Dahulu mungkin sukar, namun kini memiliki kad NFC Touch N Go tidaklah sesukar mana asalkan anda mengikuti perkembangan stok di pasaran. Asyik kehabisan stok je? Jangan risau saya akan bagitau cara beli kad NFC Touch N Go ini tanpa perlu beratur panjang.
Kelebihan kad NFC Touch N GO
Saya pasti ramai diantara anda yang musykil dan turut terikut sama hype yang dibawakan oleh masyarakat tentang keperluan memiliki kad NFC Touch N Go. Kenapa orang berebut-rebut nak memiliki kad ini? Apakah keistimewaannya?
Sebenarnya ada beberapa sebab mengapa orang sanggup beratur dan berebut sakan untuk memiliki kad ini. Antaranya ialah:
- Anda tidak perlu lagi untuk ke stesen minyak, mesin topup atau mesin ATM untuk tambah nilai kad Touch N Go anda. Anda boleh tambah nilai terus menggunakan NFC telefon bimbit anda (pastikan telefon bimbit anda punyai NFC).
- Kad anda dihubungkan terus dengan ewallet Touch N Go.
Itu sahaja.
Akan tetapi disebabkan 2 kemudahan ini, berpusu-pusu orang menyerbu setiap stesen minyak yang menjualnya. Disebabkan sering kehabisan stok, maka scalper mula mengambil kesempatan untuk menjual harga yang tidak masuk akal. Dari harga asal RM10 menjadi RM60. Gila.
Situasi semasa pembelian kad
Dahulu Touch N Go mengendalikan sendiri proses pembelian kad daripada penyediaan stok sehingga ke penjualan di aplikasi ewallet mereka yang dikemaskini setiap 2 minggu. Kini tidak lagi.
Pihak Touch N Go mengambil langkah lebih bijak dengan mengalihkan proses penjualan kepada platform yang lebih stabil iaitu Lazada. Di platform ini, penjualan boleh dilakukan secara pre-order dan ia mampu menampung pengguna yang lebih ramai.
Namun begitu, masalah lain pula timbul. Kad sentiasa kehabisan stok. Macam mana tu?
Jangan risau, saya akan bagitau trick dan cara-cara untuk mendapatkannya.
Cara membeli kad NFC Touch N Go
Ini adalah cara-cara untuk anda membeli kad NFC TnG tu.
- Sila pastikan anda sudah mendaftar dan memuat turun ewallet Touch N Go.
- Sila pastikan anda menambah nilai ewallet anda dan punyai baki sekurangnya RM15.
- Sila daftar masuk ke group telegram ini “TNG NFC Card Stock update“.
- Peka kemaskini stok kad di telegram. Sila klik pautan dan beli kad sebaik sahaja stok dikemaskini.
Situasi dalam group Telegram
Saya dapati kad NFC Touch N Go seperti pisang goreng panas, akan habis stok dalam masa beberapa minit sahaja. Jadi sentiasalah mengikuti kemaskini stok kerana ketika saya menulis artikel ini, sudah 100k++ menjadi ahli group ini.
Harapan anda untuk mendapatkan kad ini sangat cerah. Secara puratanya bagi stok kad 500 unit, anda ada masa sekitar 4 minit untuk membelinya. Bagi stok 1000 unit, anda ada masa sekitar 8 minit. Jumlah masa itu bagi pendapat saya cukup untuk anda mendapatkan sekeping kad.
Bagaimana kad dihantar kepada anda
Kad akan dihantar kepada anda menerusi pos. Disebabkan kad ini ialah pre-order, jadi ia mengambil sekurangnya 14 hari untuk di pos.
Saya sebenarnya sudah memiliki kad Touch N Go ini memandangkan pejabat saya pun berdekatan dengan TnG HQ di Bangsar South. Tetapi atas dasar ingin mencuba, saya beli juga lagi sekeping menerusi Lazada untuk mencuba berapa lama masa diambil.
Kad dihantar kepada saya menggunakan perkhidmatan Ninja Van. Masa yang diambil pula agak pantas iaitu kira-kira 4 hari sahaja. Mungkin nasib saya baik rasanya.
Ini pula kondisi kad saya.
Kesimpulannya
Jika peringkat awal haritu, saya mengakui yang agak sedikit sukar untuk memiliki sekeping kad NFC Touch N Go ini. Namun kini tidak lagi. Penjualan di Lazada benar-benar memudahkan urusan dan membuka peluang kepada pengguna terutama dari luar Kuala Lumpur untuk memilikinya.
Cuma satu saya nak pesan, anda hanya boleh membeli sekeping sahaja kad ini bagi setiap akaun Lazada. Jadi jangan pelik jika anda berkeinginan untuk beli kad kedua, anda tidak boleh checkout.
Baca juga: Ulasan projektor murah Q3 Pro dan pengalaman menggunakannya
Diharapkan juga penulisan ini membantu anda untuk mendapatkan kad terbaru TnG ini. Jangan lupa ajukan sebarang pertanyaan di ruangan komen.
Nota: Hari itu selepas beberapa ketika, tiba-tiba akaun saya boleh beli buat kali kedua. Apa lagi, saya pun beli la kad TnG lagi satu.
Soalan Lazim
Cara terbaik dan paling mudah untuk anda dapatkan kad NFC Touch n Go adalah menerusi Lazada. Saya ada ajar trick dalam artikel ini tentang bagaimana cara untuk mendapatkannya.
Harga yang ditawarkan adalah RM10 sahaja. Kos termasuk postage adalah RM14.70. Jangka masa penghantaran adalah kurang dua minggu (kebiasaannya 3-4 hari waktu bekerja).