hatyai, budget di hatyai, budget ke hatyai, budget trip ke hatyai, pengalaman pergi ke hatyai, tip pergi hatyai
Percutian

Trip bajet ke Hatyai 3H2M dengan hanya berbekalkan RM300

on
02/05/2019

Thailand ini antara lokasi percutian yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia untuk melancong. Ini termasuklah saya yang turut menjayakan trip bajet ke Hatyai selama 3 hari 2 malam bersama MISC Men, brotherhood saya di UUM(saya pelajar UUM).

Kalau nak diikutkan lama sudah aktiviti ini dirancang, namun rancangan seperti biasa tak ada kesudahan. Dia kena tiba-tiba nak pergi, barulah semuanya jadi. Itulah kami.

Memandangkan trip ini trip berkumpulan, saya rasa pergi dalam kumpulan yang besar lebih sukar berbanding pergi bertiga (campak mana-mana boleh hidup). Kami pergi dalam 12 orang dan terpaksa melayani 12 kepala untuk bergerak kemana sahaja. Tapi alhamdulillah atas kesepakatan bersama, perjalanan berjaya dilangsungkan dengan jayanya.

Baiklah, memandangkan anda sekarang sedang membaca artikel ini, mungkin anda, atau keluarga anda, kawan-kawan anda, anda dan kawan-kawan anda, atau anda, kawan-kawan dan keluarga anda sedang merancang untuk melancong ke Hatyai, maka saya kongsikan sedikit pengalaman dan bagaimana journey kami sepanjang berada di sana.

Nanti saya siapkan sekali harga kos sepanjang berjalanan. Boleh la anda buat bajet.

Perjalanan ke Hatyai bermula

Perjalanan trip bajet ke Hatyai ini bermula seawal jam 6 pagi dimana kami begitu bersemangat untuk melancong ke sana. Kami merancang untuk menaiki kereta api daripada Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis terus ke Hatyai. Jadi rasai juga suasana menaiki kereta api ala-ala zaman dulu-dulu. Jadi bertolak la ke sana dengan kereta sapu 2 biji.

Kos kereta: RM3.75 seorang

Sampai sana sekitar jam 7.30pagi, memang lengang la. Kaunter buka jam 9 pagi. Buka pun tak sharp. Janji melayu dengan janji Thailand lebih kurang je la. Tapi bila pergi dengan geng sendiri ni seronok. Mula-mula kami kacau orang sebelah, lepas kami bosan, kami main game Werewolf ramai-ramai.

korang pun tau main game Werewolf ini macam mana, 12 orang nak habis-habiskan satu circle memanglah lama. Sebab bising lagi main tuduh-tuduh, strategi permainan blame game dengan play victim. Perempuan mesti power main game ini. Korang kan suka salahkan lelaki dan buat-buat rasa dianiaya (play victim). Hahahahaha (Jangan trigged). Jadi nak habiskan satu game buat kami terleka sehingga jam 9 pagi.

Buka sahaja kaunter jam 9 pagi, kami pun wakilkan seorang untuk membeli tiket which is saya sendiri untuk 12 orang. Rupanya mereka terima 2 jenis matawang iaitu Baht dan ringgit. Harga sekitar 50 Baht atau RM6.47. Tapi kalau korang bayar dalam ringgit malaysia maka kenalah bayar RM7.

Harga tiket: 50 Baht (RM6.47)

tiket ke hatyai, harga tiket hatyai, kereta api hatyai, stesen kereta api padang besar

Tiket daripada Padang besar ke Hatyai

Setelah lama menunggu, akhirnya dapat juga untuk masuk dan dapatkan tiket kereta api.  Proses tidak terhenti setakat itu sahaja. Selepas anda memasuki ruangan kereta api, anda perlu mengisi kad putih disamping menunggu giliran untuk pemeriksaan imigresen. Mujurlah pemeriksaannya begitu pantas, cuma orangnya sahaja terlalu ramai.

Selepas lepas semua pemeriksaan, maka anda boleh masuk ke train 948 untuk persediaan meneruskan perjalanan.

Suasana Kereta Api

Suasana kereta api so-so. Panasnya boleh tahan. Saya tak nak la cakap neraka lagi panas, saya cuma nak cakap apabila kita bercuti itu, kita sebenarnya nak merasai sendiri suasana perjalanan, budaya setempat dan sebagainya. Jadi kami ok je.

Ketika anda berada didalam kereta api itu, akan ada jurujual warga Thailand yang akan menjual kad sim tempatan. Bagi saya jangan terus tolak. Korang tanyalah dulu harga yang ditawarkan. Macam kami, kami dapat tawaran yang baik untuk kad sim DTAC. Kami dah Google on the spot, harga pasaran kebiasaannya 290 Baht (RM37.55), tapi kami dapat 220 Baht (RM28.48). Jimat RM9. Kami minta dia masukkan kad sim tersebut didalam telefon bimbit kami dan minta dia aktifkan terus internet.

Walaupun dah jimat, kami tetap buat perangai Malaysian kami, beli 2 dapat kurang tak? Hahaha.

Kad sim DTAC: 220 Baht (Rm28.48)

suasana kereta api hatyai, gerabak kereta api hatyai, padang besar hatyai

Penat menunggu kereta api untuk bergerak

Ingat tak saya cakap pasal janji Thailand tadi? hah ye la. Kami duduk di dalam kereta api selama 2 jam tanpa gerak. Mungkin masa diambil bagi menguruskan penumpang. Tapi agak lama juga. Selepas 2 jam menunggu, barulah kereta api mula bergerak dan perjalanan mengambil masa kurang 45 minit untuk sampai ke Hatyai. Kami sampai sekitar jam 11.20am waktu tempatan.

Sampai di Hatyai

hatyai, hatyai junction, sampai ke hatyai, naik kereta api ke hatyai

sampai sudah di stesen kereta api Hatyai

Sampai di sana, kami pergi ke kedai makan dahulu. Banyak sebenarnya kedai makan halal di Hatyai. Kadang-kadang saya tak rasa pun macam berada di Thailand, tapi sebaliknya seperti di Malaysia. Kebanyakan di sana fasih berbahasa Melayu. Jadi kami tidaklah mempunyai masalah untuk berkomunikasi di sana. Nak beli mangga tepi jalan pun boleh cakap , “kak mangga ni kira macam mana”..

Kami makan di sebuah restoran halal bernama Hamid Restaurant. Layanan dan masakan yang diberikan agak nice jugalah. Harga makanan yang disediakan agak berpatutan bagi kami sekitar 80-150baht (RM10.36-RM19.42). Restoran juga selesa dan kebetulan ketika itu tidaklah begitu ramai orang.

bajet makan tengah hari: 80-150 baht (RM10.36-RM19.42)

selesai makan, kami bergegas ke resort untuk berehat. Kami naik grab sebab nak tahu jalan. Kali ni kami menaiki 2 kereta 6 seated.

Kos Grab: 35 Baht (RM4.54) kos seorang

Misi hari pertama

Kami tinggal di resort yang diberi nama New Resort, Hatyai yang terletak kira-kira 14.7km daripada pusat bandar. Disebabkan kami semua dah biasa tinggal di KL, jadi jarak tu apalah sangat. Dekat sahaja. Tapi pleaseee! Kalau korang nak mencari tempat tinggal, cari la tempat yang dekat sikit dengan pusat bandar. Mudah sedikit daripada segi pengangkutan. Lagi satu kira dah menyesal. Ummm..

new resort hatyai, new resort, resort untuk melancong di hatyai

Suasana di Resort kami

new resort hatyai, hatyai, homestay hatyai

Keadaan persekitaran dalam bilik

Pekerja disini tidak fasih berbahasa melayu. tidak juga fasih berbahasa inggeris. Tidak tahu membaca Thailand. Hahaha (nampaknya yang fasih berbahasa melayu disekitar kawasan tumpuan pelancong sahaja). Jadi apa-apa urusan saya guna bahasa isyarakat. Mujur dia faham. kami tak cadangkan anda untuk tinggal disini disebabkan katilnya yang keras sahaja. Selain daripada itu agak nice jugalah. Bilik yang bersih, tempat yang dijaga dengan baik. Kami sewa 4 bilik untuk 12 orang. Satu bilik ada 3 orang.

Kami dimaklumkan yang kebanyakan pelancong daripada Malaysia sering merungut tentang ketiadaan seterika di hotel Thailand. Kebetulan pula Resort ini pun tak ada seterika. Hahaha.

Bajet tempat tinggal 3H2M:

4 bilik 4 size untuk 2 malam
650 Baht (RM84.15)/per bilik/per malam
Total: 5200Baht (RM 673.24)
Kos seorang: 433 Baht(RM56.12)

Sekarang adalah misi untuk menjelajah Hatyai. Kalau boleh nak naik motosikal. Memandangkan kami tak ada kenderaan, maka kami sewa “Tuk Tuk” iaitu kenderaan awam kebanggaan Thailand untuk mencari tempat yang boleh menyewa motosikal.

Ada la dalam 3 ke 4 tempat yang kami pergi. Kebanyakannya sudah penuh sewaannya. Kalau adapun setakat satu atau 2 motosikal sedangkan kami memerlukan 6 buah. Jadi nak tak nak kami tak ada pilihan, kami sewalah “Tuk Tuk” yang kami naiki tadi dengan 100 Baht (RM12.95) untuk separuh hari.

kos tuk tuk: 100 Baht (RM12.95) untuk seorang

Selepas daripada itu, kami terus bergegas ke resort untuk mengambil yang lain, rehat 10 minit untuk solat dan sebagainya dan terus shot ke destinasi yang diinginkan.

Lee Garden Night Market

lee garden night market, pasar malam

Sajian makanan di pasar malam

First sekali kita orang berjalan di sekitar kawasan Odean Central, dengan Lee Garden Plaza. Tengok apa yang menarik di sana. Banyak makanan wei. Udang besar-besar yang amat. Harga biasalah, harga Thailand. Mujur bukan harga yahudi. Cuma kalau nak beli tu tengok-tengok sikit sebab dia bercampur ada tempat yang halal dan ada juga tempat yang tidak halal. Kebanyakannya boleh makan. Nampak sedap. Lepak situ dalam beberapa jam sebelum pergi ke destinasi selanjutnya.

Asean Night Bazaar

Selepas itu kami pun berkunjung ke Asean Night Bazaar yang berada kira-kira 15 minit daripada Lee Garden Plaza itu tadi. Mungkin agaknya tempat ini terlalu mainstream, kawasan ini penuh dengan orang Malaysia. Bagi saya tempat ini overated. Makanan hanya so-so dan barangan yang dijual biasa-biasa sahaja. Ada satu kali tu saya singah ke satu kedai yang menjual Jersey, saya rasa kualiti jersey tu biasa sahaja tapi dijual dalam RM35-RM45. Memanglah dia nak ajak tawar menawar, tapi tak berbaloilah. Bagi saya RM25 pun tak sesuai untuk dibeli.

asean night market hatyai, tempat menarik di hatyai

kesesakan dipenuhi orang Malaysia

Pernah tu saya saja menyakat dengan pekerja disitu, player isu tak ada ke? Dia cakap tak ada, dia ambil baju ini pun daripada Padang Besar. Saya pun alahai tepuk dahi. Hahaha

Mengenai makanan pula, sejujurnya banyak pilihan yang disediakan. Kita rasa terliur untuk mencuba dan rambang mata dengan persembahan makanan yang dijual. Tapi sayangnya, rasa makanan tu spoil sikit.

Antara makanan yang saya cuba ialah:

Laksa: 30 baht (RM3.88)
Fruit shake: 25 baht ( RM3.24)
Air kelapa: 30 baht (RM3.88)
Nasi ayam: 30 baht (RM3.88)
pancake: 30 baht (RM3.88)

Aktiviti malam

Lepas daripada itu, kami pergi melepak ke luar menjalani aktiviti malam. Jalan-jalan disekitar bandar Hatyai sebelum pulang semula ke Resort. Aktiviti lebih kepada merapatkan bonding antara kitaorang.

Masa balik ni masing-masing barai teruk. Sebab tak rehat lagi. Jadi kami pulang ke hotel dahulu. Get ready untuk hari kedua.

Misi hari kedua

sewa van hatyai, percutian hatyai, review van,

Hari malas sedunia

Hari ini kami malas untuk menaiki motor, tuk tuk atau Grab. Hari ini kami nak naik van supaya perjalanan akan lebih selesa dan paling penting semua dalam satu kenderaan. Hari kedua akan lebih padat. Kami akan melawat beberapa tempat pelancongan menarik di sekitar Hatyai. Memandangkan kami telah mendapat rehat yang secukupnya, maka hari kedua ini dimulakan dengan sarapan dahulu.

Bajet van: 250Baht (RM32.38) seorang

Geng-geng kami ni agak pelik sikit. Diaorang fanatik dengan 7Eleven Thailand. Dah datang Thailand tu pergi la sarapan Tom Yam ke (orang Thai tak buat, kita buat), Som Tam ke, ini burger juga yang dicari. Sejujurnya saya juga terlibat sama.

7 eleven hatyai, 7 eleven thailand, makan di hatyai

selamba makan di depan 7 eleven

Di Thailand terdapat satu pengeluar burger Halal yang bernama CP dimana ia bertanggungjawab membekalkan Burger segera untuk seluruh cawangan 7 Eleven  di Thailand. Kalau nak diikutkan CP ini ada juga dikeluarkan di Malaysia, cuba tiada burger. Inilah produk yang diaorang kejarkan disamping teh ais dan air coklat yang juga boleh didapati di 7Eleven sama. Serius burger dia memang sedap selepas dipanaskan. Lebih sedap daripada burger McD.

Burger CP = 40 Baht(RM5.18) x harga 1 unit tapi beli 2
Overtine = 24 Baht (RM3.11)

Selesai bersarapan, kami pergi ke destinasi pertama kami.

Pulau Koyo

Pulau Koyo merupakan salah satu kepulauan yang terdapat di Hatyai dan kedudukannya terletak lebih kurang 30 minit daripada pusat bandar Hatyai. Disebabkan ianya pulau, maka keadaan lawatan kami terasa amat nyaman sekali disini dengan angin yang meniup sepoi-sepoi bahasa. Di Pulau Koyo, terdapat satu monumen menarik iaitu Wat Laem Pho.

Wat Laem Pho ini merupakan sebuah patung besar yang berbaring yang dikait rapat dengan ajaran Buddha di Thailand. Monumen yang dikatakan berusia lebih 200 tahun ini dikatakan telah dibina sejak daripada zaman Rattanakosin lagi. Patung antik ini dikatakan antara patung yang terbesar di Thailand.

 

Wat Laem Pho

Gerai yang dibuka bersebelahan dengan monumen Wat Laem Pho

Sambil-sambil itu kami jalan-jalan melawat kawasan di sekitar monumen tersebut sambil menikmati pemandangan yang tidak seberapa. Selepas itu kami pergi ke destinasi selanjutnya iaitu Pantai Samila.

Pantai Samila (Samila Beach)

Bagi saya pemandangan di Pantai Salima lebih nyaman dan cantik berbanding di Pulau Koyo tadi. Walaupun dikerumuni oleh ramai orang(sudah semestinya ramai orang Malaysia), ianya sedikit pun tidak menjejaskan kecantikan persisiran pantai Samila. Antara ikonik yang terdapat di situ adalah Golden Mermaid Statue iaitu patung ikan duyung yang sedang menyikat rambutnya diatas batu. Kami tengok ramai sangat orang bertengek di situ ambil gambar tak mau beralih, kami datang ramai-ramai halau sorang-sorang. Hahaha.

samila beach, pantai samila, pantai samila hatyai, samila beach hatyai, hatyai thailand

Gambar yang rosak akibat tunafoto oleh insan yang tidak bertanggungjawab

Saya tidak pasti ini gambar yang keberapa. Namun yang pasti akan sentiasa ada insan yang membuat onar setiap kali retake gambar lompat ini terutama yang seorang belah kanan tu. Orang sudah cakap muatan berat ikut kiri.

The Great Serpent “Nag”

Ini antara daya tarikan pelancongan kepala naga yang menjadi ikonik kepada industri pelancongan Thailand. Nak tau tak kami buat apa disitu? Kami lepak disitu 5 minit kemudian kami bla sebab bosan. Sempat bergambar dengan kepala naga tersebut. Ambil gambar leher je cukup. Kepala naga tak penting, kepala kami lagi penting.

Chang Puak Camp

Disini anda boleh tengok bagaimana gajah dijadikan salah satu sumber pendapatan dan menjadi agen pelancongan Thailand. Saya datang sini sekadar nak tengok-tengok sahaja gajah secara dekat. Kebiasaannya gajah dewasa dijadikan pengangkutan untuk mereka yang merasai pengalaman menunggang gajah. Jika sebelum ini anda biasa menunggang agama, sekali sekala pergilah menunggang gajah.

chang puak camp, kem gajah hatyai, tengok gajah hatyai

Bergambar di pintu masuk Chang Puak Camp

Ketika ini isu penganiaya terhadap binatang di Thailand menjadi isu global. Pendirian saya pula mengenai isu ini, jika benda itu tidak terjadi didepan mata, tak mengapalah. Tapi kalau didepan mata saya tak suka. Macam apa yang berlaku ketika saya berada disitu.

Penjaga gajah itu nak dikatuknya kepala anak gajah itu dengan kuku atau alat yang seakan akan sabit kerana tidak mendengar cakapnya untuk beralih ke kandangnya mungkin. Saya pandang dia, dia diam sebab dia perasan saya pandang tajam ke arah dia. Kemudian dia berpaling sambil menarik telinga gajah itu sahaja sambil menyimpan kembali kuku terbabit.

anak gajah hatyai,

Inilah anak gajah yang dimaksudkan

Jadi daripada 2 pandangan tersebut, korang boleh fikir sendiri. Bukannya suruh korang fikir sebab penjaga gajah itu tarik telinganya, bukan juga sebab penjaga gajah mengatuk kepala gajah itu dengan kuku atau sabit, sebaliknya suruh korang fikir patut atau tidak korang naik gajah. Itu sahaja.

bayangkan badan korang besar macam gajah, kemudian naik gajah,. Bukankah menganiaya geng sendiri?

Selepas puas melihat aksi gajah yang gemuk-gemuk itu, seterusnya kami melawat pasar terapung mereka.

Khlong Hae floating market

Khlong Hae floating market, pasar hatyai, makan-makan di hatyai

Kesibukan Khlong Hae floating market

Khlong Hae floating market atau lebih mesra dipanggil Hatyai Floating market ini adalah destinasi selanjutnya yang kami tuju. Dengan persembahan makanan yang menarik seperti air di dalam buluh, makanan dalam tempurung kelapa, daun pisang, diharapkan sedap la. Kecewa betul saya kalau tak sedap.

Saya mencuba beberapa jenis makanan. Antaranya:

horseshoe Crab egg grill – 25 baht (RM3.24)
Crab grill – 25 baht (RM3.24)
Thai Tea – 25 baht (RM3.24)
Coconut Jelly – 30 baht (RM3.88)
Quail eggs. – 20 baht. (RM2.59)

Khlong Hae floating market

Antara kek yang dijual disini

Alhamdulillah sedap. Tak adalah menyesal tidak berkesudahan. Tercapai hajat nak makan pelik-pelik. Kawasan sini agak sesak, jadi kalau nak beli jangan termenung. Pantas buat keputusan dan terus beli.

Ada juga dijual cenderamata yang mungkin boleh dibawa balik. Shopping lagi. Macam kami lebih kepada permainan yang disediakan ala-ala funfare tu. Masa kami main tu, kecoh satu tempat tu.

Mengurut ala Thailand

Selepas selesai melawat satu persatu destinasi yang dirancang, maka eloklah kiranya kami memanjakan diri dengan mengurut. Lebih-lebih lagi kami di Thailand yang terkenal dengan teknik urutannya.

Nampak macam double meaning kan? Tapi ini urut betul-betul, bukannya yang bukan-bukan. Lagipun ini adalah percutian, jadi tak salah kalau kita manjakan diri.

Kos mengurut: 250 baht (RM32.36)

Selesai mengurut, badan pun sudah sedap, maka pergilah kami makan sebelum balik. Nanti saya lampirkan sekali anggaran kos makan keseluruhannya.

Misi Hari ketiga

cuti2, cuti-cuti malaysia

Cuti sudah habis bro

Hari ketiga sebenarnya hari tidak bermisi. Hahah. Kami nak balik sahaja sebab rasanya dah cukup la. Cuma sebelum balik itu kami singgah  sebentar ke beberapa tempat. Kata orang untuk menghabiskan sisa-sisa yang terakhir. Jadi kami menaiki van semalam dengan kos tambahan sedikit sebelum berhenti ke Danok.

Kos van: 100 baht (RM 12.95) untuk seorang

Hat Yai Plaza 3

Kebersihan disini kurang terjaga

Disini anda boleh beli barangan daripada gadget sehingalah baju-baju. Saya tak berminat sangat untuk membeli belah disini kerana bagi saya destinasi membeli belah terbaik ialah Bandung dan negara saya sendiri. So kami sekadar jalan-jalan dan makan disini.

Disini makanan tengah hari juga ada disediakan pelbagai jenis.

Kos makan tengah hari

Nasi Campur: 65 baht (RM8.42)
teh ais: 20 baht (RM2.59)

Selesai makan, kami terus bergegas ke Danok untuk pulang.

Danok

danok

sampai sudah di Danok

Kami turun di Danok beli barangan sedikit sebelum balik. Kami hanya berjalan kaki daripada Danok ke Free Duty bukit kayu hitam melalui boarder. Sampai disana ada kereta sapu yang ambil. Kos sekitar RM15 untuk satu kereta untuk balik ke UUM.

Kos Pengangkutan: RM3.75 seorang

Baiklah itu adalah itinerary yang kami rancang sepanjang berada di Hatyai. Aktiviti yang dilakukan lebih kepada menikmati pemandangan berbanding menikmati makanan secara khusus. Kami makan pun setakat merasa di beberapa tempat.

Tamat sudah perjalanan kami

Anda sudah baca cerita dan perjalanan sepanjang kami disana. Tidak lengkap rasanya artikel trip bajet di Hatyai ini tanpa rumusan bajet dan penambahbaikan yang boleh dikongsikan bersama anda. Maklumlah bajet yang diletakkan pun serendah RM300. Jadi mari kita lihat jumlah kos yang dikeluarkan.

Kos sepanjang berada di Hatyai

Ini saya catitkan kos sepanjang berada di Hatyai untuk 3 hari 2 malam. Berikut adalah rumusan kos perbelanjaan saya.

Hari Pertama

1. Kos kereta sapu = RM3.75
2. Tiket kereta api = RM6.47
3. Kad sim DTAC = RM28.48
4.Makan t/hari= RM19.42
5.Grab ke Resort=RM4.54
6. Kos Resort = RM56.12
7. Kos tuk tuk = RM12.95
8. Asean Night Market = RM18.76

Total hari pertama = RM150.49

Hari Kedua

1. Sewa van = RM32.38
2. 7Eleven = RM13.47
3. Floating Market = RM16.19
4. Mengurut = RM32.36
5. Makan malam = RM12.00

Total hari kedua = RM106.4

Hari Ketiga

1. Van sewa = RM12.95
2. HatYai Plaza 3 =RM11.01
3. Kereta sapu = RM3.75

Total hari ketiga = RM27.71

Jumlah keseluruhan = RM284.60

Kami pergi ke Hatyai seramai 12 orang dan masing-masing mempunyai citarasa dan pembelanjaan yang pelbagai. Ada diantaranya berbelanja secara bajet dan ada diantaranya yang main bedal sahaja. Namun begitu rata-rata diantara mereka yang berbelanja serendah RM287.60 sehingga ke RM400.

Kebanyakan daripada mereka banyak menghabiskan duit kepada makanan terutama apabila pergi ke 7Eleven di Hatyai. Beli macam tak pernah makan. Dia punya keterujaan itu melebihi keterujaan melihat makanan di Khlong Hae floating market. Kami pun memang peminat makanan segera. Pantang nampak 7Eleven, ada sahaja yang minta berhenti.

Adakah perbelanjaan boleh dijimatkan?

danok, di boarder danok, sempadan thailand malaysia, percutian ke hatyaiJawapan saya boleh. Malahan anda mungkin boleh melakukan penjimatan yang lebih baik berbanding kami. Kenapa kami katakan seperti itu?

Kami membuat perancangan 3 hari sebelum berlepas ke Hatyai (sebab nak kasi jadi punya pasal) dan semuanya dalam keadaan last minute. Jadi perancangan tidak dibuat dengan baik dan kami banyak buat silap. Selain daripada itu ada beberapa hal yang boleh dijimatkan. Buat apa bayar lebih?

Plan penjimatan yang lebih berkesan

1. Pemilihan tempat tinggal

Antara penjimatan yang anda boleh buat ialah pemilihan lokasi tempat tinggal. Tempat tinggal kami terletak 14.7km  jauh daripada pusat bandar menyebabkan kami sukar untuk bergerak.

Antara faktor kami memilih lokasi ini adalah kerana bilangan kami yang ramai. Kononnya sukar dapat bilik. Jika anda mempunyai bilangan yang lebih kecil, maka pilihlah lokasi berhampiran dengan pusat bandar, anda tidak perlu menampung kos kenderaan yang terlampau besar. Jimat sangat.

Setakat pergi Asean Night Market tu boleh naik Grab atau selamba jalan kaki.

2. Pembelian Kad Sim

Jika saya rasa kad sim DTAC sudah murah dimana ia boleh didapati dengan harga RM28.48, sebenarnya ada penyedia perkhidmatan lain yang lebih murah dengan perkhidmatan yang sama. Antaranya True yang boleh didapati dengan harga RM25.91, atau AIS dengan harga RM12.95. Semuanya bergantung kepada data internet yang dimahukan.

Kalau nak berjimat, boleh sahaja bayar RM28.48 tu dan cuting 3 atau 4 orang dengan cara buat hotspot.  Jadi bayar sahaja RM7.12 seorang. Itulah, tak mahu berkongsi. Hahaha

3. Tahu harga pasaran tuk tuk dan van

Isu kami dapat harga yang mahal sebab kami kurang survey harga pasaran perkhidmatan TukTuk di Hatyai. Sepatutnya harga pasaran adalah sekitar 200Baht ke 400baht satu tuktuk ye tuan dan puan sekalian untuk disewa setengah hari, bukan satu kepala. Itupun ikut tempat. Van pula harga diantara dalam 2400 – 2700 Baht untuk satu hari. Lebih daripada itu dikira mahal. Mujurlah buat masa ini kami kira cukup berbaloi membayar 3000Baht untuk satu hari kerana perkhidmatannya yang baik serta vannya yang selesa.

Harga kos pengangkutan menaiki van daripada Hatyai ke Danok juga patutnya lebih murah diantara 57Baht ke 80 Baht.

4. Rancang itinerary anda

Anda perlu rancang perjalanan anda dengan baik sepanjang berada di Hatyai. Survey harga untuk kesemua aktiviti termasuklah harga purata tempat tinggal, harga purata pengangkutan, tempoh perjalanan dan banyak lagi. Mall di Hatyai membosankan. Jadi kalau boleh elakkan.

Kalau anda ikut 4 tip yang saya katakan ini, mungkin anda mampu jimatkan lebih daripada 20-33% daripada bajet yang saya nyatakan ini. Hebat kan?

Baca juga: Apa itu Cinemagraph?

Baca juga: Gadis Itali Ini Menghasilkan Karya Seni Daripada Kopi

Jadi itu sahaja perkongsian yang saya bawakan kepada anda. Saya kongsikan itinerary kawasan pelancongan yang saya lawati disamping kos yang perlu dikeluarkan bagi seorang individu. Saya juga sediakan alternatif kepada pelan pelancongan yang lebih murah supaya anda dapat mengelak daripada menanggung kos tersembunyi yang merugikan.

Diharapkan anda seronok membaca artikel ini. Jangan lupa kongsikan pengalaman anda bersama kami diruangan komen. Saya gembira untuk mendengarnya.

TAGS
RELATED POSTS

LEAVE A COMMENT

AZMIR SHAH
Kuala Lumpur

Seorang programmer yang mempunyai pengalaman yang tidak seberapa. Memiliki kelulusan daripada universiti terkemuka di Malaysia dan secara jujurnya beliau meminati Elon Mask lebih daripada Bill Gate. Seorang yang bercita-cita tinggi, kini bekerja sebagai Front-End developer di salah sebuah syarikat Shah Alam.

Cari Sesuatu?
Categories