tahun 2014. Kiranya kita sudah 6 tahun kebelakang.
Kemudian datang Samsung menawarkan sesuatu yang lebih baik pada tahun 2017, rakyat Malaysia masih lagi jarang menggunakannya. Maka kita sebenarnya rugi. Bayangkan jika teknologi ini digunakan secara meluas pada tahun 2017 di Malaysia, silap-silap kita yang menganjing China masih lagi QR Code. haha
Baca juga: Pengalaman menggunakan kad Bigpay selama sebulan
Baca juga: 7 sebab mengapa ewallet Boost menjadi pilihan warga Kuala Lumpur
Baca juga: Simpan Bitcoin secara offline dengan Ballet Crypto
Jadi itulah serba sedikit yang saya dapatkan kongsikan tentang produk samsung ini dan pengalaman saya menggunakannya. Diharapkan penulisan saya dapat membantu anda untuk mendapatkan gambaran teknologi yang agak best ini.
2 Comments
Apakh Samsung dpt berfungsi menerima transfer kewangan dri mna mna pihak agent kewangaan yg ingin membyar cash/menghantar trus dgn menggunakn Samsung Pay selain Master/Visa Card..utk menerima apa jua kemaksukn duit .
Hi Lyee.
Tak boleh. Samsung Pay ni bukan ewallet. Dia lebih kepada aplikasi yang memmudahkan pembayaran kad anda kepada digital. Dalam erti kata lain, menukarkan kad fizikal debit/kredit kepada e-kad. Jadi anda hanya perlu membawa telefon bimbit/jam sahaja ketika membuat pembayaran.