Love Destiny atau di tajuk asalnya Bhuppae Sunniwat adalah sebuah drama Thai 15 episod yang cukup terkenal di Thailand. Disiarkan sekitar tahun 2018 di Channel 3, drama ini bertemakan komedi, percintaan dan kembara masa (time travel) yang berlatar belakang kerajaan Ayutthaya, sebuah kerajaan silam abad ke 17.

Drama adaptasi novel ini cukup menarik untuk ditonton. Jalan ceritanya menarik, ringan dan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Walaupun idea tipikal tentang percintaan tetap ada, namun ia tetap diterapkan dengan baik tentang sejarah Thailand dan kebudayaan mereka.

Disebabkan itulah drama ini cukup terkenal bukan sahaja di Thailand, sebaliknya Asia Tenggara. Garapan ceritanya juga disusun dengan kemas. Memandangkan saya sudah lengkap menonton kesemua episod, ini saya kongsikan sedikit ulasan drama Love Destiny dengan anda. Kita mulakan dengan sinopsis dahulu.

Sinopsis Love Destiny

Lady Karaked asal yang jahat dan pentingkan diri

Kisahnya bermula di abad ke 17 ketika zaman keagungan kerajaan Ayuttaya, terdapat seorang gadis yang bernama Lady Karaked (lakonan Ranee Champen). Beliau seorang gadis cantik keturunan bangsawan yang yatim piatu. Memandangkan beliau tidak ada tempat bergantung sejak kematian ayahnya, beliau tinggallah bersama Lord Hara, seorang tukang tilik diraja yang bersahabat baik dengan mendiang ayahnya.

Persahabatan diantara mendiang ayahnya dan Lord Hara tersangatlah akrab sehingga mereka berniat untuk berbesan. Disebabkan itulah Lady Karaked dan anaknya kepada Lord Hara iaitu Lord Dech (lakonan Thanawat Wattanaputi) telah ditunangkan sejak daripada mereka kecil. 

Walaupun berstatus bakal menantu yang akan berkahwin dengan Lord Dech, perangai Lady Karaked seperti orang tidak sedar dek untung. Beliau berperangai kurang ajar kepada orang tua, pentingkan diri, suka memanipulasi serta bertindak kejam terhadap hambanya.

Ini menyebabkan Lord Dech tidak pernah suka dengan Lady Karaked. Walaupun berperangai sedemikian rupa, Lord Dech terpaksa akur dengan kehendak Lord Hara yang mahu bermenantukan Lard Karaked kerana beliau pernah berjanji kepada sahabat baiknya (bapa Lady Karaked) untuk mengikat hubungan antara anak mereka.

Konflik bermula apabila Lady Karaked mula mensyaki yang Lord Dech menyukai gadis lain yang bernama Lady Chanwat (lakonan Kannarun Wongkajornklai), seorang gadis bangsawan yang berstatus tinggi. Lady Chanwat bukan sahaja cantik, sebaliknya beliau juga baik, sopan dan pandai mengambil hati ibu kepada Lord Dech iaitu Lady Champa (lakonan Chamaiporn Jaturaput).

Kebusukan hati Lady Karaked menyebabkan beliau mengarahkan hambanya Phin (lakonan Janya) untuk menenggelamkan sampan yang dinaiki oleh Lady Chanwat. Bagi beliau, Lady Chanwat ini adalah saingan yang mampu menggugat kepada peluang beliau untuk berkahwin dengan Lord Dech. Tindakkannya itu menyebabkan hamba kepada Lady Chanwat terbunuh dan Lady Chanwat dalam keadaan trauma.

Kejadian itu benar-benar membuat orang marah dan dimasa yang sama mengsyaki kejadian itu berlaku angkara Lady Karaked. Namun disebabkan menuduh orang tanpa bukti bukanlah budaya masyarakat ketika itu, prasangka terus menjadi prasangka. Ini menyebabkan Lord Hara dan Lord Dech mengambil alternatif lain iaitu melaksanakan mantera Kritsana-Kali, mantera tradisi keluarga turun temurun untuk mencari siapa yang salah.

Kekuatan jampi ini bukan kepalang. Jika anda bersalah, anda pasti akan mati. Begitulah apa yang terjadi kepada Lady Karaked. Ketika malam jampi Kritsana-Kali dibacakan, beliau telah mengalami penderitaan yang dahsyat sekali. Beliau kepanasan sehingga menemui ajal. Meninggal tak memasal.

Kematiannya itu menyebabkan rohnya tidak tenang. Kononnya ingin ditarik masuk ke neraka. Ini menyebabkan roh beliau berada di muka bumi sehingga 400 tahun lamanya kononnya lari dari masuk ke neraka. Lari punya lari sampailah tahun 2018.

Disatu kisah lain pada tahun 2018, terdapat seorang gadis bernama Ketsurang (juga lakonan Ranee Champen). Gadis gemuk dan tak berapa molek ini adalah seorang ahli arkelogi yang sangat meminati sejarah. Kebetulan pula beliau sedang membuat kajian tentang peninggalan sejarah abad ke 17 ketika zaman kegemilangan Raja Narai. Jadi tapak kuil kerajaan Ayutthaya menjadi lokasi tapak kejadian mencari bahan sejarah.

Kajian dibuat diwaktu siang, diwaktu malam beliau datanglah ke tapak arkelogi untuk mengambil gambar bersama rakan baiknya Ruengrit (lakonan Parama Imanothai) untuk kenang kenangan. Entah mengapa malang tidak berbau, terserempak pula dengan hantu Lady Karaked. Tak sempat ambil gambar, larilah mereka seperti lipas kudung. Jumpa hantu malam-malam, siapa pula yang tidak takut.

Mereka pun pulang dari tapak arkelogi itu menaiki kereta dalam keadaan tergesa-gesa. Ingatkan balik dari kuil tersebut dah selamat, eh hantu Lady Karaked mengikut pula. Rakannya Ruengrit yang memandu terkejut beruk lalu terbabas kenderaan tersebut. Ketsurang meninggal di tempat kejadian.

Sambil-sambil keadaan yang tidak mengizinkan itu, roh Lady Karaked sempat berinteraksi dengan roh Ketsurang meminta tolong agar beliau membantunya untuk membuat kebaikan untuk dirinya sebagai Karaked. Katanya neraka panas. Dulu semasa hidup dia banyak berbuat jahat. Jadi beliau minta Ketsurang menjadi dirinya di masa silam untuk memperbetulkan keadaan.  

Memandangkan Ketsurang setuju, maka bangun sahaja dari tidur (yang disangkakan mimpi), Ketsurang berada di badan Lady Karaked. Wanita yang berada di tahun 2018 kini berada di tahun 1600-an. Beliau teruja kerana memiliki badan yang cantik, muka lawa, tetapi semua orang membencinya.

Bagaimana agaknya Ketsurang menyesuaian diri dengan zaman tersebut sebagai Lady Karaked? Bagaimana beliau berselindung dengan keterujaannya yang dapat mengalami sendiri perjalanan sejarah kerajaan Ayutthaya? Itu anda kena saksikan sendiri.

Budaya zaman dahulu yang dapat dipelajari dari drama ini?

Memandangkan saya lelaki, jadi perspektif saya terhadap drama ini ada sedikit berbeza. Ia benar gelagak Karaked tersangat comel dalam drama ini. Bagaimana hubungan beliau dengan Lord Dech, gelagatnya bersama Lady Champa dan Lord Hora. Tetapi unsur budaya yang diselitkan dalam cerita ini yang sebenarnya membuatkan saya lebih teruja. Antaranya ialah:

1. Gigi Hitam

Cantik la tu gigi hitam kononnya

Saya pelik kenapalah dalam drama ini golongan bawahan ini semuanya bergigi hitam. Saya fikir ianya berkenaan dengan status darjat atau tabiat tidak gosok gigi. Rupanya-rupanya gigi hitam itu adalah kesan daripada pemakanan sirih yang dipanggil sebagai Maak.

Dimaklumkan budaya memakan sirih ini cukup popular di zaman Sukhothai , Lanna dan Ayutthaya dan penyediaannya hanya memerlukan 3 bahan iaitu daun sirih, buah pinang dan pes kapur merah. Dikatakan selain dijadikan snek, sebenarnya sirih juga menjadi daya penarik antara lelaki dan perempuan.

Cuma itulah, jangal sikit kenapa golongan bangsawan gigi tidak hitam sedangkan difahamkan budaya memakan sirih ini dinikmati oleh seluruh golongan. Malahan simbol status ditunjukkan menerusi tepak sirih. 

2. Busana yang cantik

Busana tradisi yang digayakan Lady Karaked

Setiap kali saya melihat busana golongan bangsawan, saya cukup kagum dengan kecantikan pakaian yang dipakai oleh Lady Karaked, Lady Chanwat dan beberapa individu lain. Adakalanya saya terfikir itu kain songket versi Thailand ke? Kenapa kainnya begitu cantik. Lebih-lebih lagi digayakan dengan aksesori terpilih. Antara busana yang menarik perhatian saya ialah Chakkraphat, Dusit danThai Chakkri.

Kecantikan busana ini jangan dibuat main kerana bukan saya sahaja yang berpandangan seperti saya, tetapi ramai lagi. Jangan terkejut disebabkan drama Love Destiny ini juga demam pakaian tradisional di Thailand memuncak. Malahan ramai yang ke Ayutthaya di utara Bangkok angkara Karaked.

3. Keris

Keris menjadi sebahagian daripada persalinan di Ayutthaya

Saya sebenarnya cukup teruja apabila melihat kelibat Keris muncul disisip di pinggang Lord Dech, Rueng, Sorasak, dan orang yang saya anggap antara orang penting istana. Malahan ianya menjadi alatan penting pada busana mereka. Saya fikir Keris hanya berada di Alam Melayu (Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina), sebaliknya juga Thailand.

Saya dimaklumkan Raja Narai ketika zaman Ayutthaya saya bersifat terbuka dan diplomasi dengan orang asing sehingga memberikan suaka kepada mereka yang tunduk kepadanya. Penerimaan Ayutthaya terhadap masyarakat alam melayu yang tidak pernah lekang dengan keris menyebabkan asimilasi istana sehingga menjadi senjata rasmi pegawai kerajaan

4. Budi bahasa masyarakat Ayutthaya

Lady Champa memarahi Lady Karaked kerana bertocang dua

Gambar diatas mengambarkan bagaimana berbuatan diluar kebiasaan sangat ditegah dalam masyarakat terutama bagi golongan wanita bangsawan. Walhal Lady Karaked hanya mengayakan rambut bertocang dua diikat bersama bunga. Namun ia tetap ditegah.

Apabila saya melihat Lady Karaked selalu dimarahi oleh Lady Champa menunjukkan bagaimana protokol dan budi bahasa yang perlu diamalkan masyarakat bangsawan adakalanya mengalahkan bangsa melayu. Contoh lain adalah protokol di meja makan dimana beliau perlu melutut untuk ke meja makan terutama ada orang yang lebih tua. Terus bangun selepas makan juga dikira biadab.

Selain daripada itu, “Wai” yang merujuk kepada simbol merapatkan kedua belah tangan dan tunduk sebagai tanda hormat juga adalah satu kemestian kepada orang yang lebih tua disamping perlu “Wai” setiap kali menyebut nama Raja. 

Raja juga mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain. Ketika Raja berdiri, yang lain melutut. Ketika Raja bersemanyam, mereka hendaklah tunduk, begitu juga ketika mula berinteraksi dengan Raja.

5. Sistem perhambaan

Yaem dan Phin yang sentiasa bersama dengan tuannya

Memang betul kelihatan comel hubungan diantara Lady Karaked dengan dua orang hambanya iaitu Yaem dan Phin, tapi sebenarnya itu adalah sisi sejarah kebanyakan kerajaan di Asia Tenggara termasuklah kerajaan Ayutthaya dan kerajaan Melaka.

Di Ayutthaya menerusi sistem corvee, setiap mereka yang bebas perlu mendaftar sebagai hamba/ atau dikenali sebagai Phrai dengan pembesar tempatan/Chao nai. Jika perang berlaku pula, setiap lelaki Phrai tertakluk penyertaan secara paksa. Ada juga beberapa penjelasan sistem perhambaan yang lebih komplek tentang lelaki dan wanita terutama tentang isu pembayaran cukai.

Ada banyak lagi budaya masyarakat Thailand yang ditunjukkan didalam drama ini. Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh ke TripCanvas yang memberi lebih perincian budaya yang ditonjolkan dalam jalan cerita.

Komen tentang drama ini?

Apalah agaknya pendapat Azmir tentang drama ini?

Sejujurnya drama ini tersangat ringan tetapi tidak kosong dengan hanya konflik percintaan diantara Lady Karaked dan Lord Dech sahaja. Pengarah pandai membuat pengisian yang bermanfaat kepada penonton. Sambil-sambil bercerita tentang cinta, pengarah juga mengajar budaya kepada masyarakat tentang apa itu Thailand.

Bagaimana kerajaan agung Ayutthaya berfungsi satu ketika dahulu, budaya masyarakat terhadap status darjat, pemakaian, budi bahasa dan adat istiadat. Selain daripada itu ia diselang seli dengan konflik persahabatan, kekeluargaan, politik dan diplomasi hubungan antarabangsa.

Walaupun persembahan kesan khas CGI dalam drama ini bagi saya “boleh la”, tapi ia tidak sedikit pun menjejaskan jalan cerita yang ingin dipersembahkan. Kita masih lagi dapat mengikuti jalan cerita dengan baik. Keterujaan Ketsurang mempelajari sejarah melalui pengalaman benar-benar menutup kelemahan CGI tersebut.

Saya suka bagaimana pembawakan Ketsurang yang mengetahui tentang sejarah dan apa yang akan berlaku ketika itu tetapi tidak cuba untuk mengubah sejarah Ayutthaya. Sebaliknya sifat ingin tahu yang tinggi seolah-olah menjadi mak cik kepoci sekadar seronok untuk menjalani sejarah itu itu sendiri.

Pujian harus diberikan kepada para pelakon yang berjaya menghidupkan watak dengan baik terutama watak yang dipegang oleh Ranee Campen (Karaked) dengan Thanavat Watthanaputi (Dech). Lady Champa dan Lord Hora pun sangat terbaik dalam memainkan peranan ibu dan ayah Lord Dech disamping gelagat keseluruhan hamba di rumah mereka. Comel dan kelakar. 

Paling penting, penamat cerita ini sangat memuaskan. Senang cerita happy ending la. Tak adalah macam filem Titanic dah 24 tahun pun orang masih tidak berpuas hati kenapa Jack boleh mati. Haha.

Saya berjaya menghabiskan 15 episod dalam tempoh 3 hari sahaja. Setiap tayangan sekitar 40 minit ke 50 minit untuk satu episod. Memang betul-betul pulun untuk habiskan.

Cuma itulah kesian buat penonton di Malaysia, tayangan akhir drama Love Destiny ini di Netflix adalah pada 6 Oktober 2021. Selepas daripada tarikh tersebut, drama ini akan dikeluarkan daripada Netflix. Jadi anda terpaksa menonton di saluran alternatif lain seperti dimsum.my atau platform lain.

Baca juga: 7 Drama Korea terbaik lakonan Lee Jong-Suk

Jika anda dah menonton drama ini, apa pandangan peribadi anda? Jangan lupa kongsikannya di ruangan komen.

Ulasan Drama Bersiri Love Destiny (2018)

7.3 Rating

Drama bersiri Thailand ini berkisarkan tentang Katsurang, seorang pelajar jurusan sejarah yang secara tidak sengaja telah kembali ke masa silam dan rohnya memasuki tubuh seorang wanita bangsawan yang bernama Karaked.

Drama ini mempunyai jalan cerita yang menarik, ringan dan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Walaupun idea tipikal tentang percintaan tetap ada, namun ia tetap diterapkan dengan baik tentang sejarah Thailand dan kebudayaan mereka.

  • Keunikan Idea 5
  • Premis 8
  • Plot 6
  • Jalan Cerita 10
  • User Ratings (0 Votes) 0
Share.

Seorang programmer yang mempunyai pengalaman yang tidak seberapa. Memiliki kelulusan daripada universiti terkemuka di Malaysia dan secara jujurnya beliau meminati Elon Mask lebih daripada Bill Gate.Seorang yang bercita-cita tinggi, kini bekerja sebagai Front-End developer di salah sebuah syarikat di Shah Alam.

4 Comments

  1. Assalamualaikum,terima kasih kerana membalas mesej saya..Saya dah jumpa drama ini yang 15 episod sahaja.

  2. Assalamualaikum.
    boleh saya tahu, di mana saya boleh dapatkan subtitles untuk drama ini?Saya ada jumpa subtitle tapi utk 40 episod(durasi setiap episod 56 minit) jadi sekarang saya sedang mencari untuk 15 episod sahaja(durasi setiap episod 1 jam 46 minit)

    • Waalaikumsalam. Owh yang ni saya kurang pasti sebab last pun saya tengok di Netflix untuk 15 episod tu.

      Kalau selain Netflix, banyak yang memang dah embed siap2 english sub dengan video dan kebanyakannya yang 40 episod, bukan 15.

Leave A Reply

Exit mobile version