Ballet Crypto adalah sebuah produk yang pasti diimpikan oleh setiap pemilik mata wang kripto kerana idea dan kemampuannya untuk menyimpan bukan sahaja Bitcoin, tetapi juga pelbagai jenis mata wang kripto yang lain secara offline. Lebih menarik, ianya bukan elektronik dan mudah untuk diuruskan.
Baca juga: Apa itu mata wang kripto?
Teruja membeli dompet kripto
Rasa teruja tidak dapat dibendung lagi. Saya cukup teruja apabila Ballet Crypto yang saya pesan sampai ditangan saya. Hampir 2 minggu saya menunggu kad saya itu sampai selepas pesanan telah dibuat secara online.
Buat pengetahuan anda semua, Ballet Crypto ini boleh dibeli di laman web rasmi mereka sendiri dengan harga serendah USD35 (RM151.68) untuk siri REAL. Memandangkan saya nak cepat, jadi saya buat pesanan dengan Senangbit sahaja dengan harga RM168 termasuk penghantaran.
Laman web rasmi Ballet Crypto: Klik sini
Ini bagaimana keadaan kotak Ballet Crypto yang sampai di tangan saya.
Kondisi luaran pakej
Kenapa Ballet Crypto?
Saya sememangnya inginkan sebuah dompet (wallet) mata wang kripto yang mudah untuk disimpan tanpa risiko kecurian yang tinggi. Saya sendiri sebelum ini menyimpan di Crypto Exchange dan online wallet. Walaupun tempat simpanan saya dikawal dengan tahap keselamatan yang tinggi, asalkan ia berpusat (centralize), risikonya tetap ada. Lebih-lebih lagi duit saya dipegang orang.
Disebabkan itulah saya mahukan sebuah dompet kripto yang tersendiri (stand alone) dan tidak memerlukan saya menjaga dengan rapi. Seeloknya bukan elektronik seperti Trezor dan Ledger Nano kerana kita sendiri tahu jangka hayat barangan elektronik.
Jadi pilihan yang ada adalah Ballet Crypto. Dompet ini sama seperti paper wallet. Tetapi lebih tahan lasak dan boleh diuruskan dengan lebih baik. Kita boleh menyimpan ditempat yang selamat.
Kandungan Pakej
Selepas saya membuka pakej ini, didalamnya terdapat sekeping kad siri REAL Bitcoin bersama bekas perlindungan yang diletakkan berasingan. Disertakan bersama manual penggunaan yang menempatkan cara-cara bagaimana untuk menyambungkan kad tersebut dengan aplikasi mobile dan penerangan nombor siri dan key.
Untai kata dari Bobby Lee, pengasas Ballet
Tatacara pengurusan dompet
Penerangan kad REAL Bitcoin
Kelebihan dompet ini?
Terdapat beberapa kelebihan yang anda boleh dapat jika membeli dompet daripada Ballet Crypto ini. Antaranya ialah:
Polisi Know Your Customer (KYC)
Anda tidak perlu risau dengan polisi Know Your Customer (KYC) kerana anda tidak perlu mendaftar untuk mula menggunakannya. Apa yang perlu anda buat adalah dengan imbas private key dan tara… Boleh masuk dan keluarkan duit anda.
Menyokong pelbagai mata wang kripto
Dompet ini walaupun memberi pengkhususan pada mata wang Bitcoin, ia masih lagi menyokong sehingga 60 jenis altcoin dan token ERC20 terpilih. Cumanya jika Bitcoin boleh terus dihantar dengan hanya mengimbas QR Code di kad, altcoin yang lain pula memerlukan anda untuk memuat turun aplikasi Ballet Crypto untuk tujuan penambahan.
Dompet Non-elektronik
Menerusi rekaan stainless steel yang kemas dan bergaya, kad berukuran 42 x 35mm ini benar-benar memberikan pengalaman yang premium kepada pelanggannya. Lebih menarik, simpanan secara offline ini tidak memerlukan anda untuk mengemaskini perisian atau menukar bateri kerana ia bukan elektronik. Jadi simpanan anda lebih selamat.
Rekaan kad siri REAL Bitcoin
Berikut pula kondisi kad REAL Bitcoin. Dibahagian depan kad terpapar kod pengesahan, kata kunci, QR Code yang memaparkan private dan public key berserta nombor siri kad. Disamping itu terpapar juga logo besar Bitcoin yang melambangkan BTC adalah dompet utama kad ini tanpa memerlukan pengguna untuk melakukan tetapan.
Muka depan
Muka belakang
Dibahagian belakang kad pula terpapar logo Ballet Crypto dengan kata “In crypto we trust”. Terdapat juga kata amaran tentang bagaimana kad ini dikira sebagai tunai. Jadi pastikan jangan hilang.
Adakah ianya selamat?
Ianya selamat jika disimpan ditempat yang selamat. Walaupun private key dan public key dijana oleh mereka, namun langkah-langkah keselamatan telah diambil oleh pihak Ballet.
Pertama sekali mereka menggunakan industry-first 2-Factor Key Generation (2FKG) sebagai ciri keselamatan dompet dan standard BIP38. Ini bermakna jika anda ingin mengakses dompet anda, anda memerlukan private key dan passphrase untuk menggunakan mata wang kripto yang disimpan.
Bobby Lee selaku pengasas dan CEO kepada Ballet Crypto telah menyatakan setiap private key yang disimpan mereka telah dibuang sebaik sahaja ianya selesai dicetak diatas kad. Jadi beliau menasihatkan agar pemilik kad untuk berhati-hati dalam menyimpan kad kerana jika kad tersebut hilang, syarikat tidak dapat mengembalikan duit yang berada didalamnya kerana private key tidak disimpan oleh mereka.
Selain daripada itu, ciri keselamatan turut diaplikasikan didalam SOP penghasilan kad ini. Private key dan Public key kad ini dihasilkan di China tanpa sisi lengkap kad 2FKG. Jadi ketika penghasilan dibuat, kad ini tidak lengkap dan prosedur dilakukan secara berhati-hati dalam menghasilkan dua lapisan key kad.
Kemudiannya kad tersebut dibawa ke Amerika Syarikat bagi tujuan cetakan passphase (kata kunci) dan nombor siri kad. Ketika proses ini, pekerja tidak boleh mengakses private key lagi kerana ia sudah diseal dengan public key. Cetakan laser passphase dan nombor siri kad pula kemudiannya akan ditampal dengan bahan mudah guris untuk menutupnya bagi tujuan penggunaan pemiliknya.
Macam mana nak hantar bitcoin?
Secara default ketika saya dapatkan kad ini, kad ini sudah boleh menerima Bitcoin tanpa perlu mendaftar. Walau bagaimanapun jika anda ingin menghantar Bitcoin atau menguruskan mata wang kripto lain, anda perlu memuat turun aplikasi Ballet Crypto di appstore atau playstore. Kemudian imbas private key bersama kata kunci untuk mula menggunakannya.
Cara penggunaan Ballet Crypto
Cara penggunaan Ballet Crypto sangat mudah untuk orang yang bukan geek kerana rekaannya sememangnya dihasilkan untuk orang biasa. Bagi pengasas Ballet, mereka tidak mahu produk ini terlalu fancy dengan kemudahan yang terlalu berlebihan. Ballet crypto ini sepatutnya milik semua.
Bagi gambaran yang lebih jelas, saya sertakan sekali gambar bagaimana untuk menguruskan mata wang kripto anda dengan menggunakan aplikasi rasmi Ballet.
Imbas QR Code anda menggunakan aplikasi rasmi Ballet. Kemudian anda akan diminta untuk memasukkan kata kunci dan nombor siri kad untuk tujuan pengesahan.
Saya sangat menggalakkan anda untuk membuat tetapan “private mode” untuk buang fungsi yang membenarkan sesiapa sahaja untuk menguruskan wallet tanpa kunci. Ini adalah fungsi tambahan yang melibatkan keselamatan.
Kemudahan deposit disediakan menerusi 2 alternatif pembayaran sama ada menerusi Legacy atau SegWit. Saya masukkan sedikit wang sebanyak 0.00261506BTC atau lebih kurang RM108 untuk mencuba fungsi ini.
Nampaknya transaksi berlaku tanpa masalah. Bagi memberikan kepada anda gambaran yang lebih jelas, saya sediakan tutorial penggunaan Ballet Crypto.
- Buka kotak Ballet Crypto anda dan ambil kad yang berada didalamnya.
- Muat turun aplikasi Ballet Crypto di appstore atau playstore anda.
- kopekkan lapisan pertama public key anda. Anda akan nampak private key dibelakangnya.
- Ambil telefon bimbit dan imbas QR Code private key anda dengan menggunakan aplikasi Ballet Crypto.
- Masukkan kata kunci (passphase) yang berada dibawah kad.
- Masukkan nombor siri kad
- Selesai.
Kontroversi Ballet Wallet?
Bobby Lee ketika memerkenalkan Ballet Crypto
Bagi mereka yang biasa terjebak dengan mata wang kripto ini, pasti anda menyedari sesiapa yang memiliki private key bagi dompet digital pasti menjadi pemilik dompet tersebut. Begitu juga dengan kontroversi yang melanda Ballet Wallet ini dimana setiap private key dijana oleh syarikat ini. Jadi bagaimana dengan isu keselamatan dan pemilikan dompet?
Menjawab pertanyaan tersebut, Bobby Lee telah berkata setiap SOP yang dilakukan oleh syarikat adalah berdasarkan garis panduan yang ketat. Beliau yang juga terkenal sebagai bekas pemilik syarikat tempat tukaran wang kripto pertama di China iaitu BTCC telah menyatakan beliau mempertaruhkan reputasinya dalam penghasilan Ballet Wallet ini. Jadi keselamatan adalah dibawah tanggungjawab beliau dan perkara seperti itu tidak akan sesekali berlaku.
Profil Linkedin Bobby Lee: Klik sini
Kesimpulannya
Walaupun ciri keselamatan terjamin, namun saya juga perlu sedar yang Bobby Lee mahu menjadikan kad ini seperti emas atau dalam dalam erti kata lain sesuatu yang berharga. Jadi jika ada peti besi, peti besi adalah tempat yang selamat untuk menempatkan kad ini kerana kad ini bukan sahaja menyimpan Bitcoin, tetapi juga kata kunci dan nombor siri.
Anda tetap berdepan risiko kecurian fizikal yang membahayakan. Namun alternatifnya, dompet ini berfungsi secara offline yang tidak terikat dengan mana-mana peranti. Jika anda terbuang aplikasi Ballet Crypto di telefon bimbit anda, anda masih lagi boleh mengakses akaun anda dari mana-mana sahaja peranti. Jadi pastikan diri jangan cuai.
Ulasan ini juga sekadar memberi alternatif kepada penyimpan mata wang kripto. Jika anda selesa dengan produk cold wallet yang lain seperti Ledger dan Trezor, terpulang kepada diri anda kerana masing-masing mempunyai pro dan kontra.
Terima kasih kerana sudi membaca. Jika anda punyai sebarang pertanyaan dan berkongsi pandangan anda berkenaan dompet ini, anda boleh ajukan diruangan komen.