Tinggal di Kuala Lumpur tidaklah begitu mudah. Disebabkan lambakan kenderaan yang tidak setimbal dengan jumlah parkir kereta yang disediakan oleh pihak Pangsapuri, Kondominium atau Residensi menyebabkan anda terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.
Bagaimana pula keadaannya jika keesokkan harinya anda bergegas ke tempat kerja dan melihat kenderaan anda hilang?
Jawapan kepada kenderaan hilang?
Apabila kenderaan hilang secara tiba-tiba, ada 2 keadaan sahaja yang kemungkinan berlaku. Ianya sama ada kenderaan anda dicuri atau ditunda oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini tidaklah terpakai di tempat tinggal anda sahaja. Sebaliknya ianya juga boleh berlaku jika anda berada di kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan parkir di tempat yang tidak sepatutnya, tiba-tiba saat kembali ke kenderaan, keretanya hilang.
Kereta ditunda DBKL
Begitulah keadaan yang berlaku kepada kawan saya yang seorang ini. Tiba-tiba dia menelefon saya kalut berkongsikan masalah kenderaan hilang secara tiba-tiba di kawasan rumahnya. Maklumlah pada waktu malam sebelumnya beliau keluar sehingga lewat malam bermain badminton dengan saya, jadi sudah pasti parkirnya tiada.
Saya katakan padanya, tidak perlu kalut. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah dengan menghubungi terlebih dahulu pihak DBKL untuk pemeriksaan kenderaan yang ditunda memandangkan beliau mungkin parkir di tempat yang tidak sepatutnya.
Jika tiada dalam rekod, barulah kita buat laporan polis.
Hubungi DBKL
Bagi membuat semakan, anda boleh menghubungi pihak DKBL di talian berikut:
Kaunter Tuntutan: 03 – 40244424
Tapi sekarang ini sudah cukup mudah, anda tidak perlu pun membuat panggilan, cukup dengan menghubungi mereka menerusi whatsapp di talian berikut:
Whatsapp DBKL: 013-6663255
Sila bekalkan bersama nombor plat kenderaan anda.
Setelah dihubungi mereka akan membuat pengesahan sama ada benarkah kereta ditunda DBKL. Jika ya, maka jumlah bayaran akan dimaklumkan oleh pihak mereka (anda perlu bayar ketika di kaunter) dan dimana kenderaan anda boleh dituntut.
Sila rujuk laman web rasmi DBKL untuk maklumat lanjut: Klik Sini
Pengalaman tuntut kereta di Depoh Simpanan Kenderaan DKBL
Selepas menghubungi pihak DBKL melalui Whatsapp, kami diminta untuk membuat tuntutan di Depoh Simpanan kenderaan DBKL yang terletak di Jalan Pahang. Lokasi ini penting ya sebab DBKL punyai beberapa lokasi simpanan kenderaan. Jadi baik sahkan dengan mereka dahulu menerusi Whatsapp.
Sampai sahaja di sana, kami terus pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Kadar bayaran yang dikenakan kepada kawan saya tadi ialah RM15 untuk notis kompaun dan RM100 untuk upah tunda. Jadi total yang perlu dibayar adalah RM115.
Jangan lupa untuk bawa dokumen penting seperti kad pengenalan dan lesen. Pastikan juga tuntutan dibuat dalam tempoh 24jam. Selepas daripada tempoh tersebut, anda akan dikenakan upah simpanan sebanyak RM100 untuk sehari.
Sebaik sahaja bayaran telah dijelaskan, anda perlu mengisi beberapa dokumen sebelum anda diberikan kebenaran untuk mengambil kereta anda. Proses tidak lama, makan masa 10 minit sahaja.
Selesai.
Baca juga: Cara beli kad NFC Touch N Go dengan mudah dan pantas
Jadi itu sahaja pengalaman saya membantu rakan saya untuk membuat semakan dan tuntutan kereta ditunda DBKL. Diharapkan perkongsian ini membantu buat mereka yang ditimpa nasib yang lebih kurang sama.
Soalan Lazim
Dimasa ini, pihak DBKL hanya menerima pembayaran secara tunai (cash) sahaja.
Sila sahkah terlebih dahulu lokasi depoh kenderaan mana yang anda perlu pergi sebelum membuat tuntutan kenderaan anda menerusi talian Whatsapp DBKL.
Anda tidak dikenakan bayaran kadar upah simpanan kenderaan bagi tempoh 24 jam yang pertama. Selepas daripada tempoh tersebut, anda akan dikenakan kadar upah RM100 sehari. Jadi bayaran yang dikenakan adalah notis kompaun + upah tunda + (upah simpan x hari).
2 Comments
susah juga ya.. sabar jerla.duit pun hangus banyak.. dbkl tk boleh kawteam.
Sebab itu seeloknya parking di tempat yang sepatutnya.